backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Psoriasis Tiada Penawar, Tapi Anda Mampu Melawannya Dengan 5 Langkah BERKESAN Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/10/2022

    Psoriasis Tiada Penawar, Tapi Anda Mampu Melawannya Dengan 5 Langkah BERKESAN Ini

    Penyakit kulit psoriasis adalah sejenis penyakit auto-imun yang menjejaskan kulit anda hingga ia kelihatan seperti “luka”. Walaupun masih tiada penawar untuk penyakit ini, namun ia boleh diuruskan dengan efektif melalui ubat-ubatan yang dipreskripsi doktor, dan dengan  beberapa perubahan rutin harian yang boleh membantu pesakit psoriasis mengharunginya dengan lebih baik.

    Di sini terdapat tip gaya hidup yang sesuai dengan pesakit psoriasis untuk menjalani aktiviti harian dengan lebih selesa. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.

    #1. Pengurusan penyakit kulit psoriasis dan stres melalui meditasi

    Tahukah anda, terdapat perkaitan antara stres dan psoriasis? Stres boleh menyebabkan keradangan dalam tubuh, dan ini memberi kesan kepada keadaan kulit. Bagi meredakan stres yang dialami, anda boleh melakukan aktiviti meditasi. Ini merupakan antara kaedah yang paling berkesan, percuma dan mudah untuk melegakan stres. [1] 

    Malah, ada juga kajian yang menyatakan bermeditasi dalam tempoh waktu tertentu setiap hari boleh melegakan diri anda daripada stres dan mengurangkan keresahan.

    Sebagai contoh, satu kajian yang diterbitkan dalam Frontiers in Human Neuroscience menyatakan, aktiviti meditasi seperti yoga dan tai chi berkemampuan mengubah jumlah cytokin (protein yang terlibat dalam proses keradangan) dalam tubuh [2] 

    Kajian itu mendapati, individu yang sentiasa melakukan senaman melibatkan minda dan tubuh dapat mengurangkan jumlah cytokin.

    Apabila tahap cytokin yang dihasilkan rendah, maka risiko untuk mendapat psoriasis juga adalah rendah. [2] Bukan itu sahaja, risiko mendapat kanser dan kemurungan akan turut berkurangan.

    Baca juga:

    #2. Ubah tabiat pemakanan harian anda

    pesakit psoriasis

    Percaya atau tidak, sebarang perubahan kecil dalam tabiat pemakanan anda akan memberi kesan positif terhadap psoriasis yang anda alami. Perubahan tabiat pemakanan bukan sahaja boleh mengatasi masalah penyakit ini, malah membantu menghilangkan simptom-simptom berkaitan.

    Antara tabiat pemakanan yang terbukti berkesan adalah banyakkan pengambilan sayur-sayuran, bijirin penuh, dan elakkan makanan diproses seperti sosej. [3] Bagi mengelak keradangan, anda juga dinasihatkan menghindari pengambilan makanan yang mengandungi lemak tepu, lemak trans dan tinggi kandungan garam. [3] 

    Anda juga boleh mengamalkan diet pemakanan yang menjerumus kepada penurunan berat badan untuk membantu mengawal penyakit kulit psoriasis. [3]

    Ini kerana obesiti dikaitkan dengan peningkatan risiko psoriasis dan psoriatic arthritis, malah mengurangkan keberkesanan ubat-ubatan yang diberi.

    Bagi membantu anda mengurangkan berat badan, anda perlu makan lebih banyak ikan, daging tanpa lemak, buah-buahan, sayur-sayuran, dan juga produk tenusu rendah lemak atau tanpa lemak. [3] 

    Lakukan juga rutin senaman untuk memastikan kecergasan tubuh. Ia bukan sahaja membantu menghilangkan berat badan, malah memudahkan kehidupan walaupun anda menghidap psoriasis. 

    Bukan itu sahaja, ia juga boleh menambah keberkesanan ubat-ubatan yang anda ambil, dan merendahkan risiko penyakit kardiovaskular.

    #3. Atasi penyakit kulit psoriasis dengan senaman

    Bagi pesakit psoriasis, aktiviti senaman mungkin menjadi satu cabaran memandangkan keadaan kulit yang boleh membuatkan anda berasa tidak selesa dan kurang yakin apabila berkunjung ke gimnasium.

    Untuk meningkatkan motivasi diri, anda perlu tahu senaman mampu memperbaiki mood, merendahkan tahap stres, selain mengawal berat badan anda. [1]

    Selain itu, senaman juga mampu mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit lain yang berkaitan dengan penyakit kulit psoriasis seperti penyakit kardiovaskular [4] dan diebetes jenis 2. [5]

    Sekiranya anda masih tidak mahu ke gimnasium, lakukan senaman dengan cara lain seperti berjoging di taman, berbasikal atau mengikuti senaman melalui tontonan YouTube di rumah.

    Baca juga:

    #4. Pilih produk penjagaan kulit dan badan yang tepat

    Ada sesetengah produk penjagaan kulit yang boleh memburukkan lagi penyakit kulit psoriasis yang sedang anda alami, termasuklah deodoran dan sabun mandian[6].

    Antara jenis produk yang perlu dielak oleh pesakit psoriasis ialah produk yang mengandungi bahan pewangi, alkohol, pewarna dan bahan-bahan kimia tertentu kerana ia boleh menyebabkan kulit menjadi lebih kering. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan rasa terbakar dan kemerahan pada kulit. [6]

    Pesakit psoriasis disaran menggunakan bahan pelembap yang boleh membantu mengatasi masalah kulit bersisik dan gatal-gatal. [6] Jika anda menggunakan alat solek, pastikan produk yang diguna dilabel sebagai “non-comedogenic” atau “non-acnegenic“. [6] 

    Non-comedogenic” bermaksud produk tidak menyebabkan penyumbatan pori-pori apabila digunakan. Manakala “non-acnegenic” pula produk yang dirumus untuk tidak menyebabkan jerawat bagi mereka yang mudah mendapat jerawat. 

    Untuk pesakit psoriasis, pilihlah produk yang tidak mengandungi kandungan alkohol dan tanpa pewangi kerana ia tidak akan menyebabkan iritasi pada kulit anda.

    #5. Hentikan tabiat merokok untuk elak penyakit kulit psoriasis

    merokok

    Pesakit psoriasis alah kepada kandungan nikotin yang terdapat dalam rokok. Nikotin bertindak mengubah sistem imun, meningkatkan risiko serangan pada tisu normal dan bukannya benda asing dalam tubuh.

    Selain itu, kandungan lain yang terdapat di dalam rokok juga telah dikatakan menjadi penyebab kepada sejenis kerosakan sel yang disebut sebagai kerosakan oksidatif. Kerosakan oksidatif ini boleh memburukkan lagi psoriasis.

    Kesan pertama yang berlaku apabila pesakit psoriasis berhenti merokok ialah, ia akan meningkatkan respons tubuh badan individu tersebut terhadap ubat-ubatan psoriasis. [7] 

    Kedua, ia akan mengurangkan risiko pesakit psoriasis untuk mendapat penyakit lain seperti penyakit Crohn atau penyakit lain yang berkaitan dengan jantung, hati, perut dan pankreas. [8]. Berhenti merokok juga boleh meningkatkan peluang pesakit psoriasis untuk semakin pulih, dengan mengurangkan kekeringan kulit[9]. 

    Kesimpulan

    penyakit kulit psoriasis

    Penyakit kulit psoriasis mungkin mengambil tempoh masa yang panjang untuk sembuh, tetapi ia juga boleh sembuh pada bila-bila masa jika penghidap penyakit kulit ini mengikuti tip-tip tersebut.

    Walaupun ada pelbagai faktor persekitaran dan gaya hidup yang boleh mencetuskan penyakit kulit ini, tetapi jika anda faham segala faktor-faktor penyebabnya, tidak mustahil anda mampu mengubah gaya hidup seperti yang diperlukan, dan hidup dengan lebih selesa.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan