backup og meta

Paksa Muntah Kembali Makanan Boleh Bawa Maut, Ada 11 Tanda Penyakit Bulimia, AWASINYA!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 27/08/2021

    Paksa Muntah Kembali Makanan Boleh Bawa Maut, Ada 11 Tanda Penyakit Bulimia, AWASINYA!

    Apabila bercakap soal gangguan berkaitan pemakanan, perkara yang sering kita bayangkan adalah seperti obesiti atau anoreksia. Namun, ada juga satu lagi gangguan yang perlu diketahui iaitu penyakit bulimia nervosa.

    Apakah sebenarnya penyakit bulimia ini?

    Penyakit bulimia nervosa, gangguan pemakanan yang boleh ancam nyawa!

    Seperti mana gangguan anoreksia, penyakit bulimia nervosa juga adalah salah satu daripada jenis-jenis gangguan pemakanan.

    Ia adalah gangguan yang bukan sahaja dianggap serius, malah boleh mengancam nyawa individu tersebut.

    Individu yang mempunyai penyakit bulimia ini akan makan dengan banyak dalam satu-satu masa, dan kemudiannya cuba menyingkirkan makanan yang telah dimakan dengan cara yang tidak betul.

    Ini termasuklah melalui cara muntah secara paksa, bersenam secara berlebih-lebihan atau mengambil ubat julap dengan tidak betul.

    Individu yang mempunyai penyakit bulimia ini sering memikirkan berkenaan rupa bentuk tubuh badan mereka.

    Mereka sering memerhatikan berat badan mereka sepanjang masa. Penyakit bulimia nervosa ini lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki, dan ia banyak terjadi sewaktu usia remaja atau awal dewasa.

    Apakah punca kepada penyakit bulimia nervosa ini?

    penyakit bulimia

    Tidak terdapat punca yang jelas mengapa gangguan ini berlaku. Namun, ada beberapa faktor yang mempengaruhi ia untuk berlaku.

    Ada sesetengah individu atau kelompok manusia yang berasa bahawa mereka perlu memenuhi kehendak atau jangkaan sosial seperti memiliki tubuh badan yang ramping yang melambangkan kecantikan.

    Selain itu, peranan media seperti media sosial turut mempengaruhi ramai individu untuk mengalami gangguan ini.

    Ada juga beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi hal ini seperti isu berkaitan kemarahan, kemurungan dan kesempurnaan.

    Ada kajian yang menyatakan bahawa gangguan bulimia ini adalah satu gangguan yang diwarisi, dan ia juga boleh berlaku disebabkan kekurangan hormon serotonin dalam otak manusia.

    Ini tanda-tanda jika anda sedang alami penyakit bulimia nervosa

    Penyakit bulimia ini mungkin agak sukar untuk dikesan oleh anda walaupun anda sendiri sedang mengalaminya.

    Namun, jika anda ingin tahu adakah anda mengalaminya atau tidak, sila perhatikan tanda-tanda di bawah ini:

    • Kerap memikirkan berkenaan rupa bentuk serta berat tubuh badan anda
    • Sering takut sekiranya berat badan bertambah
    • Sering memandang rupa bentuk tubuh sendiri dengan cara yang negatif
    • Kerap makan dengan cara yang tidak normal seperti makan dengan jumlah yang banyak dalam satu-satu hidangan (binge eating)
    • Tidak mampu mengawal pemakanan seperti tidak mampu untuk berhenti makan atau makan apa sahaja yang terhidang di depan mata
    • Tidak makan di hadapan orang ramai kerana malu dengan jumlah pemakanan yang diambil
    • Memaksa diri untuk muntah atau bersenam secara keterlaluan untuk mengelakkan pertambahan berat badan setelah makan dengan banyak
    • Menggunakan ubat julap, diuretik atau enema selepas makan tanpa keperluan
    • Berpuasa atau menahan diri daripada mengambil kalori harian antara episod waktu makan
    • Kerap ke tandas selepas makan
    • Mengambil suplemen diet tertentu atau sebarang produk herba yang diyakini mampu menghilangkan berat badan dengan cepat atau secara berlebihan

    Adakah terdapat sebarang rawatan untuk mengatasi gangguan ini?

    bulimia nervosa

    Rawatan yang tersedia bagi merawat gangguan ini meliputi rawatan berkaitan pendidikan berkenaan pemakanan dan juga kesihatan mental.

    Rawatan memfokuskan kepada bagaimana melihat diri sendiri dengan pandangan yang lebih sihat atau positif selain membudayakan tabiat pemakanan yang baik. Antara pilihan rawatan yang tersedia ialah:

    • Penggunaan antidepresan seperti fluoxetine bagi merawat bulimia
    • Penglibatan dalam psikoterapi seperti terapi tingkah laku kognitif (CBT), terapi keluarga dan juga psikoterapi interpersonal
    • Pendidikan berkenaan nutrisi dan tabiat pemakanan oleh pakar pemakanan
    • Jika terdapat sebarang komplikasi akibat daripada gangguan ini, rawatan yang berkaitan akan dilakukan bagi merawat komplikasi tersebut

    Kesimpulan

    Bulimia nervosa ini sememangnya boleh mengancam nyawa jika ia biarkan dan tidak dirawat dengan sebaiknya.

    Kita juga mungkin memerlukan sedikit masa untuk mengatasi masalah ini kerana ia melibatkan kedua-dua keadaan fizikal dan juga psikologi penghidapnya.

    Oleh itu, rawatan perlu diberikan kepada kedua-dua keadaan. Namun, ia bukan alasan untuk tidak merawat penyakit ini.

    Rawatan akan menjadi semakin berkesan jika masalah ini dikesan di peringkat awal dan dilakukan intervensi secepat yang mungkin. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 27/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan