Gangguan spektrum autisme (ASD) dirujuk sebagai spektrum, kerana ia mencerminkan kepelbagaian simptom dan tahap intelektual. Simptom utama autisme adalah gangguan kemahiran sosial di samping tingkah laku dan minat yang terhad dan berulang. Terdapat pelbagai jenis terapi yang digunakan untuk membantu anak autisme, antaranya ialah dengan menggunakan haiwan peliharaan. Animal Asisssted Intervention ialah terapi atau aktiviti yang melibatkan haiwan yang dianggarkan digunakan oleh sekitar 25% daripada individu dengan autisme.
Bagaimana haiwan peliharaan membantu
Terdapat beberapa sebab mengapa haiwan mungkin membantu anak autisme. Haiwan antara lain menjadi bantuan sosial bagi manusia. Kita mungkin lebih cenderung untuk bersosial apabila terdapat kehadiran haiwan. Sebagai contoh, anda mungkin tidak segan silu menegur tuan seekor hamster atau anda mungkin lebih selesa didekati jika anda sedang bersama haiwan peliharaan berbanding waktu biasa. Kesan ini dapat menangani cabaran sosial yang dihadapi oleh anak autisme dalam kehidupan seharian mereka. Sesetengah kajian mendapati bahawa kanak-kanak dengan autisme lebih berinteraksi sosial dan lebih banyak tersenyum di sekitar haiwan.