Umum mengetahui bahawa penderita kencing manis perlu jaga makan dan minum. Adakah ini termasuk juga dengan makanan laut untuk pesakit diabetes?
Kebanyakan individu beranggapan diabetes jenis 2 hanya akan berkisarkan tentang isu pengambilan gula namun kurang memberi perhatian terhadap aspek lain.
Disebabkan itu, anda perlu faham bahawa penderita kencing manis juga perlu lebih peka terhadap diet secara keseluruhan, lebih-lebih lagi makanan laut.
Makanan laut & diabetes jenis 2
The American Heart Association (AHA) telah menyarankan agar setiap individu mengambil sekurang-kurangnya 2 hidangan makanan laut pada setiap minggu.
AHA turut mencadangkan pengambilan ikan jenis salmon, mackerel, trout dan sardin kerana ia tinggi dengan asid lemak omega-3 yang bagus untuk tubuh badan.
The American Diabetes Association (ADA) pula menyatakan bahawa tiada masalah bagi mereka yang ada kencing manis jenis 2 untuk mengambil makanan laut.
ADA juga mencadangkan agar makanan laut yang diambil itu dimasak dengan cara yang lebih sihat seperti bakar, panggang atau grill dan elak cara masakan dengan goreng seafood.
Persoalannya, apa jenis makanan laut buat pesakit diabetes yang terbaik? Ini jawapannya!
Makanan laut untuk pesakit diabetes
Washington State Department of Health mengatakan makanan laut adalah sumber utama protein, lemak, vitamin dan mineral yang bagus untuk tubuh badan.
Ini menjadikan ia antara makanan terbaik buat kesihatan organ jantung dan sistem kardiovaskular yang turut boleh terjejas jika anda ada penyakit kencing manis.
Berikut adalah beberapa jenis makanan laut untuk pesakit diabetes jenis 2 yang terbaik:
#1. Ikan salmon
Ikan ini adalah pilihan terbaik buat pesakit diabetes jenis 2 kerana ia sangat tinggi asid lemak omega-3 yang mampu menurunkan risiko komplikasi kardiovaskular.
Menurut kajian JAMA Internal Medicine pada 2021, pengambilan 2 hidangan ikan salmon setiap minggu mampu mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.
#2. Ikan tilapia
Ikan ini rendah kalori dan tinggi protein yang bagus untuk pesakit diabetes jenis 2 selain mempunyai rasa yang sangat sedap dan resipi yang amat mudah.
Menurut statistik U.S. Department of Agriculture (USDA), ikan tilapia yang dimasak stim atau rebus mengandungi hanya 137 kalori serta 28.5 gram protein.
#3. Ikan kod
Ikan ini juga sama manfaat seperti tilapia yang bagus untuk pesakit diabetes jenis 2, cumanya ia boleh dimasak dengan cara yang lebih tahan lasak seperti grill.
Menurut statistik U.S. Department of Agriculture (USDA), ikan kod yang dimasak stim atau rebus mengandungi hanya 148 kalori serta 32.6 gram protein.
Makanan laut untuk pesakit diabetes #4. Udang
USDA menyatakan bahawa udang mengandungi 120 kalori dan 23 gram protein setiap hidangan per 4-oz yang masih lagi dianggap bagus jika seseorang individu ada kencing manis.
Namun anda masih perlu lebih berwaspada kerana kajian American Journal of Clinical Nutrition menyatakan ia turut tinggi dengan kolesterol yang berbahaya.
#5. Ikan trout
Ikan yang amat popular ini juga sangat bagus jika anda ingin menjaga kesihatan organ jantung kerana ia sangat kaya dengan kandungan asid lemak omega-3.
Pakar Diet, Julie Stefanski menyimpulkan bahawa ikan ini adalah antara makanan laut untuk pesakit diabetes yang bagus diamalkan.
#6. Ikan tuna
Merupakan antara pilihan makanan laut termurah. Ikan tuna juga merupakan antara pilihan yang bagus untuk pesakit diabetes ekoran kurang kalori dan lemak.
Dalam usaha untuk mengurangkan lagi kalori dan lemak, anda mungkin boleh pilih ikan tuna yang ditinkan bersama air berbanding yang ditinkan bersama minyak.
Makanan laut untuk pesakit diabetes #7. Hidupan laut bercangkerang
Selain ikan dan udang, wujud juga beberapa hidupan laut bercangkerang seperti ketam dan lobster (udang kara) yang perlu dimasukkan ke dalam diet untuk kencing manis.
Ini kerana makanan laut yang ini secara semula jadinya sangat rendah dengan kalori dan lemak, USDA menganggarkan ia hanya mengandungi 128 kalori dan 1.2 gram lemak.
#8. Ikan sardin
Akhir sekali, anda mungkin tidak perlu berfikir lama kerana ada satu jenis makanan laut untuk pesakit diabetes banyak di pasar raya seperti ikan sardin.
Ini kerana ikan sardin dalam tin menawarkan 108 miligram kalsium dan 1.36 mikrogram vitamin D yang bagus buat pesakit diabetes dan tubuh badan umumnya.
Masih lagi keliru dengan makanan laut buat pesakit diabetes yang terbaik? Segera dapatkan nasihat doktor untuk informasi yang lebih lanjut dan lebih tepat!
[embed-health-tool-bmi]