Menjadi frontliner atau petugas di barisan hadapan dalam sektor kesihatan bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan. Kadangkala, frontliner perlu berkorban dan bekerja lebih masa untuk menjaga kebajikan pesakit. Rekaan uniform hospital yang kemas dan sesuai sememangnya menjadi keutamaan buat petugas di hospital bagi memudahkan pergerakan mereka untuk bekerja dalam keadaan yang selesa.
Baru-baru ini, Aurelius Healthcare telah melancarkan uniform hospital baharunya yang merupakan hasil sentuhan duo pereka fesyen tempatan terkenal, Rizman Ruzaini.
Untuk tahu dengan lebih lanjut lagi mengenai kolaborasi unik pakaian hospital ini, jom baca artikel ini sehingga tamat!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Penampilan sulung pertunjukan fesyen uniform hospital Aurelius Healthcare
Pada 3 Mei 2024, Aurelius Healthcare telah melancarkan pakaian hospital baharunya hasil sentuhan duo pereka fesyen tempatan terkenal, Rizman Ruzaini.
Kolaborasi unik ini menampilkan 13 set pakaian hospital untuk pelbagai jawatan yang berlainan termasuk jururawat, khidmat pelanggan, pejabat hadapan, pembantu penjagaan kesihatan dan sebagainya.
Uniform hospital ini direka dengan teliti dan memaparkan warna-warna cerah untuk pengecaman yang mudah. Kolaborasi istimewa ini juga menampilkan reka bentuk yang menyatukan keanggunan dengan ciri kemodenan, bagi memberi nafas baharu kepada pengalaman tetamu dan kakitangan di hospital.
“Koleksi ini bukan sekadar pakaian seragam. Ia melambangkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dalam semua aspek operasi kami,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengerusi Aurelius Healthcare, Dato’ Amir Firdaus Abdullah.
“Dengan menyatukan fungsi dan gaya, kami percaya pakaian seragam ini bukan hanya dapat menyemarakkan semangat pasukan, tetapi juga memupuk suasana lebih positif bagi pesakit dan kakitangan,” tambahnya lagi.
Uniform hospital ini juga diperagakan buat julung kalinya pada pertunjukan fesyen semasa rumah terbuka Aurelius Healthcare yang bertemakan ‘Glam Raya’ di Hotel Le Meridien, Putrajaya.
Aurelius Healthcare turut mengumumkan penjenamaan semula Hospital Aurelius Nilai kepada Hospital Aurelius Negeri Sembilan.
Di bawah Aurelius Healthcare terdapat tiga hospital iaitu:
- Aurelius Hospital Negeri Sembilan
- Aurelius Hospital Pahang
- Aurelius Hospital Alor Setar (bakal beroperasi)
Menyediakan penjagaan kesihatan yang komprehensif
Ditubuhkan pada tahun 2019, Aurelius Healthcare menawarkan pengurusan hospital bertaraf dunia bagi fasiliti baharu serta memodenkan aset penjagaan kesihatan yang telah kukuh direalisasikan menerusi rangkaian meluas kepakaran industri dalaman mereka.
Menurut Dato’ Amir, Aurelius Healthcare masih berada di peringkat awal untuk membawa standard pengurusan global kepada kemudahan penjagaan kesihatan di bandar serta luar bandar.
“Kami bersedia untuk pertumbuhan selanjutnya dan akan terus mencari peluang strategik untuk mengubah, berinovasi dan mengembangkan operasi kami, demi menetapkan piawaian baharu dalam pengurusan hospital dan penjagaan kesihatan di seluruh Malaysia dan rantau ini,” katanya lagi.
Dengan sokongan Navis Capital Partners, ia juga telah memperoleh beberapa pencapaian penting termasuk pengambilalihan Pahang Medical Centre yang kini dikenali sebagai Aurelius Hospital Pahang (AHP).
AHP akan menampilkan sebanyak 124 katil dan juga menawarkan perkhidmatan jagaan harian, memperkenalkan Pusat Kecemerlangan baharu seperti Onkologi, Pembedahan Invasif Minimum, Pembedahan Ortopendik, Wanita & Kanak-kanak termasuk rawatan In Vitro Fertilization (IVF).
Pakaian seragam beri aura positif dalam sesebuah organisasi
Pakaian seragam dapat memberikan satu ‘aura’ positif dan membina tahap keyakinan yang tinggi dalam diri setiap petugas apabila sedang bekerja.
Misalnya, jururawat akan memainkan peranannya dengan bersungguh-sungguh apabila mereka mengenakan baju hospital yang mempunyai reka bentuk yang selesa dan memudahkan mereka untuk bergerak walaupun dalam tempoh masa yang lama.
Kebanyakan hospital juga masih sanggup menggunakan pakaian hospital yang berwarna putih kerana ia kelihatan lebih formal. Namun begitu, terdapat juga hospital yang berfikiran terbuka dan mengikuti trend terkini dengan mempelbagaikan warna dan reka bentuk baju hospital.
Sebenarnya, tetapan warna dalam uniform hospital sangat bermanfaat kerana ia dapat membantu membezakan jenis pengurusan di klinik atau hospital, meningkatkan kecekapan kerja dan membantu membina persekitaran tempat kerja yang lebih harmoni.
Kesimpulan
Uniform hospital kerajaan mahupun swasta yang selesa dan selamat dipakai adalah amat penting bagi petugas-petugas dalam bidang perubatan supaya mereka dapat berganding bahu menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pesakit.
[embed-health-tool-bmi]