Semasa hamil, bukan hanya perut ibu sahaja yang membesar, malahan payudara juga turut berubah saiz. Perubahan saiz pada payudara akan berterusan sehinggalah selepas ibu bersalin kerana ketika dalam tempoh tersebut susu badan anda sedang banyak. Lantaran itu, ibu memerlukan bra ataupun coli penyusuan.
Pemilihan bra penyusuan yang betul adalah penting untuk menampung payudara yang penuh dengan susu badan, sekali gus membantu memelihara payudara bagi melancarkan proses penyusuan. Berikut merupakan tips-tips untuk membantu para ibu baru mencari coli penyusuan yang betul untuk keselesaan tubuh ibu dan juga bayi.
Apa yang perlu saya lihat pada bra penyusuan?
Coli penyusuan yang baik perlulah fleksibel dan mempunyai ruang tambahan untuk menampung payudara anda yang padat dengan susu badan. Coli ini tidak sepatutnya menjerut atau menekan buah dada semasa anda mengancingnya.
Coli penyusuan atau nursing bra yang baik perlu mengandungi:
- Empat mata cangkuk untuk mengancing, bagi menambahkan keselesaan.
- Tali bahu yang luas dan tidak licin untuk menyokong bahu dan menaikkan payudara.
- Tali belakang dan tali sisi bra luas.
- Bra tidak sendat di bahagian lingkaran dada.
- Bahagian cup bra boleh dibuka atau ditutup dengan menggunakan sebelah tangan sahaja, bagi memudahkan anda menyusukan bayi.
- Bukaan depan bra yang menyediakan banyak ruang untuk bayi anda menyusu dengan selesa.
Tips semasa membeli nursing bra
1. Bra tidak berdawai
Kebanyakan pakar penjagaan kesihatan menyarankan anda untuk mengelakkan memakai bra berdawai semasa kehamilan atau semasa tempoh penyusuan. Hal ini kerana bra berdawai akan menyebabkan tisu payudara anda menjadi sensitif. Bra tidak berdawai pula dapat menyokong payudara anda sepenuhnya dan dapat membantu mengekalkan bentuk payudara selepas bersalin.
2. Pilih saiz yang betul
Dapatkan nasihat daripada jurujual bra penyusuan yang berpengalaman untuk memilih bra yang sesuai mengikut saiz payudara anda.
3. Jangan beli terlalu awal
Jangan beli coli penyusuan semasa awal-awal kehamilan kerana semakin anda mendekati hari bersalin, payudara anda akan semakin membesar. Sebaik-baiknya belilah pada penghujung trimester ketiga sebelum anda bersalin.
4. Tampung kesemua payudara
Apabila mencuba bra, pastikan pelapik bra dapat menampung keseluruhan payudara anda. Selain itu, bra juga boleh memegang pad penyusuan dengan baik.
5. Cuba dahulu
Semasa membeli bra, pastikan anda mencuba untuk menanggalkan bra tersebut dan memasangnya dengan menggunakan sebelah tangan kerana sewaktu menyusu anda akan hanya gunakan sebelah tangan sahaja.
6. Material kain kapas
Pilih material yang selesa untuk payudara anda. Sebaik-baiknya pilihlah yang diperbuat daripada kain kapas.
[embed-health-tool-baby-poop-tool]