backup og meta

Gout: Kesengsaraan Bagi Penghidapnya

Gout: Kesengsaraan Bagi Penghidapnya

Penyakit gout bukan satu penyakit luar biasa, pastinya anda pernah mendengar mengenainya. Malah anda mungkin salah seorang penghidap gout. Apabila gout menyerang, walaupun hanya melibatkan sendi ibu jari kesannya akan dirasai sehingga ke seluruh badan.

Apa itu gout

Secara ringkasnya, gout terjadi disebabkan asik urik yang berlebihan dalam badan. Asik urik pula adalah bahan kumuhan berasal dari sejenis protein dipanggil purin, yang dibuang melalui air kencing.

Namun bagi pesakit gout, asid urik berlebihan ini tidak dibuang sebaliknya berkumpul dalam sendi. Penyakit ini merupakan antara penyakit yang paling lama dihidapi manusia sejak dahulu lagi. Kaum lelaki dalam lingkungan usia antara 30 hingga 60 tahun antara yang sering menghidapi penyakit ini dan ia jarang sekali dihidapi kaum wanita sebelum putus haid.

Kesakitan dua peringkat

Bagi Mohd Noorfallah Md Isa, beliau mula berdepan dengan kesakitan ini sejak berusia 26 tahun lagi. Apabila gout menyerang, terdapat dua peringkat kesakitan yang akan beliau hadapi, pertama peringkat sakit yang sedikit.

Pada peringkat ini, kesakitan akan dirasai dibahagian pergelangan kaki dan kesakitan akan berkurangan apabila memakan ubat. Pada ketika ini, beliau masih boleh berjalan dan melakukan aktiviti seperti biasa walaupun terasa kesakitan dibahagian sendi.

Namun jika beliau berdepan dengan peringkat kesakitan yang kedua, iaitu kesakitan yang teramat sangat, akan menyebabkan beliau tidak mampu untuk berjalan langsung. Memilih untuk memakan ubat juga tidak dapat membantu mengurangkan kesakitan. Malah ada ketikanya kesakitan yang dilalui menyebabkannya terpaksa merangkak atau bertongkat untuk bergerak.

Pergerakan beliau sangat terbatas dan segalanya serba tidak kena. Malah menurut beliau jika diberi pilihan, beliau terasa bagaikan ingin mencabut kaki agar tidak merasai kesakitan tersebut. Ada masanya beliau terpaksa mengambil cuti akibat kesakitan yang tidak boleh dibendung dan menbatas pergerakannya untuk melakukan tugasan.

Ubat pengurang kesakitan

Munurut Fallah yang berkerja sebagai juruteknik di TM, kebiasaannya gout menyerang pada waktu pagi selepas bangun tidur atau apabila duduk terlalu lama. Pernah mencuba ubat Allopurinol, namun berhenti menggunakannya apabila mendapat tahu tentang kesan pengambilan ubat tersebut dan kini hanya menggunakan ubat Colchicine apabila gout.

Ujar beliau lagi, soal pemakanan juga memainkan peranan penting untuk menghindari dari terkena serangan gout dan ia berbeza bagi setiap orang. Antara makanan yang cuba dielakkannya adalah seperti ikan bilis, ikan sardin dan beberapa jenis makanan laut lain.

“Gout ini datang bukan terus selepas makan sesuatu makanan. Ada masanya kita makan dalam kuantiti yang banyak, gout tidak menyerang dan ada ketikanya kita cuma mengambil dalam jumlah yang sedikit, terus kena serangan gout. Bagaikan mengisi air di dalam gelas, bila lama air dituang, maka akan penuhlah gelas itu”, jelas beliau.

Bawa kesan dalam kehidupan seharian

Bagi penghidap gout yang berusia 37 tahun ini, walaupun gout bukan satu penyakit yang menyerang pesakitnya setiap namun ia tetap membawa kesan dalam kehidupan seharian. Ini kerana apabila gout menyerang pergerakan akan terbatas sekaligus membantutkan perjalanan tugasan seharian. Lebih malang lagi andai kesakitan itu adalah pada tahap yang paling menyakitkan. Apa yang penting kena pandai jaga pemakanan dan sebolehnya elakkan dari mengambil atau makan sesuatu yang boleh menyebabkan gout.

Allopurinol

Sebagai perkongsian, Allopurinol adalah ubat yang digunakan untuk merawat gout, tahap asid urik yang tinggi dalam badan dan batu karang. Ubat ini juga boleh merawat kekejangan, jangkitan, dan kesakitan yang disebabkan oleh penyakit berkaitan pankreas.

Antara kesan penggunaan ubat Allopurinol yang kurang serius seperti muntah, cirit-birit, mengantuk, sakit kepala, kesakitan otot, perubahan pada deria rasa. Dan penggunaan ubat ini juga boleh mendatangkan kesan serius seperti:

  • Demam, sakit tekak, dan sakit kepala dengan ruam pada kulit, mengelupas, dan kemerahan.
  • Mual, sakit perut pada bahagian atas, kegatalan, hilang selera makan, kehilangan berat badan, air kencing berwarna gelap, najis berwarna gelap dan jaundis.
  • Sakit atau pendarahan apabila membuang air kecil.
  • Kurang kencing atau tidak kencing langsung.
  • Sakit sendi atau simptom selsema.
  • Mudah lebam, pendarahan luar biasa, atau bintik-bintik merah atau ungu di bawah kulit.
  • Sakit otot.

Colchicine

Juga merupakan ubat untuk merawat atau mencegah serangan gout. Ia berfungsi mengurangkan bengkak dan pembentukan hablur asid urik yang menyebabkan sakit pada sendi.

Antara kesan sampingan ubat ini adalah cirit-birit, loya, kekejangan, sakit perut dan muntah. Berhenti mengambil ubat ini jika terdapat kesan sampingan serius yang berlaku seperti:

  • Pendarahan atau lebam yang luar biasa.
  • Cirit-birit atau muntah yang teruk.
  • Lemah atau sakit otot.
  • Pucat atau perubahan warna pada bahagian bibir, lidah atau telapak tangan.
  • Demam dan sakit tekak berterusan.
  • Kadar denyutan jantung yang cepat.
  • Sesak nafas.
  • Masalah berkaitan buah pinggang (perubahan jumlah air kencing).

Jika anda mengalami simptom seperti di atas atau mungkin terdapat kesan lain yang tidak dinyatakan,selepas penggunaan ubat Allopurinol atau Colchicine, sila berjumpa doktor anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Allopurinol Side Effects

https://www.everydayhealth.com/drugs/allopurinol/ Accessed on Nov 16, 2018

 

Allopurinol

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-8610/allopurinol-oral/details/ Accessed on Nov 16, 2018

 

Colchicine

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-8640/colchicine-oral/details/ Accessed on Nov 16, 2018

 

Gout

http://www.myhealth.gov.my/en/gout-5/ Accessed on Nov 16, 2018

Versi Terbaru

26/11/2019

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

13 Tanda Awal Anda Alami Penyakit Arthritis! Rupanya Terdapat Lebih Daripada 1 Jenis?

5 Makanan Yang Dapat Menurunkan Asid Urik, Penting Kalau Anda Ada Gout!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 26/11/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan