Kebanyakan wanita mengalami 12 kali haid setiap tahun, tetapi sesetengahnya kurang daripada itu dan sesetengah lain melangkau banyak bulan atau langsung tidak haid. Tekanan, senaman berat, penambahan atau penurunan berat badan- kesemua ini boleh mengganggu haid anda. Semakin tidak normal haid anda, semakin sukar untuk meramal masa ovulasi anda.
Katakanlah kitaran anda 28 hari sebulan, 21 hari pada bulan seterusnya, dan 32 hari pada bulan akan datang. Catat kitaran haid anda untuk setiap bulan. Kemudian, tolak 17 daripada kitaran terpendek anda dan tolak 11 daripada kitaran terpanjang anda. Hari-hari di antara kedua-dua hasil tadi adalah hari subur anda.
Jika kitaran anda tidak teratur dan lebih daripada 35 hari ataupun lebih lama daripada itu, anda perlu berjumpa dengan pakar fertiliti atau doktor obstetrik – ginekologi untuk memeriksa punca yang menyebabkan kitaran anda tidak teratur, seperti sindrom ovarian polisistik (PCOS), penurunan berat badan yang berlebihan, gangguan tiroid, disfungsi ovari, atau tahap prolaktin yang tinggi.
Bolehkah jika pasangan hanya mencuba dan berusaha sehingga kehamilan terjadi?
Ya, anda tidak perlu memantau suhu tubuh asas atau membuat jadual yang rumit jika anda merasakan ianya sukar. Cuma, anda perlu melakukan hubungan intim sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu secara konsisten.
Apabila anda sudah bersedia sepenuhnya untuk bergelar ibu, itulah masa yang sesuai untuk anda mencuba untuk hamil. Namun, ingatlah untuk mempersiapkan pengetahuan bergelar ibu dan nikmati perjalanan anda sepanjang kehamilan.
Apa yang perlu dilakukan sekiranya disahkan hamil di trimester pertama?
Bagi mempersiapkan anda dengan dunia kehamilan, setiap bakal ibu perlu menyediakan senarai yang perlu dilakukan untuk memastikan anda mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang betul pada setiap peringkat kehamilan. Jika anda masih keliru, berikut adalah beberapa cadangan yang boleh anda pertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam senarai perlu buat semasa trimester pertama:
Kebanyakan wanita biasanya sudah mempunyai doktor mereka sendiri sebelum mula hamil. Bagaimanapun, tidak mengapa jika anda tiada doktor khas yang memeriksa kesihatan anda. Sebaik sahaja anda disahkan hamil, ini (mencari doktor kehamilan) adalah perkara paling penting yang perlu anda lakukan dalam senarai yang perlu dilakukan semasa trimester pertama.
- Tinggalkan tabiat buruk anda
Walaupun sebenarnya ini adalah perkara yang sepatutnya telah lama dilakukan, namun kehamilan adalah salah satu tempoh terpenting di mana anda sememangnya perlu menghentikan kesemua tabiat buruk anda:
- Hadkan jumlah pengambilan kafein kurang daripada 200 mg sehari untuk mengelakkan keguguran.
- Bebaskan diri daripada semua bentuk asap rokok, alkohol, penggunaan dadah, dan semua bahaya lain kerana ia boleh meletakkan anda dan bayi kepada risiko mendapat pelbagai komplikasi kehamilan seperti kelahiran pramatang, kehamilan ektopik, keguguran, dan banyak lagi. Ia juga boleh meningkatkan peluang bayi anda mendapat berat badan rendah semasa lahir di mana ia amat dikaitkan dengan kelaziman SIDS (Sindrom Kematian Bayi Mengejut).
Penting untuk anda mewujudkan dan mengekalkan amalan gaya hidup yang sihat terutama semasa anda hamil. Ibu hamil perlu memastikan mereka mendapat cukup rehat sepanjang hari, dan tidur yang cukup di malam hari, serta mendapat diet harian yang seimbang bagi menyediakan jumlah vitamin dan mineral secukupnya untuk tubuh ibu dan bayi dalam kandungan. Pengambilan dos tambahan asid folik juga adalah perlu jika anda ingin mengurangkan peluang bayi mendapat kecacatan tiub neural.
Ibu hamil juga perlu mengelak daripada beremosi negatif dengan cara kerap bersenam dan mengekalkan interaksi yang sihat dengan orang lain. Jika perlu, ibu hamil boleh berjumpa dengan pakar atau ahli psikologi bagi membantu mengurangkan perasaan negatif yang ada dalam diri.
- Pelajari asas pengetahuan mengenai kehamilan
Ahli keluarga anda ataupun doktor tidak akan berada sepanjang masa bersama dengan anda. Oleh itu, setiap ibu hamil perlulah mempelajari semua maklumat umum mengenai kehamilan bagi mempersiapkan dan melindungi diri dan bayi. Sebagai bakal ibu, anda perlu tahu apa yang bakal anda lalui semasa kehamilan, perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa tempoh ini dan sentiasa berhati-hati dengan simptom bahaya yang boleh berlaku supaya tindakan segera boleh dilakukan.
Kira tempoh kehamilan anda melalui penggunaan kalkulator kehamilan. Kalkulator kehamilan membantu anda untuk lebih bersedia dengan kelahiran bayi. Selain itu, kalkulator kehamilan turut membantu anda dengan keperluan bayi anda, bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku dan sebagai anggaran dalam membantu anda memantau perkembangan bayi anda.
Bagaimana ingin merahsiakan kehamilan pada trimester pertama?

Trimester pertama selalunya merupakan tempoh yang paling berisiko buat mana-mana wanita hamil. Jadi, tiada salahnya jika anda ingin merahsiakan kehamilan anda sepanjang 12 minggu terawal kandungan. Kami sediakan beberapa tip di bawah untuk membantu anda menyembunyikan kehamilan.
Terpulang kepada anda untuk beritahu ataupun tidak. Namun, jangan beritahu anak anda yang lain (jika ini bukan kandungan pertama anda) ataupun anak saudara anda. Ini kerana kanak-kanak akan menganggapnya sebagai berita baik dan tidak mustahil mereka akan berkongsi berita ini dengan orang lain. Selain daripada pasangan anda, anda boleh berkongsi rahsia ini dengan orang lain seperti rakan-rakan atau saudara yang anda percayai. Ini boleh membantu memenuhi keinginan anda untuk berkongsi rasa dengan orang lain. Di pejabat pula, meskipun anda tidak memberitahu rakan sekerja anda, tetapi mereka mungkin boleh mengesyaki kehamilan anda berdasarkan penampilan anda sekarang atau juga melihat kepada kelakuan anda. Jika begini, ramai ibu hamil yang memilih untuk ‘menipu sunat’ atau berdalih. Contohnya, ibu akan memberikan alasan tidak boleh minum alkohol (bagi yang bukan Islam) kerana masalah kesihatan – secara teknikalnya, ia benar, ataupun ibu memberi alasan tersalah makan disebabkan itulah mereka mengalami loya-loya dan muntah. Namun, ingatlah bahawa apabila anda memasuki trimester seterusnya, mereka sudah boleh mengetahui ‘penipuan’ anda. Oleh itu, jangan jadikan ianya terlalu rumit, sebaliknya beritahulah secara halus tentang perkara ini.
Di tempat kerja, anda perlu menyediakan teh halia, gula-gula lemon atau biskut bagi melegakan masalah tidak sedap perut. Minum air secukupnya supaya tubuh anda boleh membantu melindungi anda daripada rasa loya. Anda juga boleh menggunakan masa rehat anda dengan sebaiknya bagi memberikan anda lebih keselesaan.
- Menyembunyikan kandungan dengan pakaian
Selepas beberapa minggu dan anda masih belum mahu mendedahkan kehamilan, jadi anda perlu mencari pakaian yang sesuai untuk menyembunyikan ‘baby bump’ anda. Ibu hamil boleh memakai pakaian yang longgar. Helah lain adalah dengan memakai aksesori yang lebih menonjol seperti anting-anting atau rantai kristal ataupun gelang tangan. Pemakaian aksesori boleh mengalih perhatian orang terhadap perut anda. Selain itu, anda juga boleh mengenakan pakaian yang berwarna gelap ataupun satu warna pakaian sahaja kerana ia boleh memperlihatkan ilusi kurus pada badan anda.
- Jangan rasa bahawa anda sedang memegang rahsia
Sekali lagi diingatkan bahawa ini merupakan pilihan anda (sama ada ingin memberitahu orang ataupun tidak). Jika anda berasa tertekan disebabkan memegang rahsia kehamilan anda, minta bantuan rakan anda. Ramai wanita yang menyembunyikan kehamilan mereka dan berhadapan dengan masalah tersebut bersendirian, dan ini adalah tidak baik untuk diri mereka dan bayi dalam kandungan. Lakukan sahaja apa yang anda rasa betul dan terbaik untuk diri anda.
Bagaimana menjangkakan kelahiran bayi melalui kalkulator kehamilan?
Pengiraan due date kelahiran bayi bagi seorang ibu hamil adalah dengan mengira sebanyak 40 minggu bermula daripada hari pertama kitaran haid anda yang terakhir. Sekiranya kitaran haid anda berada secara konsisten dalam sekitar 4 minggu, hari tersebut pada kebiasaannya dalam masa dua minggu sebelum anda hamil.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda mengetahui pada hari apakah anda hamil, berkemungkinan anda menjejaki ovulasi anda dan anda mengetahui berkenaan hari di mana telur anda telah disenyawakan. Kita boleh mengira due date kelahiran bayi dengan mengira 38 minggu dari tarikh tersebut.
Penyedia kemudahan penjagaan kesihatan anda mungkin akan menyemak kembali due date anda sekiranya mereka percaya bahawa target kelahiran tersebut tersasar. Mereka akan mengukur bayi atau janin semasa melakukan pemeriksaan ultrasound, dan sekiranya saiz bayi anda lebih besar atau lebih kecil daripada apa yang dijangkakan, mereka akan menyediakan anda dengan tarikh due date yang baharu. Sudah semestinya due date anda hanyalah sebagai tarikh anggaran. Hanya 1 daripada setiap 20 wanita melahirkan anak mereka pada tarikh due date mereka. Anda akan berada di bilik pembedahan pada bila-bila masa sahaja semasa dalam tempoh dua minggu sebelum dan selepas tarikh due date.
Dengan mengetahui kalkulator kehamilan, seorang wanita yang hamil dapat mengetahui perkembangan janinnya, keperluan yang dikehendaki oleh janinnya, dan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa dalam proses kehamilan. Seorang wanita hamil yang mengetahui kalkulator kehamilan boleh membantunya menghitung usia kehamilannya selain keadaan bayi dan tubuhnya. Kira waktu subur anda di sini.
Baca juga:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen