‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya’. Peribahasa ini memberi maksud perangai atau sifat seorang anak yang persis dengan ibu bapanya. Cuba anda bayangkan, jika adab anak anda sangat baik di hadapan individu lain. Sudah pasti anda yang dapat pujian, bukan?
Pun begitu, bagaimana pula jika anak anda adalah seorang yang nakal dan tidak mempunyai adab yang sopan? Individu lain pasti akan melabel anda sebagai ibu bapa yang gagal.
Jadi, sesuatu perlu dilakukan untuk mengajar anak anda agar membesar menjadi seorang individu yang beradab, bersopan dan berguna dewasa kelak.
Adab seorang anak yang ibu bapa wajib ajar!
Buat ibu bapa, sila tanamkan dan terapkan adab dengan ibu bapa dan individu lain ini dalam diri anak anda supaya dia membesar menjadi seorang yang beradab dan disenangi oleh individu di sekeliling mereka.
#1. Adab meminta tolong dan berterima kasih
Ini adalah asas kepada jati diri seorang kanak-kanak yang beradab.
Ibu bapa perlu pastikan mereka sentiasa menggunakan perkataan ‘tolong’ apabila meminta sesuatu dan ‘terima kasih’ apabila menerima sesuatu daripada anda.
Tegaskan juga kepada mereka bahawa ini tidak termaktub antara dia dengan ibu bapa sahaja malahan juga kepada individu lain seperti adik-beradik, saudara-mara,rakan-rakan, guru ataupun pembantu rumah.
#2. Adab untuk tidak menyampuk
Pasti anda pernah melihat ibu bapa memarahi anak mereka kerana menyampuk ketika mereka sedang bercakap dengan individu lain bukan?
Ini kerana perbuatan menyampuk adalah biadab terutamanya dalam kalangan masyarakat kita.
Jadi, ajar anak anda awal-awal lagi untuk tidak menyampuk ketika anda atau sesiapapun sedang bercakap walaupun ia ada kaitan dengan mereka.
Jika terjadi, jangan marah mereka tetapi nasihatilah mereka dengan cara baik.
#3. Adab untuk tidak mengkritik dan mengejek individu lain
Siapa sahaja yang suka akan kritikan dan ejekan bukan? Jadi, anda perlu sentiasa ajar anak anda untuk tidak mengkritik atau mengejek individu lain terutamanya perkara yang melibatkan fizikal semula jadi mereka.
Tambahan itu, kita tinggal di bumi Malaysia yang hidup berbilang kaum. Jadi, sebarang kutukan berbaur rasis seperti warna kulit atau saiz mata perlu dilarang sama sekali.
Sebaliknya, ajar mereka untuk gemar memuji dan menghargai individu lain.
#4. Adab untuk berkongsi dengan anak lain
Sharing is caring. Sikap suka berkongsi adalah sesuatu yang sangat mulia. Bayangkan apabila anda melihat anak anda sanggup berkongsi permainan mereka bersama kanak-kanak yang kurang mampu.
Pasti ia akan membuat anda berasa syahdu bukan?
Seiring mereka membesar, sentiasa ajar anak anda untuk berkongsi apa yang mereka ada sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta, idea atau tenaga bersama individu lain yang kurang bernasib baik.
#5. Adab ketika bercakap di telefon
Ketika menjawab panggilan telefon, kita perlu sentiasa beradap. Mulakan dengan sapaan seperti ‘helo’ atau ‘hi’ dengan nada yang baik dan kenalkan diri anda.
Jika sedang menelefon seseorang pula, kita tidak patut bertanya siapakah individu itu.
Paling penting, gunakan kata-kata yang sopan sahaja. Ini perlu diajar kepada anak anda daripada kecil lagi agar dia terbiasa dan terus melakukannya sehingga dewasa kelak.
#6. Adab ketika bermain di luar
Anda sebagai perlu menetapkan peraturan buat anak anda ketika bermain di luar agar mereka tidak bermain sehingga tidak ingat dunia.
Sebagai contoh, ajar mereka untuk membasuh kaki sebelum masuk ke rumah dan mandi setiap kali selepas bermain.
Selain itu, tetapkan waktu mereka boleh keluar bermain dengan pengawasan anda. Ini bukan sahaja akan mengajar anak anda untuk beradap, ia juga akan membentuk mereka agar berdisiplin dewasa kelak.
#7. Adab di meja makan
Bukan sahaja dari aspek perbuatan, seorang kanak-kanak juga perlu beradab ketika berada di meja makan.
Tanpa mengira siapa ada di meja makan atau jenis keraian yang sedang diraikan, anda perlu ajar mereka untuk sentiasa bersopan di meja makan.
Antara yang perlu diutamakan adalah untuk tidak bercakap semasa mulut penuh dengan makanan dan makan apabila semua sudah ada di meja makan terlebih dahulu.
Paling penting, ajar mereka untuk bercakap benda-benda baik sahaja ketika sedang makan.
Ajarkan adab seorang anak ini sejak kecil lagi!
Kesimpulannya, terdapat banyak lagi adab dengan ibu bapa serta individu lain yang anda perlu ajar kepada anak anda untuk memastikan mereka berjaya menjadi modal insan yang beradab, bersopan dan berguna kelak.
Apa yang paling penting, kekalkan semua sifat positif dan buangkan segala sikap negatif dalam diri mereka!
Selain itu, anda perlu jadi ibu bapa yang hebat kerana ibu bapa sebenarnya adalah role model yang diidolakan oleh setiap anak.
[embed-health-tool-child-growth-chart]