backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

5

Tanya Doktor
Simpan

Ini Punca Paling Lazim Lelaki Selalu Gatal Zakar, Hati-Hati Dengan Jangkitan Yis Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/02/2024

    Ini Punca Paling Lazim Lelaki Selalu Gatal Zakar, Hati-Hati Dengan Jangkitan Yis Ini!

    Hai lelaki, mungkin anda pernah mengalami zakar gatal. Adakah anda tahu, kenapa gatal di kemaluan lelaki adalah antara tanda jangkitan yis?

    Apakah maksud jangkitan yis?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.

    Jangkitan yis sebabkan zakar gatal

    Jangkitan yis biasanya lebih dikaitkan sebagai masalah yang sering berlaku pada alat sulit wanita.

    Namun, jangkitan ini juga sebenarnya boleh terjadi pada kaum lelaki. Jangkitan yis adalah sejenis jangkitan kulat yang boleh berlaku pada tubuh manusia.

    Pada kebiasaannya, sistem imun badan akan mengawal pertumbuhan yis ini.

    Namun, ia akan merebak dan tumbuh dengan lebih banyak pada saat sistem imun tubuh anda berada dalam keadaan yang lemah seperti ketika sedang sakit.

    Ini punca jangkitan yis dalam kalangan lelaki

    zakar gatal
    Sebab alat kemaluan lelaki gatal.

    Yis atau kulat yang menjangkiti bahagian kemaluan lelaki ini amat menggemari persekitaran atau bahagian tubuh yang lembap dan sedikit panas lalu menyebabkan zakar gatal. 

    Antara penyebab atau punca utama zakar gatal apabila berlakunya jangkitan yis ini ialah kerap melakukan hubungan seks tanpa perlindungan.

    Selain daripada jangkitan yis, terdapat beberapa punca lain yang menyebabkan masalah ini:

    • Penggunaan antibiotik yang tidak seimbang
    • Penggunaan sabun atau deodoran yang merengsakan
    • Memakai pakaian terutamanya seluar yang ketat
    • Pendedahan kepada persekitaran yang lembap dan panas

    Ini pula adalah simptom zakar gatal akibat jangkitan yis

    Bagaimana nak tahu jika zakar saya dijangkiti kulat?

    Antara tanda-tanda awal anda dijangkiti adalah dengan adanya ruam merah atau kadangkala tompok berwarna putih pada zakar.

    Kulit pada zakar juga mungkin akan sedikit lembap daripada biasa.

    Jika anda tidak bersunat, mungkin akan ada cecair putih pada bawah kulup zakar atau pada lipatan kulit zakar.

    Selain itu, anda juga mungkin akan rasa terbakar pada zakar anda.

    Anda juga mungkin akan mengalami zakar gatal dan mempunyai bau yang kurang menyenangkan.

    Jika anda mempunyai simptom-simptom seperti ini, jangan sesekali mengabaikannya.

    Ini kerana selain daripada jangkitan yis, ia juga mungkin menandakan adanya jangkitan kelamin yang lain. 

    Mengapa saya alami gatal pada kawasan kemaluan?

    zakar lelaki
    Tabiat merosakkan zakar lelaki.

    Selain daripada melakukan seks yang berisiko, terdapat juga faktor risiko lain yang mendedahkan seseorang lelaki itu untuk mendapat jangkitan yis.

    Antara faktor risiko utama berlakunya jangkitan ini dalam kalangan lelaki ialah tidak bersunat. 

    Ini kerana bahagian yang berada di bawah kulup zakar boleh menjadi lokasi terbaik untuk kulat membiak.

    Apatah lagi jika seseorang itu tidak begitu menjaga kebersihan diri seperti kerap mandi atau tidak mencuci kemaluan dengan bersih.

    Selain itu, individu yang mempunyai kencing manis atau diabetes dan juga memiliki berat badan berlebihan turut berisiko untuk mendapat jangkitan ini.

    Jika seseorang itu mempunyai sistem imun yang terjejas seperti penghidap HIV atau kesan daripada rawatan kanser, dia juga berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan ini.

    Bagaimana merawat jangkitan kulat dan zakar gatal?

    Pada kebiasaannya, cara hilangkan gatal di kemaluan lelaki adalah dengan dapatkan salap atau krim sapuan antikulat yang boleh merawat jangkitan ini.

    Terdapat beberapa jenis ubat gatal kemaluan lelaki di farmasi yang boleh anda gunakan, antaranya:

    • Miconazole (jenama Lotrimin AF, Cruex, Desenex dan Ting Antifungal)
    • Imidazole (jenama Canesten dan Selezen)
    • Clotrimazole (jenama Lotrimin AF, Anti-Fungal, Cruex, Desenex dan Lotrimin AF Ringworm)

    Anda boleh mendapatkan krim ini di farmasi-farmasi berdekatan dan ia tidak memerlukan preskripsi daripada doktor.

    Namun, bagi jangkitan yang lebih teruk atau serius, anda mungkin memerlukan preskripsi daripada doktor untuk mendapatkan jenis ubat-ubatan yang lebih kuat.

    Berapa lamakah jangkitan ini boleh berlaku?

    zakar gatal
    Punca alat kemaluan lelaki gatal.

    Sekiranya zakar gatal yang berlaku itu dirawat lebih awal dan ubat yang digunakan berkesan dengan baik, biasanya ia akan sembuh dalam tempoh satu minggu sahaja. 

    Sekiranya anda kerap mendapat jangkitan ini walaupun anda telah mendapatkan rawatan sebelum ini, sila berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kepastian.

    Anda mungkin mempunyai beberapa keadaan lain yang menyebabkan jangkitan yis ini kembali berlaku seperti diabetes atau mempunyai berat badan yang berlebihan.

    Walaupun kaum lelaki kurang cenderung untuk mengalami gatal pada kemaluan akibat jangkitan ini berbanding wanita, anda juga perlu tahu bagaimana jangkitan ini boleh berlaku.

    Ini untuk memastikan agar anda dapat mengenal pasti sebarang tanda atau simptom zakar sakit dan tidak selesa yang mungkin berlaku jika dijangkiti kelak. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan