backup og meta

Ibu Hamil Sakit Perut? Ini Tanda Gastrik, Kontraksi Atau Sebab Baby Bergerak?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 24/05/2022

    Ibu Hamil Sakit Perut? Ini Tanda Gastrik, Kontraksi Atau Sebab Baby Bergerak?

    Sakit perut ketika hamil? Adakah ini tanda gastrik ketika mengandung, bayi sedang bergerak ataupun kontraksi?

    Bayi dalam kandungan boleh menyebabkan ibu hamil mengalami pelbagai simptom. 

    Pada awalnya, ibu mungkin akan alami morning sickness. Kemudian, rasa sakit perut ini akan menjadi semakin teruk ketika perut ibu kian memboyot.

    Trimester demi trimester, ibu hamil akan mengalami pelbagai masalah pencernaan. Antaranya ialah gastrik, sembelit, ketidakhadaman dan pelbagai lagi masalah lain.

    Malah, pergerakan bayi dalam perut juga boleh menyebabkan ibu rasa sakit!

    Jadi, bagaimanakah caranya untuk membezakan semua masalah ini dengan kontraksi? Pasti ramai ibu di luar sana yang rasa keliru kerana semua kesakitan ini bertumpu di kawasan perut.

    Namun, ada beberapa beza antara tanda gastrik ketika mengandung, kontraksi, dan kembung perut. Nak tahu apa bezanya? Jom ikuti penjelasan kami di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Tanda gastrik ketika mengandung

    tanda gastrik ketika mengandung

    Masalah gastrik dan angin merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh ibu hamil.

    Salah satu puncanya ialah penghasilan hormon progesteron yang menyebabkan otot pada badan untuk relaks.

    Apabila otot badan mulai relaks, proses pencernaan akan menjadi semakin perlahan. Malah, makanan juga akan dicerna 30% lebih lambat berbanding biasa!

    Ini akan menyebabkan gas mudah terbentuk dan ibu pun lebih mudah sendawa, kentut dan mengalami kembung perut. 

    Malah, masalah ini akan menjadi teruk apabila bayi dalam kandungan menjadi semakin besar.

    Antara tanda gastrik ketika mengandung:

    1. Kesakitannya tajam dan tidak sekata. Masalah gastrik atau kembung perut boleh berlaku pada bila-bila masa. Rasa sakitnya juga lebih tajam.
    2. Anda makan makanan yang menyebabkan gas. Walaupun sayur-sayuran seperti kubis, bawang dan brokoli mengandungi serat yang banyak dan amat baik untuk kesihatan ibu dan bayi, namun ia boleh menyebabkan masalah angin.
    3. Kesakitan beransur pulih setelah ibu ke tandas. Bagi mengetahui tanda gastrik ketika mengandung, selalunya masalah ketidakhadaman tersebut akan sembuh dengan sendirinya setelah ibu membuang air besar.

    Tanda pergerakan bayi dalam perut

    pergerakan bayi

    Ibu sepatutnya dapat merasai pergerakan bayi seawal minggu ke-16 hingga 24. 

    Jika ini merupakan kelahiran pertama anda, ibu mungkin tidak akan merasai sebarang pergerakan hinggalah minggu ke-20.

    Jenis pergerakan juga berbeza mengikut aktiviti bayi serta tahap tumbesaran mereka. Setiap bayi adalah berbeza, ada yang lebih aktif berbanding bayi yang lain.

    Antara tanda bayi dalam perut sedang bergerak ialah:

    1. Rasa bayi berpusing. Ibu mungkin akan merasai pergerakan kecil bayi ketika si manja mula berpusing atau menendang. Pergerakan ini akan jadi semakin kuat seiring kehamilan.
    2. Rasa sakit di kawasan rusuk. Apabila bayi semakin besar, anda mungkin akan rasa sakit di kawasan rusuk disebabkan tendangan si manja.
    3. Pergerakan bermula pada minggu ke-16 hingga 24. Walau bagaimanapun, ibu yang sibuk mungkin jarang merasai tendangan bayi.

    Selain itu, ibu juga perlu tahu akan bahaya jika bayi kurang bergerak. Sebagai panduan, rujuk infografik kami di bawah:

    tanda gastrik ketika mengandung

    Kalau bukan tanda gastrik ketika mengandung, adakah sebab kontraksi?

    Penting untuk ibu hamil tahu tentang tanda-tanda kontraksi bersalin. Ini akan membuatkan ibu lebih bersedia untuk menyambut kelahiran si manja nanti.

    Walau bagaimanapun, bukan semua kontraksi bermaksud anda bersedia untuk melahirkan anak. Ada bezanya antara kontraksi yang betul dan kontraksi yang palsu.

    Oleh sebab itu, ibu perlulah belajar untuk kenal pasti beza antara dua jenis kontraksi ini. Ibu juga perlu tahu membezakan kontraksi dan pergerakan bayi dalam perut. 

    Tanda ibu sedang alami kontraksi ialah:

    1. Kontraksi mempunyai ritmanya yang tersendiri. Jika rasa sakit itu datang sekali setiap 4 atau 5 minit dan semakin kuat rasanya, besar kemungkinan anda sedang mengalami kontraksi.
    2. Perut akan mula mengeras. Ketika kontraksi, perut akan mulai mengeras. Selain itu, otot pada bahagian abdomen akan mengecut setiap kali anda alami kesakitan.
    3. Munculnya keputihan atau cecair berwarna kemerah-merahan. Ini juga merupakan antara simptom yang membezakan antara kontraksi sebenar dengan kontraksi palsu.
    4. Rasa sakit pada kawasan perut dan belakang badan. Kesakitan ini tidak berkurangan walaupun anda bergerak atau mengubah posisi badan.
    5. Air ketuban pecah.

    Kesimpulan

    tanda gastrik ketika mengandung

    Banyak bezanya antara tanda gastrik ketika mengandung, pergerakan bayi dan juga kontraksi. Ibu hamil perlulah tahu bezanya supaya anda lebih cakna mengenai waktu terbaik untuk bergerak ke hospital.

    Selain itu, ibu mengandung juga perlu mengamalkan diet yang sihat untuk elakkan masalah gastrik atau perut kembung. 

    Pada masa yang sama, kurangkan juga pengambilan makanan yang boleh menyebabkan angin.

    Rasa sakit perut ketika hamil merupakan sesuatu yang biasa. Walau bagaimanapun, dapatkan rawatan jika anda:

    1. Rasa sakit yang amat sangat.
    2. Sakit berlarutan dalam tempoh masa tertentu.
    3. Mempunyai simptom-simptom lain yang luar biasa.
    4. Risau mengenai pergerakan bayi dalam kandungan.

    Jika ini terjadi, sila dapatkan konsultasi doktor secepat mungkin.

    Ibu mengandung boleh sertai Komuniti Kehamilan di Hello Doktor untuk mendapatkan informasi lanjut mengenai kehamilan. Mari sertai komuniti kami dan mula bertukar pendapat!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 24/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan