brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

3 Peringkat Bersalin Ibu Hamil Perlu Tahu Untuk Sedia, Fasa Awal Paling Lama?

Proses ibu bersalin bukanlah satu hal yang mudah kerana terdapat pelbagai tanda, peringkat, cabaran dan komplikasi yang perlu anda tahu serta peka.

Meskipun proses kehamilan itu akan memakan masa sekitar 9 bulan untuk lengkap, proses kelahiran hanya akan berlaku selama beberapa hari atau jam.

Ketika waktu itu tiba, maka persiapan ibu bersalin perlu dilakukan dengan cepat bagi memudahkan lagi melancarkan proses kelahiran cahaya mata.

Tanda ibu bersalin

Mungkin ramai yang masih keliru bila proses ini akan bermula kerana anda mungkin tidak dapat menentukannya jika hanya menghitung pada kalendar sahaja.

Sebenarnya, wanita hamil sendiri boleh melihat pada kemunculan simptom-simptom berikut:

  • Peningkatan tekanan pada rahim
  • Perubahan tahap tenaga tubuh badan
  • Pengeluaran darah dan mukus pada faraj

Selain daripada 3 tanda ibu bersalin yang paling umum dan utama ini, proses kelahiran itu akan sangat dekat apabila kontraksi berlaku lebih kerap dan sakit.

Kontraksi Braxton Hicks

Dalam pada itu, mungkin segelintir wanita akan mengalami sejenis kondisi kontraksi tidak normal yang dikenali dengan nama Braxton Hicks.

Ia sering kali berlaku apabila kandungan mencapai usia 20 minggu kehamilan dan ia sebenarnya bukanlah tanda ibu bersalin itu sudah dekat.

Sebenarnya, ia akan berlaku ekoran peningkatan aktiviti si ibu, janin dalam kandungan ataupun didalangi oleh pundi kencing yang terlalu penuh.

Peringkat ibu bersalin

Untuk pengetahuan anda, terdapat 3 peringkat ibu bersalin yang perlu kita semua tahu dan kami akan bantu anda dengan menghuraikannya.

ibu bersalin

Peringkat pertama

Pada peringkat ini, terdapat 3 fasa yang akan berlaku pada ibu bersalin iaitu:

  • Fasa awal: Merupakan fasa yang paling panjang, ia akan menyebabkan serviks mula terbuka sebesar 3 – 4 cm yang boleh berlaku selama beberapa jam, hari atau minggu. Kontraksi juga akan berlaku diiringi rasa sakit kejang dan pengeluaran mukus pada faraj. Ia adalah waktu terbaik untuk wanita hamil pergi ke hospital.
  • Fasa aktif: Merupakan fasa di mana serviks mula terbuka lebih luas yakni sehingga 7 cm. Kontraksi akan berlaku lebih kerap dan sakit selain simptom lain juga mulai meneruk.
  • Fasa transisi: Merupakan fasa di mana kontraksi semakin meneruk dan berlaku setiap 2 ke 3 minit selama 60 ke 90 saat. Ia adalah tanda perubahan ke peringkat kelahiran kedua.

Peringkat kedua

Ini merupakan fasa yang paling mencabar kerana serviks sudah terbuka dengan luas dan ibu hamil akan rasa tekanan dari dalam perut untuk menolak bayi keluar.

Ia mungkin akan mengambil sedikit masa untuk posisi bayi itu berada tepat dengan lokasi serta kontraksi bagi membantu si ibu menolak dengan sekuat dayanya.

Dengan bantuan ubatan epidural ataupun tidak, doktor akan membantu anda untuk mengawal pernafasan agar proses kelahiran itu dapat berjalan dengan lancar.

Peringkat ketiga

Selepas bayi berjaya dilahirkan, akan tiba pula fasa kelahiran terakhir di mana plasenta yang masih tertinggal dalam rahim si ibu itu akan dikeluarkan.

Kontraksi yang sederhana akan dapat membantu memisahkan plasenta daripada dinding rahim lantas membuat ia turun secara semula jadi pada lubang faraj.

Akhir sekali, doktor akan mulakan prosedur menjahit segala koyakan atau hirisan yang telah berlaku sepanjang proses kelahiran ini berlangsung.

Ubat tahan sakit bersalin

Memandangkan kita kini berada di era kemajuan teknologi perubatan, mungkin wujud banyak pilihan sebagai persiapan ibu bersalin untuk tahan sakit.

Selain epidural dan nitrus oksida yang popular digunakan, ada satu lagi opsyen yang mungkin belum ramai yang tahu iaitu penggunaan narkotik.

Ubatan narkotik boleh digunakan melalui teknik suntikan intramuskular atau melalui garis intravenus, bergantung kepada kondisi si ibu ketika itu.

Antara jenis ubat tahan sakit bersalin kategori narkotik yang doktor mungkin akan beri adalah:

  • Morfin
  • Meperidine
  • Fentanyl
  • Butorphanol
  • Nalbuphine

Namun, segala penggunaan ubatan ini haruslah dengan preskripsi doktor kerana terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku pada anda.

Posisi janin dalam kandungan

ibu bersalin

Sebelum proses ibu bersalin itu bermula, adalah sangat penting untuk doktor anda mengetahui posisi janin dalam kandungan si ibu semasa pemeriksaan pranatal.

Ia penting untuk memastikan bahawa posisi kepala bayi itu sudah berada ke bawah pada sekitar minggu ke 32 hingga 36, sebagaimana bayi yang normal.

Namun, mungkin masih akan wujud keadaan di mana kepala bayi itu tidak berada di posisi tersebut pada waktu terbabit, lantas menimbulkan kegusaran.

Disebabkab itu, ada kaedah di mana doktor akan cuba untuk membetulkan posisi janin dala kandungan dengan menggunakan external cephalic version (ECV).

Jika usaha itu tidak berjaya, maka doktor mungkin akan mencadangkan ibu hamil untuk cuba bersalin melalui kaedah pembedahan iaitu caesarean (C-Section).

Kaedah bersalin caesarean

ibu bersalin

Seperti mana yang kita semua mungkin sudah tahu, terdapat 2 kaedah ibu bersalin yang wujud yakni secara normal ataupun dengan prosedur caesarean atau czer.

Sebenarnya, adalah jauh lebih baik untuk wanita yang hamil itu melahirkan anak dengan cara yang normal namun terdapat beberapa kondisi yang tidak mengizinkan.

Salah satunya telahpun kami sebutkan di atas tadi di mana posisi kepala janin dalam kandungan itu tidak berada ke bawah pada sekitar minggu ke 32 hingga 36.

Selain itu juga, terdapat beberapa sebab lain perlunya ibu bersalin secara C-Section:

  • Ibu hamil pernah melakukan czer
  • Ibu hamil menghidapi HIV
  • Ibu hamil menghidapi kencing manis
  • Ibu hamil menghidapi plasenta previa
  • Janin mengalami kecacatan atau penyakit
  • Janin mempunyai berat lebih dari 4,500 g

Disebabkan itu, adalah sangat penting untuk ibu mengandung sentiasa berkomunikasi dan berkonsultasi dengan doktor sebagai persiapan ibu bersalin.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada tadi