Bimbang dengan masalah ereksi penis? Jangan risau, anda tidak keseorangan! Disfungsi ereksi (ED) atau mati pucuk bukanlah 1 kondisi yang asing dan ia telah menjejaskan ramai lelaki daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Masalah mati pucuk juga boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor yang berbeza.
Di bawah, kami di Hello Doktor telah menyenaraikan 7 fakta mengejutkan tentang bagaimana, mengapa dan siapa yang boleh terkesan dengan masalah ereksi penis, teruskan membaca ya!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.
Fakta mengejutkan mengenai kesihatan ereksi penis & ED
#1 Mati pucuk tidak hanya menjejaskan lelaki tua
Kebanyakan orang menganggap masalah ereksi penis ini hanya akan menjejaskan lelaki berusia, terutama yang dalam lingkungan umur 50-an hingga 80-an.
Kenyataan ini ada benarnya, namun ED juga boleh berlaku pada lelaki daripada semua peringkat umur!
Menurut Massachusetts Male Aging Study, lelaki berusia 40-an mempunyai risiko sebanyak 40% untuk mengalami disfungsi ereksi pada suatu ketika, dan ia hanya meningkat seiring pertambahan usia.
Walaupun lelaki muda mempunyai risiko mati pucuk yang lebih rendah, namun kondisi ini masih kerap berlaku.
#2 Alami masalah ereksi penis sekali-sekala adalah normal?
Ternyata mengalami masalah ereksi sekali-sekala adalah normal, lebih-lebih lagi jika anda dalam keadaan tertekan, penat atau tidak berminat untuk bersama.
Justeru, sekiranya keadaan ini berlaku, anda tidak semestinya perlu berasa risau atau panik, okey?
ED secara umumnya hanya bakal menjadi masalah apabila ia mula mempengaruhi keyakinan diri, membuat kalian merasa cemas/tertekan mengenai seks atau merosakkan hubungan bersama pasangan.
#3 Majoriti lelaki alami ereksi semasa tidur
Pernahkah terlintas di minda, “Kenapa zakar aku selalu tegang apabila bangun tidur?”
Untuk makluman, kejadian ini digelar sebagai morning wood. Ia adalah 1 keadaan normal yang sangat biasa terjadi dan menjadi indikasi kepada kesihatan seksual yang baik.
Morning wood adalah hasil nocturnal penile tumescence, atau ereksi spontan yang boleh berlaku hanya ketika anda tidur.
Rata-ratanya, seorang lelaki yang sihat akan mendapat 3 hingga 5 ereksi setiap malam semasa tidur, dengan setiap kejadian berlangsung sekitar setengah jam.
Mendapat ereksi penis apabila bangun tidur atau morning wood adalah sesuatu yang tidak perlu dimalukan!
Bahkan, lelaki yang tidak mengalami kejadian sebegini perlu risau, kerana ia mungkin menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang memicu ED.
#4 Zakar bersifat rapuh!
Ya, zakar anda berupaya patah!
Walaupun zakar tidak mempunyai tulang dan tidak boleh patah seperti lengan atau kaki, namun risiko untuk zakar ‘patah’ masih ada.
Jika zakar anda dipintal atau dibengkokkan terlalu kuat, corpora cavernosa berupaya pecah dan menyebabkan darah mengalir ke tisu zakar yang lain.
Hal ini boleh mengakibatkan kesakitan dan pembengkakan zakar yang serius!
Kecederaan zakar secara berulangan juga boleh mengakibatkan pembentukan tisu parut, yang dipercayai menyumbang kepada kondisi yang dikenali sebagai penyakit Peyronie.
#5 Fenomena grower atau shower mungkin betul
Anda mungkin pernah terdengar tentang saiz ereksi penis yang digambarkan sebagai grower (zakar yang menjadi lebih besar ketika tegang) atau shower (zakar yang sudah kelihatan panjang dan tidak membesar dengan ketara apabila ereksi).
Lebih mengejutkan, ternyata kontra antara shower dan grower sebenarnya mempunyai sokongan sains di sebaliknya!
Sebuah kajian pada tahun 1988 mendapati zakar grower yang lebih kecil ketika dalam keadaan ‘relaks’ memiliki ukuran yang lebih besar semasa ereksi berbanding lelaki yang berzakar shower.
Kajian lebih baharu yang dijalankan pada tahun 2018 pula telah memerhatikan seramai 274 pesakit melalui penile duplex Doppler ultrasound.
Kajian mengesahkan, zakar sememangnya boleh dikategorikan kepada 2 kumpulan; shower dan grower. Dengan 74% daripada pesakit adalah grower, dan 26% pula merupakan shower.
#6 Kegelisahan prestasi seksual adalah normal dan boleh menjejaskan ereksi penis
Anda merasa cemas sebelum melakukan hubungan seks?
Rasa cemas atau gelisah mengenai prestasi seksual boleh membuat kalian lebih sukar mendapatkan dan mengekalkan ereksi, walaupun sudah terangsang.
Kondisi ini dikenali sebagai sexual performance anxiety atau kegelisahan prestasi seksual, ia cenderung terjadi apabila anda risau akan prestasi seksual, penampilan atau sedang stres.
Nasib baiklah, kegelisahan prestasi seksual kadangkala mudah untuk disembuhkan, baik melalui penggunaan ubat ED seperti sildenafil (Viagra), atau melalui terapi tingkah laku kognitif, meditasi dan lain-lain.
#7 Kerap tonton video lucah? Ini mungkin punca sukar alami ereksi penis!
Perlu anda tahu, mati pucuk boleh terjadi akibat faktor fizikal atau psikologi.
Antara pemicu fizikal, faktor seperti tekanan darah tinggi atau penyakit jantung sering menjadi penyebabnya.
Pun begitu bagi beberapa kes ED psikologi, ia mungkin diakibatkan oleh tabiat menonton pornografi yang keterlaluan!
Keadaan ini dikenali sebagai porn-induced ED, yang masih belum dikaji secara mendalam.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa bukti saintifik yang menghubungkan disfungsi seksual dengan pornografi.
Adakah ini bermaksud anda harus berhenti menonton video porno sepenuhnya untuk mendapatkan ereksi penis yang lebih baik? Bagi lelaki biasa, mungkin tidak.
Tetapi, jika anda tergolong dalam kalangan yang ketagih pornografi dan sukar mendapatkan ereksi, adalah wajar untuk mendapatkan bantuan profesional daripada mereka yang lebih pakar, sebelum nasi menjadi bubur!
Konklusi
Semoga perkongsian di atas sedikit sebanyak membantu kaum Adam di luar sana untuk memahami sifat biologi zakar dan mati pucuk dengan lebih baik!
Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan atau kebimbangan, usah segan silu untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor bertauliah di klinik atau hospital yang berdekatan.