Benarkah para wanita lebih tertarik dengan lelaki berjambang? Kalau ikut sains, jawapannya adalah, ya!
Pada masa kini, ‘membela’ bulu di muka terutamanya jambang bagi kaum lelaki dianggap bergaya dan juga menarik! Tidak percaya?
Lihatlah posting di Instagram anda yang banyak memaparkan lelaki kacak dengan ‘ciri seksual sekunder’ di wajah mereka.
Bukan sekadar trend, lelaki berjambang ternyata lebih digemari kaum Hawa kerana kelihatan lebih macho di mata mereka!
Selain menyerlahkan sisi kejantanan, terdapat beberapa lagi penyebab yang menyumbang kepada faktor wanita tertarik dengan jambang atau janggut lelaki.
Berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut? Jom baca artikel ini!
Ciri maskulin versus feminin
Satu kajian dilakukan bagi mengkaji sama ada wanita tertarik dengan versi feminin dan maskulin pada seseorang lelaki.
Para penyelidik mengubah ciri-ciri lelaki untuk kelihatan lebih maskulin atau lebih feminin dan kemudian melakukan tinjauan terhadap peserta wanita.
Hasilnya, wanita mendapati ciri lelaki di tengah-tengah antara maskulin dan feminin adalah lebih menarik.
Namun, ini mungkin kerana sebilangan peserta menggemari lelaki dengan ciri feminin dan sebahagian pula lebih sukakan lelaki dengan ciri maskulin, menjadikan hasil keputusan tersebut begitu.
Para penyelidik juga mendapati lelaki dengan jambang atau stubble (jambang tipis) menyembunyikan sesetengah ciri maskulin dan feminin pada diri mereka.
Ini bermaksud, mereka tidak kisah sama ada mempunyai ciri-ciri yang disukai wanita atau tidak jika ia disembunyikan oleh jambang.
Ini kerana ternyata para wanita lebih tertarik dengan lelaki berjambang tanpa mengira ciri lelaki tersebut. Dan, ini adalah fakta sains!
4 sebab kaum Hawa gemarkan lelaki berjambang!
Adakah anda tertanya-tanya, apa sebenarnya kelebihan jambang sehingga membuatkan perempuan tertarik?
4 perkara di bawah akan menjawab persoalan anda dengan sokongan sains! Teruskan membaca ya.
1. Lelaki berjambang tampak maskulin, menurut sains
Satu kajian 2016 yang diterbitkan dalam Journal of Evolutionary Biology dilakukan demi mengkaji ciri lelaki yang digemari oleh para wanita.
Penyelidik meninjau lebih daripada 8,000 wanita dan mereka menunjukkan 2 keping gambar daripada 36 koleksi, lantas menanyakan gambar mana yang lebih menarik.
Tanpa disedari peserta, para penyelidik telah memanipulasi kedua-dua foto di Photoshop untuk menjadikannya lebih maskulin berbanding yang lain.
Hasil kajian, mereka menyimpulkan bahawa wanita memandang lelaki dengan bulu di wajah bukan hanya kelihatan maskulin tetapi lebih yakin, rajin, murah hati, dan ikhlas berbanding mereka yang tidak berjambang.
Selain itu, para penyelidik mendapati peserta menilai lelaki berjanggut sebagai lebih menarik berbanding wajah yang dicukur bersih bagi hubungan jangka panjang.
2. Perempuan suka lelaki berjambang? Ya, tapi kepanjangannya memainkan peranan!
Ya benar, perempuan lebih gemarkan lelaki berjambang tetapi persoalannya, panjang mana?
Menurut para penyelidik dari University of New South Wales, Australia, mereka meminta 351 wanita dan 177 lelaki heteroseksual untuk menilai lelaki dengan tahap kepanjangan jambang yang berbeza.
Di samping itu, peserta turut menilai setiap wajah sama ada dikategorikan sebagai daya tarikan, maskulin, kesihatan dan keupayaan menjadi seorang bapa yang bagus.
Menariknya, lelaki dengan penampilan heavy 10-day stubble diundi sebagai paling menarik, di mana lelaki dengan light stubble (pertumbuhan 5 hari) mendapat skor paling rendah daripada kedua-dua peserta lelaki dan wanita dalam setiap kategori.
Bersesuaian dengan sejarah evolusi kita, lelaki berjanggut penuh dianggap lebih baik dalam melindungi dan menjaga keturunan mereka.
3. Lelaki dengan jambang tebal boleh menjadi bapa yang lebih baik
Lelaki berjambang boleh menjadi seorang ayah yang lebih baik, atau setidaknya itulah tanggapan yang mereka berikan kepada wanita!
Dalam salah satu kajian yang disebutkan di atas, lelaki berjanggut dilihat sebagai pasangan yang lebih baik untuk hubungan jangka panjang.
Ini membolehkan para penyelidik Dixon dan Brookes menyimpulkan bahawa lelaki berjambang juga boleh dianggap sebagai ayah yang lebih baik.
Mungkin kedengarannya seperti tidak logik bukan? Tetapi kajian sains mengatakan sebaliknya!
Wanita secara sedar (atau secara tidak sedar) menganggap lelaki berjambang lebih maskulin lantas membuatkan mereka kelihatan sebagai pelindung atau penjaga yang baik.
4. Perempuan lebih sukakan janggut/jambang berbanding misai
Dalam tinjauan terhadap hampir 2,500 wanita yang dilakukan oleh sebuah laman web dating, lebih daripada 60% mendapati bulu di wajah lelaki sebagai menarik.
Daripada 1,500 wanita yang mengundi, ternyata jumlah pilihan jambang/janggut yang diundi mengalahkan misai!
Dengan hanya berjumlah sekitar 6.44% perempuan memilih misai, manakala 43.27% pula lebih gemarkan lelaki dengan janggut/jambang.
Konklusi
Walaupun bukan semua perempuan gemarkan lelaki berjambang, kajian ternyata membuktikan golongan ini mempunyai kelebihan dalam kalangan wanita.
Kaum Adam, apa ditunggu-tunggu lagi? Inilah masanya anda untuk ‘membela’ jambang, siapa tahu dapat menambat hati bakal zaujah!