backup og meta

Vaksin Influenza Di Premis KKM Bukan Untuk Orang Awam

Vaksin Influenza Di Premis KKM Bukan Untuk Orang Awam

“Jika orang awam ingin mendapatkan vaksin influenza, anda boleh berbuat demikian di klinik swasta”.

Demikianlah kata-kata Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Tindakan ini bagi memastikan golongan berisiko seperti kanak-kanak dan orang tua yang mempunyai sistem imun badan yang lemah dapat mengelakkan komplikasi daripada virus tersebut.

Baca artikel ini untuk tahu berkenaan dengan vaksin influenza dengan lebih lanjut.

Tentang jangkitan influenza

Berbeza dengan selesema biasa, jangkitan influenza kebiasaannya lebih teruk dan berlaku untuk durasi yang lebih lama. Jangkitan daripada kedua-duanya seringkali menunjukkan gejala yang sama dan sukar dibezakan antara satu sama lain. Antara simptomnya adalah:

  • Sakit tekak (simptom awal)
  • Bersin (simptom awal)
  • Selesema (simptom awal)
  • Demam
  • Menggigil kesejukan
  • Sakit otot
  • Berpeluh
  • Sakit kepala
  • Batuk kering
  • Hidung tersumbat

Oleh sebab itulah, tanpa pemeriksaan makmal yang betul, sukar untuk sesuatu diagnosis dilakukan.

Mereka yang mempunyai sistem pertahanan tubuh badan yang lemah seperti kanak-kanak (berusia di bawah 2 tahun) dan orang tua (berusia 65 tahun ke atas) cenderung untuk mendapat jangkitan ini. Golongan lain yang berisiko tinggi adalah seperti berikut:

  • Hamil atau baru lepas melahirkan anak
  • Mempunyai masalah kronik seperti kencing manis, sakit jantung, asma dan jangkitan HIV
  • Tinggal di fasiliti perubatan seperti rumah penjagaan orang tua

Mereka yang termasuk dalam golongan ini digalakkan untuk mengambil vaksin influenza dan jika mereka dijangkiti, rawatan terapi antiviral, oseltamivir, boleh diambil untuk mengelakkan komplikasi.

Bagi mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang kuat, terapi antiviral kebiasaannya tidak diberikan. Mereka boleh pulih dan kembali bekerja dalam tempoh masa seminggu dengan rawatan konservatif (rehat dan minum air secukupnya).

Cara penyebaran virus influenza

Sebelum mengetahui berkenaan dengan cara penyebaran virus ini, anda perlu tahu dahulu jenis virus influenza yang boleh menjangkiti manusia. Terdapat tiga jenis strain yang telah dikenal pasti menyebabkan simptom selesema, iaitu Influenza A, Influenza B dan Influenza C. 

Influenza A merupakan virus selesema yang paling berbahaya memandangkan ia mudah merebak dalam kalangan manusia dan haiwan. Virus tersebut mempunyai struktur yang fleksibel membuatkan ia mudah untuk bermutasi dan menyebabkan jangkitan epidemik setiap tahun.

Selesema burung dan selesema babi, ini merupakan contoh kepada jenis jangkitan yang disebabkan oleh Influenza A. 

Influenza B pula merupakan virus selesema yang kebiasaannya menyebabkan simptom yang lebih ringan berbanding dengan Influenza A. Ia jarang menyebabkan komplikasi serius dan hanya boleh tersebar dalam kalangan manusia.

Influenza C, seperti Influenza B, hanya boleh menyebabkan jangkitan dalam kalangan manusia. Namun, simptomnya lebih ringan dan ia jarang menyebabkan sebarang komplikasi.

Jangkitan influenza sangat mudah tersebar. Disebabkan itulah, pengasingan sosial perlu dilakukan untuk memastikan individu lain tidak turut berjangkit. Menurut maklumat yang diberikan oleh Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), jangkitan influenza ini boleh tersebar sehari sebelum simptom bermula.

Ini berikutan simptom kepada jangkitan Influenza hanya mula timbul 1 hingga 4 hari selepas jangkitan bermula. Anda boleh menyebarkan virus tersebut tanpa disedari. Jangkitan ini boleh tersebar apabila anda bersin, batuk atau bercakap. Ia juga boleh disebarkan melalui sentuhan dengan permukaan, bersalaman dan berpelukan.

Vaksin influenza di hospital kerajaan hanya untuk golongan berisiko tinggi

vaksin influenza

Pada 7 Januari yang lalu, sebanyak 40,000 dos vaksin influenza telah diagihkan ke hospital dan klinik swasta. Peningkatan pada permintaan vaksin tersebut telah menyebabkan baki stok dalam simpanan pembekal habis buat sementara waktu. 

Sepanjang tahun 2019, sebanyak 638,388 dos vaksin influenza telah dibawa masuk namun hanya 10% sahaja yang dibekalkan kepada fasiliti kesihatan kerajaan. Jumlah yang kecil tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa memberikan vaksin itu kepada golongan yang benar-benar memerlukan termasuk dengan anggota barisan hadapan kementerian yang mengendalikan pesakit.

Bagaimana pula dengan golongan awam yang menginginkan vaksin tersebut? Ia turut boleh didapati daripada klinik swasta yang kebanyakannya mendapat bekalan vaksin daripada pembekal yang bertauliah. Disebabkan itulah, polisi pengedaran seharusnya diberikan prioriti kepada klinik swasta berbanding dengan hospital swasta. Ini berikutan kebiasaannya klinik swasta terletak berdekatan dengan penduduk berbanding dengan hospital swasta yang sukar untuk diakses.

Terapi antiviral sebagai rawatan kepada jangkitan Influenza

Jika anda mempunyai simptom jangkitan Influenza, kebiasaannya ia akan sembuh tanpa preskripsi ubat. Namun bagi mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi daripada jangkitan tersebut, terapi antiviral boleh diberikan.

Antara langkah rawatan konservatif yang perlu dilaksanakan adalah seperti berikut:

  • Minum air secukupnya. Utamakan air kosong atau air yang mengandungi jumlah gula yang rendah. Anda juga boleh mengambil sup jika anda menginginkan sesuatu yang panas
  • Rawat simptom seperti demam dan sakit kepala dengan ubat seperti paracetamol
  • Basuh tangan anda secara kerap bagi mengelakkan penyebaran virus ke permukaan atau individu lain
  • Tutup mulut anda ketika batuk atau bersin menggunakan tisu. Buang tisu itu secepat mungkin

Jika simptom anda menjadi semakin teruk, doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat antiviral bagi mengurangkan risiko untuk anda mendapat komplikasi berkaitan. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kerajaan telah meluluskan 1,000,000 tablet ubat oseltamivir bagi merawat kes Influenza yang serius.

Jumlah tersebut boleh membantu meringankan beban jangkitan dalam kalangan kira-kira 100,000 pesakit yang mengalami penyakit tersebut. Rawatan antiviral tersebut seharusnya dimulakan dalam masa 48 jam bermula apabila anda mengalami simptom.

Prioriti sepatutnya diberikan kepada mereka yang mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat komplikasi berkaitan dengan Influenza seperti yang telah disenaraikan di atas. 

Konklusi

Ubat antiviral seperti oseltamivir bukan pengganti kepada vaksin Influenza. Jika anda telah sembuh daripada jangkitan tersebut, tidak bermakna anda tidak akan mendapat jangkitan itu kelak. Maka ambillah inisiatif awal dan vaksinkan diri anda. 

Jika anda mengalami sebarang simptom yang seakan-akan selesema, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan kesihatan lanjut. Pastikan anda mengamalkan langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan tersebut tersebar.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Bekalan tambahan vaksin influenza dibawa masuk bulan ini. (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/646769/bekalan-tambahan-vaksin-influenza-dibawa-masuk-bulan-ini). Diakses pada 16 Januari 2020.
  2. Bekalan alternatif 1 juta tablet ubat oseltamivir untuk fasiliti swasta. (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/646412/bekalan-alternatif-1-juta-tablet-ubat-oseltamivir-untuk-fasiliti). Diakses pada 16 Januari 2020.
  3. Everything You Need to Know About the Flu. (https://www.healthline.com/health/cold-flu/flu). Diakses pada 16 Januari 2020.
  4. Influenza. (https://www.infosihat.gov.my/index.php/influenza). Diakses pada 16 Januari 2020.
  5. Vaksin influenza bukan wajib, hanya langkah pencegahan. (https://www.sinarharian.com.my/article/66117/BERITA/Nasional/Vaksin-influenza-bukan-wajib-hanya-langkah-pencegahan). Diakses pada 16 Januari 2020.
  6. What Causes the Flu? (https://www.healthline.com/health/flu-causes). Diakses pada 16 Januari 2020.
  7. Influenza (Flu). (https://www.cdc.gov/flu/treatment/whatyoushould.htm). Diakses pada 16 Januari 2020.

Versi Terbaru

23/06/2020

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Bukan Hanya Kerana COVID-19, Tapi Ini Sebab Lain Anda MESTI Sanitasi Rumah Setiap Minggu!

Penyakit Cacar Monyet Kembali! Kenal Pasti Awal Simptomnya Sebelum Terlambat!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 23/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan