backup og meta

Bayi Doktor Maut Tertinggal Dalam Kereta 10 Jam! Parents, Ini 9 Tip ELAK Terlupa Anak Dalam Kereta

Bayi Doktor Maut Tertinggal Dalam Kereta 10 Jam! Parents, Ini 9 Tip ELAK Terlupa Anak Dalam Kereta

Tiada ibu bapa yang sengaja mahu meninggalkan anak di dalam kereta. Namun, adakala akibat kepenatan dalam melakukan tugasan harian, kita alpa. Bagaimana untuk elakkan daripada lupa dan tertinggal anak dalam kereta?

Insiden tertinggal anak dalam kereta

Kita pernah dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi berusia 9 bulan dalam kereta milik bapanya yang diletakkan di tempat letak kereta sebuah premis.

Nasib malang menimpa bayi tersebut kerana bapa terlupa bahawa mangsa masih berada di dalam kenderaan.

Kejadian hanya disedari bapa mangsa apabila dia hendak keluar dari pejabat untuk makan lebih kurang jam 1 tengah hari. Mangsa sepatutnya dihantar ke pusat jagaan bayi terlebih dahulu sebelum bapanya pergi ke tempat kerja.

Baru-baru ini, kita juga digemparkan dengan kejadian yang hampir serupa, seorang bayi perempuan berusia 8 bulan meninggal dunia selepas hampir 10 jam ditinggalkan di dalam kereta di tempat parkir sebuah hospital di Cheras.

Kejadian berlaku apabila ibu mangsa yang juga seorang doktor, tertinggal anak dalam kereta kerana keluar bekerja di hospital tersebut. Wanita berkenaan dikatakan hanya tersedar pada jam 5.30 petang apabila dihubungi suaminya.

Penulis percaya pasti akan ada netizen yang akan menuding jari kepada ibu bapa untuk dua insiden tersebut. 

Menyalahkan itu dan ini kepadanya seperti “Perkara seperti itu pun boleh lupa ke? Anak kot” atau “Takkan tak perasan anak dalam kereta” dan sebagainya.

Tertinggal anak dalam kereta boleh berlaku kepada sesiapa

Ya, betul anda boleh mengatakan apa sahaja yang anda mahu.

Bukan penulis mahu menyebelahi si ibu, bapa atau mana-mana pihak. Namun hakikatnya perkara seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Percayalah sesiapa sahaja boleh mengalaminya.

Tanyalah kepada mana-mana ibu bapa yang menyayangi anak-anaknya, adakah mereka sanggup untuk membiarkan anak mereka secara sengaja di dalam kereta?

Pastinya tidak akan ada seorang pun ibu atau bapa yang sangggup. Ada masa, kepenatan yang dilalui membuatkan kita terlupa tentang perkara penting.

Takkan anda tidak pernah terlupa mengenai sesuatu perkara apabila anda dalam keadaan kelesuan dan tidak cukup rehat?

Memang betul, kita sedang bercakap mengenai nyawa seorang anak. Tetapi siapa kita untuk menidakkan ketentuan takdir Tuhan? Yang pastinya di sini, tiada ibu bapa yang kasihkan anak-anaknya sanggup menyeksa mereka.

terlupa anak dalam kereta

9 tip untuk elak tertinggal anak dalam kereta

Mencegah sesuatu itu pastinya lebih baik, bukan?

Jadi penulis ingin kongsikan 9 tip untuk mengelakkan sebarang kejadian terlupa atau tertinggal anak dalam kereta daripada berlaku kepada sesiapa pun:

1. Peka perubahan rutin

Apabila kita sudah terbiasa dengan sesuatu rutin, kita selalu terlupa jika terdapat perkara lain yang perlu dilakukan.

Ia merupakan antara punca utama mengapa kejadian tertinggal anak dalam kereta atau kenderaan sering berlaku.

Maka, ibu bapa perlu lebih peka dengan sebarang perubahan rutin. Lebih-lebih lagi jika tanggungjawab menghantar anak ke pusat asuhan digalas oleh pasangan anda.

2. Letakkan barang anak

Anak di kerusi keselamatan pada tempat duduk penumpang belakang?

Disarankan untuk meletakkan sesuatu barangan milik anak, seperti beg pakaian, mainan atau apa sahaja kepunyaan anak di tempat duduk penumpang hadapan (sebelah tempat duduk anda).

Ia adalah untuk membuatkan anda mengingati bahawa anak anda berada bersama anda.

3. Tinggalkan barangan yang ada

Tip lain yang boleh membantu untuk tidak terlupa si manja di tempat duduk penumpang belakang, letakkan barangan kepunyaan anda seperti beg duit atau beg tangan di sana.

Jadi apabila anda ingin mengambil kembali barang, sudah tentu anda akan ternampak si kecil yang masih berada di tempat duduknya.

4. Kedudukan kerusi keselamatan anak 

Jika sebelum ini anda meletakkan posisi kerusi keselamatan anak pada bahagian belakang pemandu, anda boleh mengubah kedudukannya.

Letakkan pada bahagian tengah di mana anda akan lebih mudah melihatnya.

Meletakkan kerusi keselamatan anak di tempat duduk penumpang hadapan juga boleh dijadikan pilihan. Tetapi pastinya anda perlu tahu posisi yang selamat mengikut usia si kecil.

5. Bantuan daripada pengasuh

Anda juga boleh meminta bantuan pengasuh untuk menghubungi anda sekiranya anda tidak menghantar anak anda seperti biasa.

6. Sentiasa memeriksa kereta 

Ia mungkin tindakan jarang dibuat. Namun bermula daripada hari ini, anda perlu mengamalkannya.

Sentiasa memeriksa kereta sebelum menguncinya dan jadikanlah ia tabiat yang perlu dilakukan setiap masa.

7. Meletakkan sebarang nota 

Mungkin tip ini agak leceh kerana perlu menulis nota sebagainya.

Walau bagaimanapun, apalah sangat rasa leceh tersebut kalau hendak dibandingkan dengan nyawa si kecil. Sudah tentu ia lebih bernilai dan tidak akan dapat ditukar ganti.

Tulis sebarang nota pada sticky note seperti ANAK DI BELAKANG dan lekatkan pada stereng atau papan pemuka (dashboard) agar anda tidak terlupa.

Leceh tetapi boleh membantu menyelamatkan nyawa.

terlupa si manja

8. Panggilan telefon atau set alarm di kalendar

Ini mungkin cara yang leceh tetapi berkesan. Anda boleh setkan peringatan di aplikasi kalendar telefon pintar. Jangan lupa untuk meletakkan penggera untuk mengingatkan.

Selain itu, mintalah bantuan pasangan untuk menghubungi anda pada waktu tertentu bagi mengingatkan tentang si kecil.

9. Apps di waze boleh elak tertinggal anak dalam kereta

Anda pengguna aplikasi Waze? Ada fungsi khusus yang dinamakan Child Reminder. Gunakan aplikasi ini walaupun mungkin anda sudah mengetahui selok-belok jalan yang perlu dilalui.

Apabila anda tiba ke destinasi, notifikasi Child Reminder akan dikeluarkan. Ia juga boleh dianggap cara berkesan untuk mengelak daripada tertinggal si kecil dalam kenderaan.

Akhir kata

Terlupa boleh berlaku kepada sesiapa, tetapi kita boleh mencegahnya, bukan? Semoga perkongsian tip di atas dapat membantu ibu bapa daripada terlupakan anak dalam kereta. 

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Be Careful: Research Shows That Anyone Could Forget a Kid in a Hot Car. https://www.consumerreports.org/car-safety/anyone-could-forget-kids-in-hot-car-forgotten-baby-syndrome/. Accessed Aug 27, 2020.

One Simple App Can Save Your Child’s Life. https://www.kars4kids.org/safety-app/. Accessed Aug 27, 2020.

Forgotten Child In The Car. http://www.aseancap.org/v2/wp-content/uploads/2018/07/4.-MayHwong_AdviceParents_Forgotten-Child-Seminar.pdf. Accessed Aug 27, 2020.

Forgotten Baby Syndrome: dimensions of the phenomenon and new research perspectives. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/32202549/. Accessed Oct 6, 2023.

Forgotten Baby Syndrome. https://www.yorkchild.ca/wp-content/uploads/2022/06/Forgotten-Baby-Syndrome.pdf. Accessed Oct 6, 2023.

Saving the forgotten children. https://www.holmbergs.se/saving-the-forgotten-children/. Accessed Oct 6, 2023.

 

Versi Terbaru

09/10/2023

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

FAQ: Pakar Pediatrik Jawab Soalan Lazim Tanda HFMD & Tip Penjagaan Anak

9 Panduan Memilih Stroller Atau Kereta Sorong Bayi, JANGAN Beli Tanpa Ikut Panduan Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/10/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan