backup og meta

4 Kali Lebih Tertekan, Ini Antara Kesan Jangka Panjang Terhadap Mangsa Banjir!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin · Disemak pada 28/12/2022

    4 Kali Lebih Tertekan, Ini Antara Kesan Jangka Panjang Terhadap Mangsa Banjir!

    Banjir merupakan satu bencana yang boleh menyebabkan kerugian yang besar terhadap mangsa banjir. Akibat banjir, banyak nyawa manusia dan juga haiwan melayang di seluruh dunia. Kesan banjir di sesuatu kawasan juga mungkin berbeza mengikut topografi.

    Namun, kemusnahan harta benda awam serta kehilangan nyawa pasti akan membawa kesan negatif terhadap kesihatan manusia, terutamanya mereka yang terkesan secara terus dengan banjir.

    Dari segi jangka pendek, mangsa banjir terdedah dengan risiko jangkitan, luka, hipothermia dan juga gigitan serangga serta haiwan berbisa semasa banjir.

    Dalam masa yang sama, mereka terdedah pada penyakit bawaan air yang boleh menyebabkan cirit-birit. 

    Dari segi jangka panjang pula, bencana ini boleh menyebabkan masalah kewangan yang teruk. Malah, ada juga mangsa yang terkesan dari segi psikologi dan tidak dapat hidup dengan tenang walaupun setelah banjir surut.

    Tidak dinafikan, bencana banjir membawa pelbagai dugaan dan cabaran. Akibat banjir, ramai juga yang menderita dan terpaksa mulakan semula hidup mereka sehelai sepinggang. 

    Di bawah, kami akan huraikan lagi mengenai kesan jangka pendek dan jangka panjang banjir, serta langkah yang boleh kita lakukan untuk membantu mangsa yang terkesan.

    Akibat banjir: Kesan jangka pendek

    1. Risiko untuk lemas akibat banjir

    akibat banjir

    Lemas merupakan punca kematian utama akibat banjir. Kebanyakan kematian ini dicatatkan di kawasan yang mengalami banjir kilat berbanding kawasan yang banjir disebabkan paras sungai yang meningkat.

    Selalunya, perkara ini berlaku kerana mangsa tidak dapat menganggar kekuatan sebenar arus serta kedalamannya sewaktu banjir. Malah, ada juga yang terkorban sewaktu melakukan evakuasi.

    Kenderaan bermotor juga mempunyai bahayanya yang tersendiri ketika banjir. Ramai yang sangka, kereta merupakan tempat yang selamat untuk berlindung sewaktu banjir.

    Di Amerika Syarikat, hampir 57% kematian akibat banjir berlaku disebabkan kenderaan bermotor. Malah, ramai juga yang bertindak memandu merentas banjir tanpa mengambil kira kedalaman atau kekuatan arus.

    2. Kecederaan kecil serta jangkitan

    Antara kesan banjir yang lain ialah risiko kecederaan dan jangkitan yang tinggi. Ramai mangsa banjir akan mengalami kecederaan, sama ada disebabkan banjir itu sendiri atau kerana terluka terkena serpihan kayu, besi dan plastik yang terapung di dalam air.

    Selain itu, kecederaan juga boleh berlaku ketika mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing dan mula untuk melakukan kerja-kerja pembersihan. Objek tajam dan juga sepihan perabot boleh mendatangkan bahaya yang besar kepada mangsa.

    Pada masa yang sama, sebarang luka yang dialami ketika banjir juga berisiko untuk terkena jangkitan.

    Air banjir mengandungi banyak kekotoran yang tidak nampak dek mata kasar. Ia mungkin bercampur dengan tanah, tinja dan juga bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan pada kawasan luka.

    3. Kecederaan disebabkan elektrik

    Kecederaan disebabkan renjatan elektrik juga merupakan sesuatu yang lazim ketika banjir. Air yang bertakung di sekitar sumber elektrik mempunyai bahayanya yang tersendiri.

    Manakan tidak, sumber elektrik yang terdedah sukar untuk dikenal pasti. Ramai mangsa yang menjadi korban kerana tidak sedar akan bahaya di kawasan tersebut.

    4. Hipotermia

    Air tidak perlu sejuk seperti ais untuk hipotermia berlaku. Malah, kebanyakan air banjir mempunyai suhu yang lebih rendah daripada suhu badan, cukup untuk serangan hipotermia.

    5. Penyakit bawaan air

    akibat banjir

    Ketika banjir, terdapat risiko yang lebih tinggi untuk mengalami penyakit bawaan air.

    Antara penyakit yang lazim berlaku ketika banjir ialah sakit mata, kencing tikus, cirit-birit, hepatitis A, kolera, keracunan makanan, denggi, jangkitan pada kawasan kulit, malaria, chicken pox dan juga penyakit kaki, tangan dan mulut (HMFD).

    Untuk mengelakkan penyakit ini, pastikan air minuman datang dari sumber yang selamat. 

    Selalulah basuh tangan dengan air bersih, makan makanan yang dimasak dengan betul dan pastikan kawasan persekitaran bersih ketika makan.

    Kesan banjir dalam jangka panjang

    1. Kesan terhadap psikologi

    Bencana banjir merupakan satu peristiwa yang boleh meninggalkan trauma dalam kalangan mangsa.

    Walaupun banjir sudah surut, ada di dalam kalangan mangsa banjir yang akan mengalami tekanan perasaan yang teruk disebabkan kehilangan harta benda dan juga nyawa. 

    Ramai mangsa banjir yang mengalami masalah untuk tidur lena pada waktu malam. Malah, ada juga yang rasa resah, marah dan mengalami depresi disebabkan bencana ini.

    Tidak kurang juga, ada yang hilang selera makan dan sentiasa gelisah disebabkan banjir.

    Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Prehospital and Disaster Medicine, mangsa banjir berisiko untuk alami tekanan perasaan yang dahsyat seusai banjir surut.

    Malah, mangsa yang kehilangan harta benda dan rumah ditenggelami air didapati 4 kali ganda lebih tertekan berbanding mereka yang tidak merasai kesan banjir secara terus.

    2. Kerosakan fizikal akibat banjir

    Tidak dinafikan, banjir boleh menyebabkan kerosakan kepada harta benda awam. Jalan, jambatan, rumah dan ladang habis musnah dilanda banjir.

    Akibat banjir, banyak perniagaan yang terpaksa ditutup disebabkan banjir. Perniagaan ini juga mungkin akan memakan masa bertahun-tahun untuk pulih.

    Malah, bandar yang musnah disebabkan banjir juga memerlukan sumber kewangan yang besar untuk dibina semula.

    Pendek kata, mangsa banjir bukan sahaja kehilangan tempat untuk berteduh, kawasan tempat tinggal mereka juga akan mengalami kerosakan infrastruktur yang teruk dan mungkin memakan masa bertahun-tahun untuk dibina semula.

    3. Harga bahan mentah mungkin akan meningkat

    Akibat banjir, banyak tanaman yang musnah. Bukan itu sahaja, jalan yang rosak dan tenggelam disebabkan banjir juga boleh memutuskan rantaian bekalan makanan.

    Akibatnya, harga barang mentah akan naik disebabkan permintaan yang melebihi bekalan.

    4. Kehilangan nyawa disebabkan banjir

    Setiap tahun, banjir akan meragut banyak nyawa tidak kiralah manusia ataupun haiwan.

    Baru-baru ini, jumlah kematian di Selangor dan Pahang sahaja telah melebihi 39 orang. Haiwan peliharaan juga banyak yang mati kerana tidak sempat diselamatkan.

    5. Kerosakan pada struktur rumah

    akibat banjir

    Banjir, tidak kiralah banjir secara semula jadi atau banjir kilat, amatlah berbahaya kepada struktur rumah.

    Malah, banjir yang sedikit sahajapun sudah cukup untuk memusnahkan struktur rumah serta semua perabot yang ada. Ini tidak termasuk dengan kerosakan yang berlaku disebabkan tanah runtuh dan sebagainya.

    Jangan ambil ringan kesan banjir

    Tidak dinafikan, kesan banjir amatlah serius terhadap mangsa serta infrastruktur di sekeliling kawasan tersebut. 

    Walaupun anda tidak terkesan dengan banjir, anda masih boleh menghulurkan tangan untuk meringankan beban mereka.

    Cara terbaik untuk membantu mangsa banjir adalah melalui bantuan kewangan. Bantuan secara wang ringgit dapat membantu mangsa untuk membina semula kehidupan mereka selepas banjir.

    Jika anda berada berdekatan dengan kawasan banjir, tidak ada salahnya jika anda turun padang untuk melakukan aktiviti sukarelawan.

    Mangsa banjir perlukan bantuan serta tenaga tambahan untuk membersihkan rumah mereka pasca banjir. Sebarang bantuan yang boleh kita hulurkan mungkin membawa makna yang besar untuk mereka.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin · Disemak pada 28/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan