Sedang anda mencari posisi yang paling best untuk tidur, tiba-tiba telefon pintar anda berdering menandakan ada mesej yang masuk. Wah, rupanya ia datang dari kekasih hati anda yang ingin bermanja sebelum sama-sama lena dibuai mimpi.
Disebabkan rasa cinta dan rindu yang terlalu kuat padanya, anda dengan pantas akan membalas mesej tersebut. Namun, text yang anda reply dengan penuh perasaan itu hanya dibaca namun tidak dibalas. Akibatnya, anda mula rasa gelisah.
Pernahkah ini terjadi kepada anda? Jika ada, mungkin anda juga merupakan salah seorang daripada manusia di muka bumi ini yang fobia bluetick.
Mengapa ini terjadi?
Pada era dunia digital sekarang, semuanya di hujung jari. Hanya dengan sebuah telefon pintar, segalanya dapat dicapai dengan mudah dan cepat. Disebabkan itu, kita akan cenderung untuk berharap segala aktiviti alam maya kita dapat disempurnakan dengan cepat. Begitu juga halnya dengan interaksi sosial kita.
Dengan kewujudan aplikasi seperti WhatsApp, MiChat, Telegram dan pelbagai lagi platform sembang yang lain, kita akan terlalu bergantung kepadanya untuk berkomunikasi dengan orang yang jauh, terutamanya insan tersayang.
Disebabkan itu, kita akan mudah berasa marah, sedih atau gelisah sekiranya apa yang didambakan tidak mampu ditunaikan oleh teknologi. Siapa sahaja yang tidak pernah mengamuk jika line coverage internet lembab, bukan?
Sama juga halnya dengan komunikasi atas talian jarak jauh. Jika orang yang anda mesej membalas dengan lambat, atau tidak membalas langsung, ini sudah pasti akan mengundang kegelisahan!
Fobia bluetick
Bluetick atau tanda biru yang terdapat dalam aplikasi sembang paling popular di dunia, WhatsApp, adalah satu tanda bahawa orang yang menerima mesej anda telah membacanya. Jadi, apa yang anda akan rasa jika insan tersayang anda telah membaca tetapi tidak membalas mesej sweet anda itu?
Sudah pasti anda akan rasa gelisah, bukan? Ini kerana anda akan mula berfikir yang bukan-bukan. Mungkin dalam fikiran anda bahawa insan tersayang anda tidak mahu membalas mesej anda kerana sudah tidak suka dengan anda atau sedang bermain kayu tiga. Padahal, ia mungkin akibat lupa atau sebab lain.
Begitu juga halnya apabila kita mahukan jawapan yang cepat daripada seseorang itu. Sebagai contoh, anda mengirim mesej kepada bos di pejabat mengatakan anda terlambat untuk suatu meeting dan dia hanya membaca tanpa membalas. Sudah pasti satu tubuh badan anda akan mula berasa gelisah menantikan jawapan.
Antara contoh yang lain pula, anda mengirim mesej kepada rakan anda meminta pertolongan kerana kereta anda rosak di tengah highway. Akan tetapi, sahabat baik anda itu hanya membaca tanpa membalas. Ia sudah pasti akan membuat anda berasa sedih dan marah. Secara tidak langsung, ia akan merosakkan hubungan sosial anda.
Bukan itu sahaja, peristiwa sebegini juga mungkin akan menyebabkan anda melemparkan telefon pintar anda kerana terlalu geram. Anda sudah pasti tidak mahu ini terjadi kepada smartphone kesayangan anda itu, bukan?
Perasaan takut ditinggalkan atau dipinggirkan
Sebenarnya, fobia bluetick ini adalah didasari oleh perasaan takut ditinggalkan atau dipinggirkan. Hakikatnya, orang yang anda mesej itu mungkin sendiri tidak sedar atau tidak sengaja meninggalkan tanda biru ini kepada anda. Jadi, tidak adil untuk anda terus menjatuhkan hukum atau beranggapan mereka sudah tidak peduli akan anda.
Jadi, muhasabah diri anda. Bluetick bukan merupakan satu petunjuk yang tepat bahawa individu yang anda berhubungan itu masih peduli tentang anda atau tidak.
Bahana telefon pintar
Sebenarnya, bukan tanda biru pada aplikasi media sosial ini sahaja yang mendatangkan bahana kepada kita. Hakikatnya, telefon pintar itu sendiri boleh memudaratkan kita dari segi kesihatan. Ada kajian yang mendapati bahawa penggunaan telefon pintar boleh jadi punca tidur malam terganggu!
Menurut sebuah kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, semakin ramai penduduk di negara Uncle Sam itu mengalami kesukaran untuk tidur setiap tahun. Dianggarkan, kira-kira 5 juta individu dewasa di situ mengalmi kesukaran ini.
Apa yang lebih membimbangkan adalah kesukaran untuk tidur pada waktu malam khususnya ini lebih kerap berlaku dalam kalangan mereka yang cuba untuk tidur pada waktu yang dicadangkan, yakni sekitar tujuh hingga sembilan jam sejari.
Dikatakan, puncanya adalah telefon pintar.
Kajian di US
Menurut kajian yang dijalankan oleh Iowa State University berdasarkan beberapa kajian literatur, pengguna telefon pintar yang kebanyakannya golongan remaja, mengalami kesukaran melelapkan mata ketika bermain dengan telefon pintar sebelum masuk tidur. Namun, individu dewasa juga tidak terkecuali dari masalah ini.
Kajian ini dilakukan dengan meneliti data sekitar 165,000 individu daripada National Health Interview Survey. Dari data ini, ditunjukkan bahawa antara tahun 2013 hingga 2017 sahaja, bilangan individu dewasa yang dilaporkan mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam sekurang-kurangnya 1 hari dalam seminggu telah meningkat kepada 1.43 peratus. Manakala, jumlah individu dewasa yang sukar lena ketika tidur sekurang-kurang 1 hari dalam seminggu juga telah meningkat sebanyak 2.7 peratus.
Kebanyakan mereka yang mengalami masalah ini mengatakan telefon pintar adalah puncanya.
Menurut pengarang utama kajian tersebut iaitu Garrett Hisler, terdapat kaitan yang jelas antara penggunaan telefon pintar dan ketidakcukupan tidur dalam kalangan remaja. Menurutnya lagi, sekiranya kita menggunakan telefon pintar sebelum tidur atau menerima sebarang mesej ketika sedang tidur, ia akan mengakibatkan kita lebih sukar untuk tidur pada waktu malam.
Jadi, bukan sahaja bluetick pada aplikasi media sosial akan menyebabkan kegelisahan, malah pengguna smartphone itu sendiri mungkin akan mengalami beberapa kemudaratan akibat penggunaannya. Jadi, sila berhati-hati menggunakannya, ya?
Konklusi
Kesimpulannya, bluetick atau tanda biru pada aplikasi seperti WhatsApp ini dicipta untuk memudahkan urusan. Dengannya, kita boleh mengetahui sama ada pesanan yang dikirim sudah dibaca atau belum. Pilihan untuk reply adalah terletak pada individu. Jadi, jangan bebankan diri anda dengan perkara yang tidak perlu, ya?
Jika kekasih hati anda hanya membaca tanpa membalas ungkapan ‘i love you xoxo’ yang anda ungkapkan dengan penuh perasaan itu, cuba fikir positif. Mungkin dia tidak sengaja tertidur atau ibunya panggil untuk minta tolong angkat kain jemuran. Sudah tentu anda sendiri tidak akan berasa gelisah lagi dan hubungan anda berdua pun mampu kekal sehingga ke jannah.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.