Soalan Pembaca
Saya seorang gadis yang berusia 18 tahun. Saya mempunyai satu kondisi yang dikenali sebagai ‘inverted nipple’. Kadang-kadang, puting saya timbul dan kadang-kadang tidak. Saya juga mengalami masalah puting sakit apabila disentuh. Saya ingin bertanya, kenapa puting payudara sakit bila tersentuh?
Bukan itu sahaja, puting saya juga mempunyai belahan. Kalau saya periksa, ada sesuatu yang keluar dari celahan puting. Saya tidak pasti apakah ‘benda’ itu, sama ada ia cecair atau sel kulit mati.
Bolehkah doktor tolong terangkan kepada saya, apa sebenarnya yang berlaku?
(Loly Mel)
Soalan diberikan pembaca ini akan dijawab oleh Dr Zai Muhammad Zaidi, Panel Perubatan Hello Doktor. Jawapannya adalah seperti berikut:
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Jawapan Doktor
Hai Adik,
Untuk menjawab persoalan anda tentang kenapa puting payudara sakit bila tersentuh serta bahayanya terhadap kesihatan, kami ada jawapannya.
Bagi menjawab persoalan mengenai bentuk puting, semua orang mempunyai bentuk payudara dan puting yang berbeza-beza. Jadi, jangan risau jika ia nampak sedikit berbeza dengan orang lain.
Inverted nipple merupakan satu kondisi yang menyebabkan puting termasuk ke dalam buah dada. Kebanyakan orang yang mengalami inverted nipple lahir dengan kondisi ini. Ia juga selalunya tidak mendatangkan sebarang bahaya.
Walau bagaimanapun, jika puting tiba-tiba termasuk ke dalam tanpa sebab, ini mungkin tanda penyakit! Jika ini yang berlaku, berjumpalah doktor dengan kadar yang segera.
Sama jugalah jika puting sakit atau ada sebarang cecair yang keluar dari puting, dapatkan konsultasi daripada doktor secepat mungkin. Ia mungkin tanda jangkitan.
Tolong Dr, kenapa puting payudara sakit bila tersentuh?
Wanita yang mempunyai masalah inverted nipple jarang sekali mengalami kesakitan. Walau bagaimanapun, jika puting mulai sakit atau mengeluarkan cecair, mungkin ada faktor lain yang menjadi penyebabnya.
Antaranya:
1. Anda mempunyai jangkitan di kawasan puting
Ya, puting anda pun boleh terkena jangkitan, terutamanya jangkitan yis! Jangkitan jenis ini selalunya berlaku di kawasan lembap dan terdedah dengan peluh (seperti di bawah lengan dan kawasan Miss V).
Ada banyak pori yang besar dan folikel rambut di kawasan puting yang boleh tersumbat atau dijangkiti. Wanita yang selalu pakai bra yang sama berulang kali paling terdedah dengan jangkitan.
Antara simptomnya ialah sakit, gatal, rasa panas dan keluar cecair pada puting. Jika ini berlaku, jumpalah doktor secepat mungkin.
2. Puting sakit sebab bergesel dengan baju
Kenapa puting payudara sakit bila tersentuh? Salah satu puncanya ialah geseran!
Jika anda sering bersenam atau kerap berlari, puting sakit merupakan masalah biasa. Kadangkala, ia berlaku disebabkan geseran pada baju atau baju dalam yang dipakai.
Wanita yang sedang melakukan larian maraton tidak dapat lari daripada masalah ini. Kondisi ini turut dikenali sebagai ‘jogger’s nipple’.
Baca juga:
- Bukan Susu Yang Keluar, Tapi Ada Cecair Warna Lain Pada Puting! Semak Petanda Infeksi @ Barah
- Fungsi Pada Puting Dada Lelaki, Tak Besar Tapi Ada Tarikan!
3. Anda mengalami perubahan hormon
Ya, perubahan hormon juga boleh menyebabkan puting kesakitan. Kadangkala, kesakitan di kawasan payudara merupakan tanda hamil.
Oleh sebab itu, jika anda mengalami masalah iritasi di kawasan puting dan tidak mengambil sebarang bentuk pil perancang keluarga, mungkin anda perlu beli ujian kehamilan!
Namun, perubahan hormon boleh berlaku disebabkan pelbagai perkara. Sebagai contoh, puting atau payudara mungkin akan rasa sakit jika anda baru datang haid atau bertukar ke pil perancang keluarga baharu.
4. Kenapa puting payudara sakit bila tersentuh? Mungkin alahan!
Jika anda rasa gatal puting selepas memakai minyak wangi, sabun, losyen atau pencuci baju baharu, kegatalan ini mungkin berlaku disebabkan tindak balas alahan.
Pilih sabun yang bebas pewangi atau bersifat hipoalergenik supaya kegatalan ini tidak berulang.
5. Anda mungkin mengalami kanser payudara
Puting sakit mungkin merupakan tanda kanser payudara. Walau bagaimanapun, simptom ini sangat jarang berlaku.
Salah satu tanda kanser payudara ialah warna merah jambu, merah atau ungu pada kulit payudara. Selain itu, payudara pesakit juga akan rasa ‘panas’ tanpa sebab.
Kami berharap agar persoalan adik berkenaan dengan kenapa puting payudara sakit bila tersentuh telah terjawab. Jangan takut untuk berjumpa doktor sekiranya mempunyai sebarang masalah.
[embed-health-tool-ovulation]