Ikuti langkah-langkah berikut untuk mengelakkan influenza tersebar.
1. Jaga jarak anda
Semasa anda sedang sakit, elakkan bersentuhan dengan orang lain. Sebaiknya, jaga jarak anda. Meskipun tidak bersentuhan secara langsung, jarak yang dekat lebih mudah menyebarkan virus kepada orang lain. Maklumkan kepada ahli rumah dan orang di sekeliling bahawa anda sedang sakit dan tidak mahu membuatkan mereka sakit juga.
2. Duduk di rumah
Pergi ke sekolah atau tempat kerja bukanlah satu langkah yang baik ketika sedang sakit. Ia bukanlah simbol kesungguhan atau kerja keras kerana rakan anda di sekolah atau tempat kerja mungkin akan dijangkiti pula. Untuk mengelakkan ia berlaku, duduk di rumah adalah apa yang terbaik anda boleh lakukan.
Virus influenza boleh tersebar sehari sebelum simptom berlaku sehingga 5 hari selepasnya.
3. Tutup mulut dan hidung
Semasa batuk atau bersin, pastikan anda menutup mulut dan hidung dengan kain atau tisu. Ia membantu mengelakkan cecair mulut dan hidung anda yang mengandungi virus tersebar. Sekurang-kurangnya, tutup dengan tangan. Kemudian, basuh tangan tersebut dan buang tisu yang digunakan.
4. Basuh tangan
Tangan anda mengandungi bermacam-macam jenis kuman dan sangat mudah menyebarkannya memandangkan tangan tersebut digunakan untuk memegang banyak perkara sepanjang hari. Oleh itu, pastikan anda sentiasa basuh tangan sebelum dan selepas makan, sebelum dan selepas menyentuh orang sakit, sebelum dan selepas ke tandas.