Tidak kira jika anda peminat tegar sukan bola sepak atau tidak, kejohanan Piala Dunia 2022 yang sedang berlangsung di Qatar kini sudah pasti menjadi ikutan dan tontonan kita semua.
Dalam keseronokan bersorak pasukan kegemaran, jangan pula anda lupa aspek kesihatan diri ya?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Kejohanan Piala Dunia 2022 & kesihatan
Hadir setiap 4 tahun sekali, kejohanan piala dunia bola sepak amat ditunggu-tunggu dan dinantikan oleh para penggemar sukan nombor 1 di dunia ini untuk melihat siapa pula juara rasmi pada kali ini.
Kejohanan itu bakal berlangsung di sebuah negara yang telah terpilih melalui pusingan dan undian Federation Internationale de Football Association (FIFA), organisasi rasmi sukan tersebut.
Pada tahun ini pula, piala dunia sedang hangat berlangsung di Qatar yang menyaksikan 32 pasukan bola sepak kebangsaan dalam usaha untuk menaklukkan kejuaraan acara itu.
Namun, kejohanan ini turut mendatangkan impak negatif kepada masyarakat di mana ia mungkin menjejaskan tabiat tidur, makan dan aktiviti seharian sekali gus merisikokan tahap kesihatan.
Jadi, apa yang individu boleh buat untuk menikmati sukan bola sepak ini melalui gaya hidup sihat?
Menonton piala dunia di negara tuan rumah?
Usah terkejut kalau kami kata ramai peminat sukan ini yang sanggup untuk terbang ke luar negara bagi menyaksikan sendiri kejohanan piala dunia tidak kira ia dianjurkan di negara mana.
Tidak salah untuk itu tetapi individu turut masih perlu mempertimbangkan soal kemaslahatan diri terutama di era pandemik atau endemik COVID-19 yang ramai masih terkesan hingga kini.
Sebaiknya, anda yang berhasrat untuk ke luar negara wajar mendapatkan informasi serta vaksinasi penting dalam usaha bagi meminimumkan risiko penularan wabak dan penyakit berbahaya.
Meskipun berita tentang wabak ini sudah mula reda kini, namun ia masih wujud dan individu disarankan untuk elak kawasan yang sesak, padat atau penuh dengan lautan manusia lebih-lebih lagi ketika berada di stadium, perhimpunan atau perarakan Piala Dunia 2022.
Menonton piala dunia di ruang tamu sahaja?
Sebenarnya, individu masih boleh mengikuti dan menikmati kejohanan Piala Dunia 2022 di ruang tamu rumah sahaja memandangkan ia adalah cara atau gaya terbaik untuk masyarakat sejagat.
Pun begitu, boleh timbul beberapa masalah akibat menonton piala dunia di rumah seperti berikut:
1. Pola tidur tidak ideal
Disebabkan oleh perbezaan ruang waktu yang ketara, siaran piala dunia 2022 ini juga mungkin agak kurang sesuai untuk tontonan masyarakat tanpa kira usia dan jantina.
Contohnya, mungkin bakal ada perlawanan yang dijadualkan pada waktu tengah malam mengikut zon masa negara kita sekali gus memerlukan individu berjaga sehingga pagi. Akibatnya, pola tidur anda sudah pasti akan terjejas dengan teruk.
2. Gaya makan tidak sihat
Ketika menghadap televisyen atau komputer riba untuk menonton perlawanan pula, tabiat makan snek atau ‘jajan’ adalah sangat lazim dan ini juga adalah antara isu yang membimbangkan.
Mungkin tiada larangan untuk individu makan bertih jagung, minum air gas serta lain-lain di saat menonton, tetapi anda masih perlu ingat dengan saranan pakar diet agar makanan ringan, segera, bergoreng dan berminyak sangat tidak sihat.
3. Tabiat buruk yang diamalkan
Dalam pada itu, tabiat buruk seperti menghisap rokok, mengambil alkohol atau menyalahgunakan dadah juga wajar dielakkan tatkala anda sedang asyik menonton perlawanan Piala Dunia 2022.
Ketahuilah bahawa tabiat-tabiat buruk ini cuma memudaratkan tahap kesihatan anda pada jangka masa pendek dan panjang. Ia perlu dihentikan agar anda dapat hidup sihat, selesa dan sejahtera.
Layan piala dunia kali ini dengan sihat!
“Sukan sama ada dengan cara dipraktik atau ditonton adalah amat bagus untuk kesihatan fizikal, mental serta kognitif individu asalkan ia dilakukan dengan kadar atau cara yang ideal,” jelas Pakar Psikologi Sukan, Dr Josephine Perry.
Dalam erti kata mudah, individu masih boleh ‘layan’ kejohanan bola sepak ini dengan sihat dengan cara tidak tidur terlalu lewat, tidak makan terlalu bebas dan hindar sebarang tabiat buruk.
Di samping itu, jangan sesekali terlibat di dalam pergaduhan atau pertaruhan sepanjang kejohanan itu meskipun anda berbeza pasukan sokongan terutama kalau ada peluang untuk menang.
Sama ada kalah atau menang, ingat bahawa ini cuma sukan yang menyatukan bukan memecahkan!
Konklusinya, anda perlu jadikan piala dunia pada kali ini sebagai sebuah kejohanan yang sihat dari segi mental dan fizikal agar kesihatan diri, keluarga dan masyarakat akan sentiasa terjamin.
[embed-health-tool-bmi]