brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Mati Pucuk 101, Apa Yang Kita Semua Perlu Tahu Tentang Masalah Ini?

Mati pucuk merupakan mimpi ngeri kaum lelaki. Sebagai suami, bahaya mati pucuk bukan sahaja boleh memberikan impak negatif terhadap kehidupan seksual, ia juga mempengaruhi emosi dan boleh menyebabkan tekanan perasaan.

Mati Pucuk 101, Apa Yang Kita Semua Perlu Tahu Tentang Masalah Ini?

Disfungsi erektil atau mati pucuk bermaksud kesukaran lelaki untuk mengekalkan ereksi ketika melakukan hubungan seks.

Walau bagaimanapun, ia bukanlah mati pucuk jika lelaki atau suami alami masalah ini sekali-sekala. Badan yang letih, stres di tempat kerja atau rasa gelisah boleh menyebabkan lelaki sukar untuk mendapatkan ereksi.

Tetapi, jika masalah ini berlaku setiap kali melakukan hubungan seks, ia perlu diperiksa oleh doktor secepat mungkin.

Masalah mati pucuk bukan sahaja boleh memusnahkan keyakinan lelaki, ia juga merupakan tanda penyakit yang lebih serius seperti sakit jantung.

Mencari punca sebenar disfungsi erektil yang dialami lelaki bukan sahaja dapat membantu lelaki menjadi yakin semula, ia juga dapat membantu kaum Adam untuk menjadi lebih sihat dari segi fizikal dan juga emosi.

Simptom lelaki mati pucuk

Simptom utama mati pucuk atau disfungsi erektil ialah kesukaran untuk mengekalkan ereksi yang cukup semasa melakukan seks.

Akibatnya, lelaki mungkin tidak lagi berminat untuk melakukan seks disebabkan kesukaran untuk mengekalkan ereksi. 

Bahaya mati pucuk juga boleh menyebabkan kaum Adam rasa tidak yakin. Mereka juga lebih berisiko untuk terjunam ke dalam lembah depresi.

Selain itu, kepuasan diri sendiri dan pasangan juga akan terjejas disebabkan masalah mati pucuk. Jika disfungsi erektil mengakibatkan masalah dalam perkahwinan, ia perlu dirawat secepat mungkin.

Tambahan lagi, lelaki yang alami mati pucuk juga mungkin tidak sedar akan masalah kesihatan yang mereka alami.

Menurut laman web Urology Health, lelaki yang mempunyai masalah disfungsi eriktil mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap sakit jantung, strok dan juga masalah pengaliran darah pada kawasan kaki.

Sebab itulah, penting untuk lelaki atau para suami yang menghidap disfungsi erektil untuk berjumpa doktor secepat mungkin. 

Doktor dapat membantu mengesan masalah sebenar yang menyebabkan masalah mati pucuk yang dialami.

Punca lelaki mati pucuk

Sebenarnya, banyak proses kompleks yang berlaku ketika lelaki mengalami ereksi. Proses ini melibatkan tindak balas antara otak, hormon, emosi, saraf, otot dan juga saluran darah. Oleh sebab itu, sukar untuk menentukan punca sebenar lelaki alami mati pucuk.

Disfungsi erektil juga boleh berlaku disebabkan masalah kesihatan, masalah emosi atau kedua-duanya.

Sebagai contoh, lelaki boleh alami masalah fizikal ketika melakukan hubungan seks. Namun, disebabkan rasa gelisah yang amat sangat, lelaki tadi tidak mampu mengekalkan ereksi.

Ini merupakan contoh mudah yang menunjukkan kesan emosi terhadap kemampuan seksual kaum Adam.

Namun, masalah mati pucuk selalunya disebabkan masalah fizikal seperti kecederaan atau penyakit seperti sakit jantung, aterosklerosis, kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, obesiti, diabetes dan banyak lagi

Faktor risiko disfungsi erektil

Faktor risiko mati pucuk yang utama ialah penyakit, lebih-lebih lagi diabetes atau masalah jantung. Selain itu, faktor risiko mati pucuk yang lain ialah:

  1. Merokok.
  2. Obesiti.
  3. Sedang mengalami rawatan seperti pembedahan prostat atau terapi radiasi untuk kanser.
  4. Kecederaan, terutamanya pada arteri yang mengawal ereksi.
  5. Ubat-ubatan seperti ubat anti depresi, antihistamin, ubat tekanan darah tinggi dan sebagainya.
  6. Masalah psikologikal seperti stres, kegelisahan atau depresi.
  7. Penyalahgunaan dadah.
  8. Pengambilan minuman alkohol yang terlalu banyak.

Diagnosis dan rawatan

Diagnosis

Disebabkan ada banyak faktor yang boleh menyebabkan mati pucuk, ada beberapa ujian yang bakal doktor jalankan untuk melakukan diagnosis.

Rawatan pula akan diberikan selepas doktor menentukan punca di sebalik masalah disfungsi erektil yang dialami.

Sebelum melakukan ujian, doktor akan bertanya serba sedikit mengenai sejarah perubatan dan melakukan ujian fizikal secara menyeluruh.

Selain itu, jawab semua soalan dengan jujur walaupun ia mungkin membuatkan anda rasa malu. Kadangkala, soalan yang bersifat personal ini penting untuk membantu doktor melakukan diagnosis dengan betul.

Rawatan

Rawatan untuk disfungsi erektil mungkin berbeza mengikut masalah yang pesakit alami. Berdasarkan sejarah penyakit dan tahap kesihatan anda, doktor mungkin akan cuba merawat mati pucuk dengan ubat-ubatan oral.

Jika langkah ini tidak berjaya, doktor mungkin akan mencadangkan agar anda berjumpa dengan doktor yang lebih pakar. Ada banyak pilihan lain yang tidak melibatkan pembedahan seperti penggunaan pam atau suntikan.

Selain itu, doktor juga mungkin akan mencadangkan sesi terapi bersama ahli psikologi jika disfungsi erektil berpunca daripada masalah emosi.

Cara mencegah mati pucuk

Langkah yang terbaik untuk mengelakkan bahaya mati pucuk ialah menjalani gaya hidup yang sihat.

Sebagai lelaki dan juga suami, masalah mati pucuk perlu dipandang serius untuk memastikan rumah tangga yang dibina kekal utuh dan teguh. 

Oleh sebab itu, jika anda menghidap penyakit tertentu, pastikan anda dapat mengawalnya dengan baik untuk mengelakkan masalah disfungsi erektil pada masa hadapan.

Sebagai contoh:

  1. Pastikan anda bersenam dengan kerap.
  2. Dapatkan bantuan untuk mengawal kegelisahan, depresi atau masalah kesihatan lain.
  3. Fokus pada aktiviti yang dapat mengurangkan stres.
  4. Berhenti merokok, minum arak atau menggunakan bahan yang terlarang.
  5. Pastikan anda mengambil ubat untuk penyakit yang sedia ada untuk mengawalnya dengan lebih baik.

Jangan lupa, pastikan anda ikuti rawatan atau pemeriksaan susulan jika menghidap penyakit yang boleh menyebabkan masalah mati pucuk.

Jika anda melakukan semua perkara di atas, tidak mustahil masalah mati pucuk yang anda alami dapat diatasi pada masa hadapan.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 13 jam lalu