Apabila anda didiagnos dengan kanser kolorektal, mungkin anda merasakan satu kesukaran dalam kehidupan anda, mematikan impian dan memusnahkan harapan. Hakikatnya kehidupan anda masih belum berakhir walau apa pun yang anda hadapi jika anda mampu mengawal bagaimana anda bertindak balas terhadapnya. Berikut adalah beberapa cara untuk anda kekal positif dan bermotivasi menempuhi masa-masa sukar.
Tip kekal positif dan bermotivasi
Baca dan dengar maklumat positif
Tanamkan dalam fikiran anda segala maklumat yang memberikan inspirasi dan menarik adalah cara terbaik untuk membantu anda terus bermotivasi. Anda boleh melayari internet untuk mendapatkan topik atau cerita positif, video sebagai motivasi. Atau anda boleh dapatkan kata-kata perangsang berkaitan topik positif yang dapat menaikkan semangat anda. Kemudian, tampalkannya di tempat kerja, atau bilik tidur anda untuk mengingatkan anda bahawa anda mampu mencapai kejayaan.
Persekitaran positif
Adalah penting untuk menghindarkan diri daripada individu dan perbualan yang bersifat negatif yang mendorong anda untuk menumpukan kepada perkara yang salah dan hilang matlamat. Jangan terlibat dalam perbincangan yang negatif dan carilah individu yang bersikap positif. Mereka adalah individu yang sentiasa optimis tentang kehidupan, ia akan mendatangkan kesan kepada emosi anda dan memberikan anda maklumat untuk menjadi positif seperti mereka. Selain itu, anda boleh kekal bersikap neutral jika tidak mahu menyertai mana-mana pihak. Ini bermakna anda perlu menenangkan diri dan melihat setiap perkara secara menyeluruh.
Tenang dan kosongkan fikiran
Meditasi adalah cara yang terbaik untuk menyegar dan mengosongkan fikiran. Dipercayai pernafasan dapat mendatangkan kesan kepada kesihatan mental, mengubah fikiran dan membantu anda menjadi lebih tenang. Cari tempat yang sunyi dan selesa, duduk, rehatkan otot, tutup mata, tarik nafas dalam-dalam dan panjang, dan lepaskan ia secara perlahan-lahan. Ketika waktu ini, anda perlu fikirkan sesuatu yang positif dan menggembirakan. Bayangkan segala pengalaman menarik dan individu hebat dalam hidup anda yang membuatkan anda bahagia untuk tempoh 5 minit atau lebih.
Dapatkan ilham daripada muzik
Jika anda ingin kekal positif dan bermotivasi, muzik, tanpa keraguan, adalah cara paling efektif dan mudah. Irama, melodi dan lirik yang baik akan dapat menyingkirkan tekanan dan kegelisahan dalam fikiran anda dengan segera. Lagu yang hebat juga membantu anda untuk berhubung dengan emosi dan perasaan yang mendalam menerusi irama dan lirik. Jangan lupa bahawa muzik mempunyai bahasanya yang tersendiri. Belajar untuk memainkan instrumen akan mencabar diri anda untuk meluahkan emosi dan pemikiran anda melalui cara yang baru.
Terus belajar
Teruskan belajar dapat membantu anda mengembangkan fikiran dan perspektif anda. Perkembangan peribadi adalah sentiasa berterusan. Anda boleh memperbaiki diri dan keupayaan anda untuk mencapai sesuatu dengan lebih berjaya. Jadi, mengapa perlu anda takutkan cabaran? Anda hanya perlu yakin terhadap diri anda sendiri. Lihat setiap cabaran sebagai peluang untuk anda menjadi lebih kuat.
Sikap positif dan bermotivasi boleh mengubah kehidupan anda secara menyeluruh. Penuhi fikiran anda dengan perkara yang positif dan bermotivasi akan membantu anda untuk menghasilkan lebih banyak perkara positif dalam hidup anda. Pastikan diri anda kekal positif dan bermotivasi, singkirkan perkara negatif, ini membantu anda untuk lebih menghargai kehidupan dan hiduplah dengan lebih menghargai diri anda.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: