backup og meta

Wanita PCOS Cuba Ambil Ubat & Jalani Prosedur Kesuburan Ini, Boleh Tingkatkan Peluang Hamil

Wanita PCOS Cuba Ambil Ubat & Jalani Prosedur Kesuburan Ini, Boleh Tingkatkan Peluang Hamil

Sindrom ovari polisistik (PCOS) adalah salah satu penyebab kemandulan wanita yang paling kerap terjadi. Tetapi ini bukan bermakna wanita PCOS tidak boleh hamil sama sekali. Dengan cara merawat PCOS melalui ubat-ubatan dan prosedur kesuburan yang bersesuaian, impian untuk menimang cahaya mata dapat dikecapi!

Majoriti wanita yang mempunyai PCOS berupaya hamil melalui kombinasi perubahan gaya hidup dan ubat kesuburan.

Walaupun sebilangan pesakit memerlukan IVF, namun sebahagian besar wanita dapat mengandung dengan menggunakan rawatan kesuburan berteknologi rendah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

Cara merawat PCOS & hamil melalui pengambilan ubat-ubatan

Ubat-ubatan di bawah dapat bantu merawat gejala dan membaik pulih masalah kesuburan yang dihadapi pesakit PCOS.

Sekiranya penggunaan ubat tidak berjaya, doktor mungkin akan mengesyorkan opsyen prosedur tertentu sebagai rawatan kesuburan.

#1 Metformin

Sekiranya anda memiliki isu rintangan insulin, pengambilan metformin (ubat diabetes) dapat merawat masalah tersebut dan bantu menurunkan berat badan. Ia juga meningkatkan peluang untuk hamil!

Metformin kadangkala turut dipreskripsikan kepada pesakit PCOS walaupun pada mereka yang tidak mempunyai masalah rintangan insulin.

Pengambilan metformin untuk pesakit PCOS dianggap sebagai penggunaan off-label. Pun begitu, ubat ini adalah selamat dan boleh membantu anda untuk hamil.

Menurut penyelidikan, metformin berpotensi:

cara merawat PCOS

  1. Mulakan semula kitaran haid.
  2. Menggalakkan penurunan berat badan.
  3. Meningkatkan keberkesanan sesetengah ubat kesuburan.
  4. Kurangkan kadar keguguran (pada wanita yang mengalami keguguran berulang).

Jadi, bolehkah cara merawat PCOS melalui metformin sahaja membantu anda hamil? Malangnya, ia mungkin tidak…

Walaupun kajian terdahulu mendapati metformin meningkatkan kemungkinan wanita untuk berovulasi, namun kajian yang lebih lanjut tidak menemui peningkatan kehamilan atau kadar kelahiran.

Dengan kata lain, peningkatan ovulasi tidak meningkatkan tahap kesuburan.

#2 Clomid

Clomid merupakan antara ubat kesuburan dan cara merawat PCOS yang paling banyak digunakan secara keseluruhan.

Ia juga dijadikan sebagai cara merawat PCOS yang paling kerap diguna pakai. Untuk makluman, ramai pesakit PCOS dapat hamil dengan bantuan Clomid.

Namun, hasil kejayaan ubat ini adalah berbeza-beza bagi setiap wanita, kerana sesetengah pesakit akan mengalami rintangan Clomid.

Ini terjadi apabila Clomid tidak mencetuskan ovulasi seperti yang diharapkan.

Pun begitu, kajian mendapati bahawa gabungan metformin dan Clomid dapat bantu mengatasi rintangan Clomid.

#3 Letrozole

Jika penggunaan ubat metformin dan Clomid masih tidak berjaya, doktor anda mungkin bakal mengesyorkan ubat Letrozole.

Untuk pengetahuan pembaca, Letrozole sebenarnya merupakan ubat yang digunakan untuk kanser.

Pun begitu, kajian mendapati bahawa ia mungkin lebih berkesan berbanding Clomid dalam merangsang ovulasi pada pesakit PCOS.

Jangan merasa takut pula jika ubat ini pada asalnya dicipta sebagai ubat barah.

Ini kerana kesan sampingannya agak ringan, dan telah dikaji secara mendalam pada wanita yang berusaha untuk hamil.

#4 Gonadotropin

Sekiranya pengambilan Clomid atau Letrozole juga masih tidak mendatangkan hasil, opsyen cara merawat PCOS yang seterusnya adalah ubat kesuburan atau gonadotropin yang boleh disuntik.

Gonadotropin dihasilkan daripada hormon FSH, LH, atau gabungan keduanya.

Doktor anda mungkin turut mencadangkan kombinasi ubat kesuburan oral dan suntikan sebagai cara merawat PCOS.

Atau, doktor mungkin mengesyorkan pengambilan gonadotropin dengan prosedur IUI (intrauterine insemination).

IUI melibatkan kemasukan air mani yang telah dicuci khas terus ke rahim melalui kateter. Air mani mungkin diperolehi daripada penderma sperma atau pasangan anda.

Salah satu risiko penggunaan gonadotropin adalah ovarian hyperstimulation syndrome (OHSS), yang terjadi apabila ovari bertindak balas secara berlebihan terhadap ubat kesuburan.

Sekiranya tidak dirawat atau menjadi teruk, keadaan ini boleh mengundang bahaya. Pesakit PCOS juga mempunyai risiko terkena OHSS yang lebih tinggi.

Doktor anda mungkin bakal menggunakan dos suntikan kesuburan yang lebih rendah untuk mengelakkan risiko tersebut.

Sebaik-baiknya, doktor harus menggunakan dos terendah yang efektif.

Semasa rawatan, jika anda mempunyai gejala OHSS (seperti kenaikan berat badan yang mendadak, sakit perut, kembung, atau loya), segera maklumkan simptom dihadapi pada doktor.

Opsyen prosedur kesuburan untuk hamil

cara merawat PCOS

Jikalau pengambilan gonadotropin juga masih tidak berjaya, langkah seterusnya adalah IVF (persenyawaan in-vitro) atau IVM (pematangan in-vitro).

Anda pasti pernah terdengar mengenai prosedur IVF, kan?

Prosedur ini melibatkan penggunaan ubat kesuburan yang disuntik ke dalam urat untuk merangsang ovari menghasilkan sebilangan besar telur (ovum) yang matang.

Kemudian, telur diambil dari ovari semasa prosedur egg retrieval. Telur-telur matang tersebut kemudiannya dikumpulkan dan disenyawakan dalam tabung uji.

Jika semuanya berjalan lancar, sperma akan dapat senyawakan sebahagian telur, lantas membentuk embrio.

1 atau lebih embrio bakal dipindahkan ke dalam rahim melalui faraj isteri dan prosedur ini dikenali sebagai pemindahan embrio.

2 minggu kemudian, doktor akan meminta anda lakukan ujian kehamilan untuk mengetahui sama ada kitaran itu berjaya atau sebaliknya.

Salah satu risiko IVF terutamanya pada pesakit PCOS yang perlu diketahui adalah rangsangan ovari yang berlebihan. Di sinilah IVM memainkan peranan.

Berbanding memberikan anda ubat kesuburan berdos tinggi untuk memaksa ovari mematangkan telur, dengan IVM, anda sama ada tidak menerima ubat kesuburan atau diberikan dos yang sangat rendah.

Doktor akan mengambil telur yang belum matang dari ovari, dan kemudian mematangkannya di makmal.

Perlu juga anda tahu, rawatan IVM tidak ditawarkan di semua klinik kesuburan.

Demikian adalah antara pilihan ubat dan prosedur yang boleh wanita PCOS cuba dalam ikhtiar mendapatkan zuriat.

Sebelum anda membuat sebarang keputusan, pastikan untuk dapatkan pandangan dan nasihat daripada doktor atau pakar sakit puan terlebih dahulu ya!

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.jeanhailes.org.au/health-a-z/pcos/fertility-management-treatment
  2. https://www.nhs.uk/conditions/polycystic-ovary-syndrome-pcos/treatment/
  3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6935873/
  4. https://www.womenshealth.gov/a-z-topics/polycystic-ovary-syndrome
  5. https://www.nichd.nih.gov/health/topics/pcos/conditioninfo/treatments/infertility

Versi Terbaru

06/03/2022

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Keluar Lendiran Putih & Nafsu Seks Meningkat, Ini 6 Tanda Ovulasi Yang Setiap Wanita Perlu Tahu!

Masalah PCOS Wanita, Kenal Pasti Tanda, Punca & Rawatan Yang Boleh Dilakukan!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 06/03/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan