
5 Jenis Sisa Domestik Yang Anda Kena Tahu, Terutama Yang Tinggal Di Perumahan!
Setiap hari, kediaman kita pasti akan menghasilkan sisa-sisa sampah yang disebut sebagai jenis sisa domestik. Namun, setiap daripada sisa ini mempunyai pengkelasannya yang tersendiri. Ini merupakan jenis jenis sisa domestik yang kita semua mesti tahu.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan habit sihat, anda boleh klik di sini.
Apa itu sisa domestik?
Apabila menyebut berkenaan jenis sisa domestik, ramai yang tertanya-tanya apakah maksud sebenar sisa domestik.
Ramai yang beranggapan bahawa sisa domestik merupakan sisa atau sampah-sampah yang dihasilkan di kawasan perusahaan atau perkilangan.
Untuk makluman anda, sisa domestik merupakan sisa yang dihasilkan kesan daripada penggunaan harian premis domestik seperti kawasan perumahan kita.
Ini bermaksud, sisa atau sampah ini diambil dari premis oleh atau bagi pihak penghuni yang menghasilkan sisa.
Sisa domestik juga dikutip oleh atau bagi pihak kerajaan tempatan sebagai sebahagian daripada sistem kutipan dan pelupusan sisa.
Jika ia diambil dari premis domestik di bawah penggunaan komersial, maka ia bukanlah dikategorikan sebagai sisa domestik.
Jenis jenis sisa domestik
Tahukah anda, segala sisa atau sampah yang kita hasilkan di rumah sebenarnya boleh dikategorikan kepada lima jenis sisa?
Malah, ada sebahagian daripada sisa domestik ini boleh dikitar semula.
Oleh sebab itu, anda perlu mengetahui jenis-jenis sisa ini agar anda boleh menentukan apakah yang boleh dikitar semula, dan sisa manakah yang tidak boleh dikitar semula.
Ini lima jenis sisa domestik yang anda mesti tahu:
#1. Sisa cecair
Sisa cecair lazimnya terdapat dalam isi rumah mahupun dalam industri.
Sisa ini termasuklah air kumbahan, cecair organik, air basuhan, sisa bahan pencuci dan juga air hujan.
Anda juga perlu tahu bahawa sisa cecair boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu sumber titik (point source waste) dan bukan sumber titik (non-point source waste).
Semua sisa cecair yang dihasilkan daripada perkilangan dikelaskan sebagai sisa titik.
Manakala sisa cecair semula jadi seperti air hujan dikelaskan sebagai sisa bukan sumber titik.
#2. Jenis jenis sisa domestik: sisa pepejal
Sisa pepejal mungkin boleh dikatakan sebagai antara sisa yang paling banyak dihasilkan di rumah. Jenis jenis sisa domestik pepejal ini boleh dikelaskan kepada empat kategori utama iaitu:
- Sisa kertas
Sisa kertas ini termasuklah kertas pembalut, kertas pembungkus makanan, surat khabar, majalah lama, kadbod dan lain-lain lagi. Kertas merupakan antara sisa yang paling mudah untuk dikitar kembali.
- Sisa plastik
Antara contoh sisa plastik ialah seperti bekas makanan, botol air plastik, beg plastik dan lain-lain lagi. Plastik bukanlah jenis bahan yang boleh terurai dengan sendirinya. Namun kini terdapat banyak bahan plastik yang boleh dikitar semula.
- Sisa logam atau besi
Sisa seperti ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk di rumah anda seperti tin susu dan tin sardin. Sisa seperti ini juga boleh dikitar kembali untuk kegunaan semula.
- Sisa seramik atau kaca
Sama seperti kertas, seramik seperti pasu atau botol gelas kaca boleh dikitar semula dengan mudah.
#3. Sisa yang boleh dikitar semula
Sampah yang boleh dikitar semula merangkumi semua jenis jenis sisa domestik yang boleh ditukar kepada produk yang boleh digunakan semula.
Barangan pepejal seperti kertas, sisa logam, perabot lama dan sisa organik, semuanya boleh dikitar semula dan digunakan kembali.
#4. Sisa organik
Sisa organik merupakan antara jenis jenis sisa domestik yang paling kerap dihasilkan setiap hari. Semua jenis sisa makanan, sisa taman dan najis haiwan dikelaskan sebagai sisa organik.
Dari masa ke masa, sisa organik ini boleh diurai dan diubah menjadi baja oleh mikroorganisma.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna anda boleh membuangnya di mana-mana sahaja sesuka hati.
Sisa organik di tapak pelupusan sampah boleh menyebabkan pengeluaran gas metana.
Oleh sebab itu, ia tidak boleh dibuang begitu sahaja bersama-sama dengan sisa jenis lain.
#5. Sisa berbahaya
Sisa berbahaya merupakan kesemua jenis sisa yang mudah terbakar, bersifat toksik, mengakis dan reaktif.
Antara contoh sisa berbahaya ialah seperti cecair peluntur, racun rumpai dan bahan-bahan kimia berbahaya lain.
Sisa seperti ini mestilah dikumpulkan dan dilupuskan dengan cara yang betul untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Asingkan jenis jenis sisa domestik anda
Secara umumnya, sisa domestik ini boleh dikelaskan kepada lima kategori seperti yang telah dinyatakan di atas.
Oleh sebab itu, sekiranya anda tinggal di kawasan perumahan yang berada di bawah pentadbiran kerajaan tempatan, anda perlu mengasingkan sisa dan sampah rumah anda agar ia dapat dilupuskan dengan cara yang tepat dan terbaik.
Ingat, pengurusan kebersihan dan keselamatan alam sekitar bermula daripada diri kita sendiri.