Guna Lendiran Kemaluan Sebagai Ubat Asma

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Pengguna perlu bijak membuat keputusan. Walaupun kaedah rawatan alternatif homeopati merupakan satu sistem perubatan yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kita perlu tahu kandungan ubat yang perlu diambil. Di luar negara, terdapat dakwaan yang mengatakan laman web Amazon telah menyenaraikan 4 produk homeopati berbeza, diperbuat daripada lendiran kemaluan lelaki untuk merawat asma. Nak tahu lebih lanjut? Ikuti artikel ini. 

Periksa kandungan ubat

The US Food and Drugs Administration (FDA) telah mengeluarkan amaran kepada pengguna supaya lebih berhati-hati dalam memilih ubat homeopati yang dijual. Ini kerana, bahan yang digunakan oleh pembuat produk tersebut berkemungkinan berasal daripada sumber yang boleh memberikan kemudaratan kepada pengguna. 

Kebanyakan ubat homeopati, khususnya yang tidak mendapat apa-apa pengiktirafan FDA atau organisasi berkaitan, mempunyai potensi untuk membahayakan nyawa pengguna. Ada pengguna yang memberikan testimoni bahawa ubat A boleh merawat kanser, atau ubat B boleh menyembuhkan autisme. Namun begitu, kesahihan testimoni tersebut menjadi sumber keraguan apatah lagi ia tidak dikaji dan direkodkan dalam mana-mana jurnal perubatan.

Pada tahun 2017, FDA telah mengeluarkan satu dokumen berkaitan dengan risiko menggunakan ubat-ubatan berdaftar. Namun disebabkan pemasaran homeopati meningkat kira-kira ⅕ setiap tahun, penelitian semula perlu dilakukan secara berkala. Kini, dokumen tersebut mempunyai kategori yang berbeza untuk produk homeopati mengikut tahap kebahayaannya terhadap kesihatan umum. 

Terdapat juga bahagian yang memperincikan perihal bahan yang boleh memudaratkan kesihatan individu seperti bahan yang mengandungi patogen, bahan toksik kimia dan bahan yang diambil secara suntikan, memandangkan ia melepasi sistem pertahanan semula jadi badan.

Bahan yang jelas bahaya untuk kesihatan

Laman web Amazon, telah dikritik hebat baru-baru ini berikutan penjualan pil yang mengandungi air liur anjing yang dijangkiti rabies. Khasiatnya tidak diketahui namun terdapat pelbagai jenis variasi ubat homeopati lain yang diperbuat daripada bahan yang menjelekkan. 

Bayangkan bahan yang dipanggil sebagai medorrhinum, diperbuat daripada lendiran kemaluan lelaki yang mempunyai penyakit gonorrhea. Menurut Pusat Homeopati di Amerika Syarikat tersebut, ia boleh digunakan bagi merawati asma, sawan, senggugut dan psoriasis. Resepi pembuatan produk ini diambil daripada prosedur asal Dr Hahnemann, pengasas kepada homeopati.

Paling mengejutkan, menurut Boiron, salah sebuah syarikat yang menghasilkan ubat-ubatan homeopati tersebut, pada tahun 2018, mereka telah memperolehi pendapatan setinggi 600 juta Euro (bersamaan dengan kira-kira RM2.75 bilion). Kebiasaannya produk ini mempunyai dos yang berlainan. Anda boleh mendapatkan dos lendiran gonorrhea yang tinggi pada harga yang mahal. Kesan positif farmakologi ubatan yang diperbuat daripada bahan sebegitu tidak terbukti keberkesanannya melalui protokol kajian sains.

Konklusi

Di Malaysia, kebanyakan rawatan homeopati diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, namun kita, sebagai pengguna perlu berhati-hati jika ingin menggunakan ubat-ubatan tersebut. Risikonya perlu ditimbang tara dengan kesan baiknya. Bahan-bahan yang jelas menunjukkan kemudaratan perlu dielak agar anda tidak menderita disebabkan oleh komplikasinya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 10, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 20, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut