backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Bentan Sebab Langgar Pantang? Ini 5 Bentan Yang Selalu Ibu Alami Lepas Bersalin

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 06/10/2022

    Bentan Sebab Langgar Pantang? Ini 5 Bentan Yang Selalu Ibu Alami Lepas Bersalin

    Bentan selepas bersalin dikatakan berlaku disebabkan melanggar pantang larang. Namun, adakah benar bentan selepas habis pantang ini berlaku disebabkan hal-hal seperti ini?

    Apakah punca sebenar yang menyebabkan bentan berlaku?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kehamilan, anda boleh klik di sini.

    Bentan selepas bersalin: Ini kepercayaan masyarakat kita

    bentan selepas bersalin

    Masalah bentan selalu dikaitkan dengan individu selepas bersunat atau wanita selepas bersalin.

    Dalam masyarakat Melayu, bentan dipercayai berlaku disebabkan melanggar pantang larang tertentu yang telah ditetapkan.

    Sebagai contoh, bagi wanita selepas bersalin, mereka dilarang untuk makan beberapa jenis makanan yang bersifat sejuk seperti buah-buahan dan juga timun.

    Selain itu, wanita selepas bersalin juga tidak boleh keluar rumah selama 40 hari. Jika mereka melanggar pantang larang seperti ini, mereka akan mengalami bentan.

    Dalam kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, masyarakat Melayu melaporkan simptom-simptom bentan seperti kekejangan otot, mengalami demam dan juga rasa menggigil kerana kesejukan.

    Kajian tersebut turut menyatakan, wanita selepas bersalin tidak boleh memotong rambut, memotong kuku dan keluar dari rumah jika mengalami bentan.

    Ini kerana, masyarakat Melayu mempercayai bahawa jika perkara-perkara tersebut dilakukan, maka bentan yang dialami akan lambat sembuh. 

    Definisi bentan selepas bersalin yang sebenar

    Dalam dunia perubatan, bentan selepas habis pantang yang disebutkan ini merupakan komplikasi yang berlaku selepas melahirkan bayi.

    Komplikasi ini berlaku disebabkan jangkitan kuman selepas bersalin.

    Antara simptom atau gejala yang biasa berlaku ketika mengalami bentan ialah demam dan badan berasa amat lemah.

    Selain itu, wanita yang mengalami bentan selepas bersalin juga akan mengalami tumpah darah, sakit sendi, keluar cecair daripada faraj, sakit di kawasan peranakan selain jantung yang berdegup kencang.

    Pening kepala, loya dan sakit pada bahagian luka bersalin juga menjadi antara gejala masalah bentan. 

    Jenis-jenis komplikasi atau bentan selepas bersalin

    bentan selepas bersalin

    Untuk pengetahuan anda, wanita selepas bersalin boleh mengalami pelbagai jenis bentan atau komplikasi. Antara jenis komplikasi yang boleh berlaku ialah:

    #1. Jangkitan pada bahagian payudara atau mastitis

    Dalam kalangan orang Melayu, jangkitan mastitis ini disebut sebagai bengkak susu.

    Ia merupakan sejenis keradangan yang berlaku pada tisu payudara yang boleh menyebabkan jangkitan.

    Apabila keradangan ini berlaku, ia boleh menyebabkan payudara berasa sakit, menjadi bengkak, menjadi kemerah-merahan dan juga berasa panas.

    Jangkitan ini boleh terjadi disebabkan faktor saluran susu yang tersumbat dan juga bakteria memasuki payudara menerusi rekahan atau luka.

    Masalah ini sememangnya satu perkara yang biasa berlaku kepada wanita yang menyusukan bayi, namun ia juga boleh berlaku kepada wanita yang tidak menyusukan anak.

    #2. Jangkitan yang berlaku pada bahagian luka bersalin

    Luka bersalin juga boleh menyebabkan bentan selepas bersalin.

    Bagi wanita yang melahirkan anak secara normal, jangkitan ini boleh berlaku pada luka bahagian faraj.

    Manakala bagi mereka yang bersalin secara Caesarean, ia boleh berlaku pada luka pembedahan yang ada pada perut.

    Antara simptom yang boleh berlaku ialah seperti mengalami demam panas, luka menjadi bengkak dan kemerah-merahan selain rasa sakit pada bahagian perut bawah.

    Selain itu, bahagian luka juga mungkin akan mengeluarkan nanah, mengalami kesakitan sewaktu membuang air dan mengalami pendarahan dengan pembentukan ketulan darah (tumpah darah). 

    #3. Jangkitan pada saluran kencing

    Salah satu daripada masalah bentan selepas habis pantang ialah masalah jangkitan pada saluran kencing.

    Jangkitan ini boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari atau beberapa minggu selepas melahirkan bayi.

    Biasanya ia berlaku selepas seseorang wanita itu menggunakan kateter (tiub kencing) yang menyebabkan kemasukan bakteria ke dalam saluran kencing.

    bentan selepas bersalin

    Apabila bakteria telah memasuki saluran kencing, maka ia boleh menyebabkan jangkitan.

    Antara simptom-simptom jangkitan ini ialah seperti rasa sakit atau terbakar ketika membuang air kecil, rasa sakit pada badan bahagian bawah dan kerap untuk membuang air kecil.

    Selain itu, air kencing seseorang itu juga mungkin akan lebih berbau busuk dan berwarna gelap. 

    #4. Jangkitan pada saluran peranakan

    Jangkitan ini boleh berlaku sekiranya terdapat sebarang sisa daripada proses bersalin yang tertinggal dalam saluran peranakan.

    Antara sisa yang boleh tertinggal dalam saluran peranakan termasuklah tisu plasenta atau uri.

    Sekiranya seseorang wanita itu mendapat jangkitan, mereka boleh mengalami demam, pendarahan yang mengeluarkan ketulan darah, dan juga sakit pada bahagian pelvis. 

    #5. Jangkitan pada saluran pernafasan

    Apabila seseorang wanita itu menjalani proses kelahiran bayi secara Caesarean, dia akan memerlukan prosedur bius sebelum pembedahan dijalankan.

    Komplikasi yang berlaku disebabkan prosedur bius ini boleh menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan.

    Antara simptom yang dialami ialah seperti sakit dada, batuk-batuk dan juga sesak nafas.

    Dapatkan bantuan doktor dengan segera

    Bentan selepas bersalin ini bukanlah berlaku disebabkan seseorang wanita itu melanggar pantang larang.

    Ia merupakan komplikasi biasa yang boleh berlaku selepas proses kelahiran bayi.

    Sekiranya seseorang wanita itu mengalami bentan selepas habis pantang, segera dapatkan bantuan dan rawatan daripada doktor untuk mencegah komplikasi yang lebih buruk. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 06/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan