Sayangi Diri & Anak Anda, Jangan Biarkan Tabiat Merokok Ragut Nyawa Mereka!
Semua orang sedia maklum akan bahaya asap rokok kepada individu yang merokok. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu kesan bahaya asap rokok kepada perokok pasif, terutamanya terhadap ahli keluarga dan kawan-kawan.

Apakah maksud asap sekunder? Asap ini adalah asap yang kita hidu secara tidak sedar apabila kita berada berdekatan dengan perokok. Kita mungkin tidak akan merasai sebarang perubahan, namun asap sekunder boleh mempengaruhi kesihatan.
Sebatang rokok mengandungi 4000 bahan kimia berbeza. Kebanyakannya adalah berbahaya, malah lebih dari 50 yang telah terbukti boleh menyebabkan kanser. Setiap kali bayi atau kanak-kanak terdedah kepada asap rokok, mereka akan terdedah kepada bahan kimia ini.
Semua asap dari produk yang mengandungi nikotin mengandungi bahan kimia berbahaya. Ada 2 jenis asap yang datang dari rokok:
- Asap utama: Asap rokok yang dihembus oleh individu yang merokok.
- Asap dari sisi: Asap yang keluar dari hujung rokok, paip atau hookah. Asap jenis ini mengandungi konsentrasi nikotin yang lebih tinggi.
Sebenarnya, asap rokok membawa bahaya yang tinggi terhadap individu yang merokok. Kesan bahaya asap rokok kepada perokok pasif juga lebih kurang sama, terutamanya kanak-kanak.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Mengapa asap sekunder bahaya terhadap kanak-kanak?

Asap rokok amat berbahaya terhadap kanak-kanak, terutamanya untuk bayi.
Bayi mempunyai saluran pernafasan yang lebih kecil berbanding dari orang dewasa. Malah, sistem pernafasan mereka masih berkembang.
Sistem imun badan mereka juga masih belum matang dan sekuat orang dewasa.
Tambah lagi, bayi dan kanak-kanak banyak menghabiskan masa bersama ibu bapa mereka. Malah, mereka juga sering masukkan tangan dan mainan mereka ke dalam mulut.
Oleh sebab itu, mereka boleh tertelan atau terhidu segala bahan kimia berbahaya yang melekat di baju ibu bapa mereka dan pada perabot di sekitar rumah.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang terdedah dengan asap rokok mempunyai risiko kematian secara tiba-tiba (Sudden Infant Death Syndrome -SIDS) dan penyakit yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, asap sekunder boleh menjejaskan pernafasan bayi. Malah, degupan jantung mereka juga akan menjadi semakin laju.
Kesan bahaya asap rokok kepada perokok pasif boleh meningkatkan tahap kematian mengejut dalam kalangan bayi. Semakin banyak bayi terdedah terhadap asap rokok pasif, semakin tinggilah risiko yang mereka hadapi.
Kesan bahaya asap rokok kepada perokok pasif

Selain SIDS, kanak-kanak berisiko menghidap sakit jantung. Jika mereka sudah mempunyai masalah kesihatan tertentu, besar kemungkinan masalah itu akan jadi semakin teruk.
Malah, kanak-kanak yang terdedah dengan asap sekunder lebih berisiko untuk menghidap:
- Jangkitan telinga.
- Batuk dan demam.
- Masalah pernafasan, seperti bronkitis dan pneumonia.
- Kerosakan gigi.
Malah, anak perokok lebih mudah batuk-batuk. Selain itu, mereka juga sukar untuk sembuh jika demam. Oleh sebab itu, mereka lebih kerap tidak hadir ke sekolah.
Bukan itu sahaja, asap sekunder juga boleh menyebabkan simptom lain seperti selesema, pening kepala, sakit tekak dan sakit tekak.
Lebih teruk jika anak perokok menghidap asma. Mereka akan kerap diserang asma dan kondisi mereka juga mungkin lebih teruk daripada biasa.
Anak perokok kemungkinan besar untuk menjadi perokok pada masa hadapan. Kanak-kanak dan remaja yang merokok juga bakal menghidap masalah kesihatan yang sama dengan orang dewasa.
Pasa masa hadapan, kesan bahaya asap rokok kepada perokok pasif adalah:
- Masalah paru-paru.
- Kanser paru-paru.
- Masalah jantung.
- Katarak.
Inginkan nasihat lain mengenai tip menjaga anak? Sertai komuniti Keibubapaan Hello Doktor dan dapatkan nasihat pakar di sini!
Lindung anak daripada asap rokok sekunder

Sebagai ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab anda untuk melindungi anak daripada asap rokok sekunder.
Cara yang terbaik untuk melindungi anak adalah dengan berhenti merokok. Ini akan mengurangkan pendedahan anak terhadap asap rokok sekunder. Malah, anak juga akan mempunyai role model atau contoh yang positif di dalam hidup mereka.
Jika anda masih belum mampu berhenti, atau ada ahli keluarga lain yang menghisap rokok, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan pendedahan asap rokok.
Pastikan rumah dan kereta anda merupakan kawasan larangan merokok. Jangan benarkan sesiapa merokok berhampiran anak.
Jelaskan kepada mereka bahawa tindakan anda hanyalah untuk melindungi anak dari asap sekunder. Satu-satunya cara untuk melindungi anak dari asap rokok adalah dengan mengharamkan rokok di rumah dan kereta.
Ketika berada di kedai makan, cari tempat yang bebas asap rokok. Terangkan juga pada mereka mengenai bahaya asap rokok dan kesan bahaya asap rokok kepada perokok pasif.
Kesimpulan
Bahaya asap rokok amatlah banyak terhadap bayi dan kanak-kanak. Asap sekunder bertanggungjawab ke atas hampir 150,000 dan 300,000 masalah jangkitan pernafasan kepada kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah.
Di Amerika Syarikat, ia juga merupakan penyebab hampir 430 kes kematian bayi mengejut setiap tahun. Hampir 23 juta kanak-kanak juga terdedah kepada asap sekunder.
Semua kanak-kanak perlu hidup dalam persekitaran yang bebas asap rokok. Mereka boleh bernafas dengan lebih baik dan tidak terdedah dengan pelbagai jenis penyakit.
Oleh sebab itu, ibu bapa yang merokok perlulah berhenti secepat mungkin. Dapatkan rawatan dari klinik berdekatan jika anda sukar untuk berhenti merokok.
Kesan bahaya asap rokok kepada perokok pasif amatlah serius. Oleh itu, berhentilah sebelum terlambat.