Boleh Ke Anak Demam Lepas Makan Buah Mata Kucing? Ketahui Fakta Sebenar!
“Jangan makan banyak sangat buah mata kucing, boleh jadi punca anak demam!”

Pasti ramai yang pernah dengar mengenai kenyataan di atas. Buah mata kucing atau nama saintifiknya Euphoria malaiense merupakan tumbuhan yang boleh didapati secara meluas di negara kita.
Buah ini berbentuk bulat dan selalunya sebesar 2 sentimeter. Kulitnya pula berwarna coklat dan boleh dibeli secara gugus. Buah mata kucing juga merupakan ‘sepupu’ terdekat buah longan.
Buah mata kucing amat sedap dibuat air dan jeruk. Malah, rasanya yang segar juga membuatkannya amat sesuai dimakan ketika cuaca panas.
Namun, benarkah ada kaitan antara buah mata kucing dan anak demam? Nak tahu lebih lanjut? Jom ikuti penjelasan kami di bawah.
Anak demam, mengapa ia berlaku?

Semua kanak-kanak akan demam dari masa ke masa. Jadi, ibu bapa tidak perlu risau. Malah, demam merupakan satu tanda badan anak sedang melawan jangkitan.
Demam berlaku disebabkan oleh jangkitan atau penyakit lain. Suhu badan akan naik untuk membuatkan bakteria atau virus tersebut sukar untuk hidup.
Ada beberapa punca demam dalam kalangan kanak-kanak:
- Jangkitan – Kebanyakkan demam adalah disebabkan oleh jangkitan atau penyakit lain. Demam dapat membantu anak melawan jangkitan dengan cara mengaktifkan sistem pertahanan semula jadi badan.
- Memakaikan anak terlalu banyak baju – Bayi yang baru lahir boleh demam jika mereka dibalut dengan terlalu banyak baju. Bayi tidak boleh melakukan regulasi susu badan sebaik kanak-kanak yang lebih tua. Oleh sebab itu, mereka mudah demam jika dipakaikan baju yang terlalu tebal.
- Baru menerima vaksin – Imunisasi boleh menyebabkan bayi dan kanak-kanak demam. Ini merupakan satu tindak balas yang normal dan tidak perlu dirisaukan.
Jarang sekali buah-buahan boleh menyebabkan anak demam. Malah, buah mata kucing kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang baik untuk tumbesaran anak.
Oleh sebab itu, pengambilan buah-buahan tidak mungkin boleh menjadi punca anak demam.
Tambah lagi, anak yang demam perlukan lebih banyak cecair kerana mereka kehilangan air dengan pantas. Air, sup dan buah-buahan merupakan makanan yang terbaik untuk diberikan kepada anak ketika demam.
Elakkan memberi anak minuman seperti kopi, minuman berkarbonat dan teh kerana semua ini boleh menyebabkan dehidrasi.
Manfaat buah mata kucing untuk kesihatan
Tahukah anda, buah mata kucing kaya dengan vitamin C? Sebab itulah, buah mata kucing amat bermanfaat untuk kesihatan anak.
Disebabkan rasanya yang boleh menyebabkan kita ‘ketagih’, susah untuk berhenti selepas makan satu atau dua biji buah mata kucing.
Disebabkan ia kaya dengan vitamin C, buah mata kucing boleh mendatangkan pelbagai kebaikan terhadap kesihatan kita. Antaranya:
1. Buah mata kucing baik untuk kesihatan jantung
Banyak kajian yang telah membuktikan buah mata kucing mengandungi banyak vitamin C.
Tambah lagi, antioksidan ini amat baik untuk kesihatan jantung. Malah, ia dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dengan cara memastikan salur darah tidak mudah mengeras.
Namun, masih banyak lagi kajian lain yang perlu dilakukan untuk membuktikan keberkesanan sebenar buah mata kucing terhadap kesihatan jantung.
Malah, vitamin C juga baik untuk meningkatkan daya tahan badan. Anak yang mempunyai sistem imun yang tinggi sukar untuk demam atau menghidap penyakit lain.

2. Membantu mengawal tekanan darah
Buah mata kucing mengandungi potasium yang dapat membantu badan mengawal tekanan darah.
Malah, kebanyakan kita tidak mendapat potasium dengan mencukupi. Hampir separuh rakyat Malaysia hanya mendapat ½ potasium dalam diet harian.
Selain itu, rakyat Malaysia juga makan lebih banyak garam. Sebab itulah, ramai yang menghidap tekanan darah tinggi.
Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Antaranya ialah serangan jantung dan strok, antara penyakit yang meragut ribuan nyawa di negara kita saban tahun.
Jaga-jaga semasa mengambil buah mata kucing

Walaupun buah ini kaya dengan vitamin dan mineral, mata kucing mungkin tidak sesuai diambil oleh pesakit kencing manis.
Buah ini mengandungi karbohidrat yang tinggi dan serat yang rendah. Oleh sebab itu, ia mungkin dapat meningkatkan kadar gula dalam darah.
Ada banyak makanan yang sesuai untuk diambil oleh pesakit kencing manis. Anda boleh lihat senarai makanan tersebut di sini.
Jadi, elakkan mengambil buah mata kucing dalam jumlah yang banyak. Bersederhanalah dalam pengambilan sebarang makanan.
Selain itu, basuh dahulu buah mata kucing sebelum makan. Kadangkala, buah yang tidak dibasuh boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit.
Anak tidak mungkin demam selepas makan buah mata kucing

Sebenarnya, tidak ada kaitan antara anak demam dan amalan makan buah mata kucing. Ini merupakan mitos semata-mata.
Malah, buah mata kucing mengandungi pelbagai khasiat serta baik untuk kesihatan jantung serta sistem imun anak.
Antara punca anak demam adalah jangkitan. Pastikan si manja mendapat rehat yang mencukupi. Mereka juga perlulah duduk di rumah dan jangan benarkan mereka ke sekolah.
Setelah 24 jam, anak anda mungkin akan sembuh. Selepas itu, mereka boleh teruskan kehidupan seperti biasa.
Namun, bawa mereka berjumpa doktor sekiranya:
- Anak berusia kurang dari 3 bulan. Suhu mereka pula 38 darjah selsius atau lebih tinggi.
- Anak menghidap demam yang bersuhu lebih dari 39 darjah selsius.
Pastikan mereka mendapat rawatan doktor secepat mungkin.