backup og meta

Kopi: Minuman Kegemaran Ramai Setiap Pagi

Kopi: Minuman Kegemaran Ramai Setiap Pagi

Kopi, teh, minuman coklat atau jus buah-buahan menjadi antara pilihan minuman kegemaran setiap individu. Tetapi tahukah anda apakah sejarah kopi dan bagaimana kopi terhasil dan menjadi salah satu daripada pilihan minuman kegemaran manusia? Sebenarnya tiada siapa yang mengetahui dengan tepat bagaimana dan bilakah kopi ditemukan. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai legenda atau teori berkaitan dengan sejarah penemuan dan perkembangan kopi mengikut benua. 

Legenda kopi Ethiopia

Pohon kopi yang ditanam di seluruh dunia dapat dikesan sejarah ratusan tahunnya kembali ke hutan kopi kuno di dataran tinggi Ethiopia. Di sana, legenda mengatakan bahawa pengembala kambing yang bernama Kaldi adalah individu pertama yang menemui potensi pohon dan biji kopi.

Kisah itu menyatakan bahawa Kaldi menemui kopi selepas dia menyedari kambing peliharaannya memakan buah beri dari pokok tertentu, kambingnya menjadi begitu bertenaga sehingga kambingnya tidak mahu tidur pada waktu malam.

Kaldi menceritakan penemuannya kepada ketua rahib biara di kawasannya, yang kemudiannya membuat minuman dengan menggunakan buah beri tersebut dan mendapati bahawa ia membuatnya kekal terjaga untuk berdoa malam yang panjang. Ketua rahib tersebut kemudiannya berkongsi penemuannya dengan para rahib lain di biara, dan pengetahuan mengenai buah beri yang memberikan tenaga ini mula menyebar. Bilamana berita mengenai beri tersebut tersebar ke bahagian timur dan kopi mula sampai ke Semenanjung Arab, maka bermulalah penyebaran minuman ini ke pelusuk dunia.

Kopi di Semenanjung Arab

kopi

Penanaman dan perdagangan kopi bermula di Semenanjung Arab. Menjelang abad ke-15, kopi ditanam di daerah Yaman di Arab dan pada abad ke-16, ia mula dikenali di Parsi, Mesir, Syria, dan Turki.

Kopi bukan sahaja dinikmati di rumah, tetapi juga di banyak rumah kopi umum – yang dipanggil qahveh khaneh – yang mula muncul di bandar-bandar di seluruh Timur Dekat. Populariti kedai-kedai kopi semakin meningkat naik dan orang ramai mengunjunginya untuk semua jenis aktiviti sosial. Pengunjung bukan sahaja datang untuk minum minuman ini dan terlibat dalam perbualan, tetapi mereka juga mendengar muzik, menyaksikan penghibur, bermain catur dan menyebarkan berita semasa. Kedai-kedai kopi dengan pantasnya menjadi pusat penting bagi pertukaran maklumat yang mereka sering sebut sebagai “School of the Wise.” Dengan jumlah beribu-ribu jemaah haji yang melawat kota suci Mekah setiap tahun dari seluruh dunia, pengetahuan tentang minuman ini atau juga digelar “wine of Araby” ini mula menyebar.

Penapakan kopi di Eropah bermula

Pengembara Eropah yang sampai ke Timur Dekat membawa pulang kisah minuman hitam gelap yang luar biasa. Menjelang abad ke-17, minuman ini telah mula sampai ke tanah Eropah dan menjadi popular di seluruh benua.

Sesetengah individu memberikan reaksi terhadap minuman baharu ini dengan kecurigaan atau ketakutan, dengan menggelar minuman ini sebagai “bitter invention of Satan”. Pendeta tempatan mengutuk kopi ketika minuman ini tiba di Venice pada tahun 1615. Kontroversi itu begitu besar sehingga Pope Clement VIII diminta untuk campur tangan. Beliau memutuskan untuk merasakan minuman itu sendiri sebelum membuat keputusan dan mendapati minuman itu begitu memuaskan sehingga beliau memberikan kelulusan terhadap kopi.

Walaupun terdapat pelbagai kontroversi pada ketika itu, kedai kopi dengan pantasnya turut menjadi pusat kegiatan sosial dan komunikasi di bandar-bandar utama di England, Austria, Perancis, Jerman dan Belanda. Di England “universiti-universiti kecil” berkembang, dipanggil sedemikian oleh kerana dengan harga satu sen, anda dapat membeli secawan minuman ini dan terlibat dalam perbualan yang merangsang otak.

Kopi mula menggantikan minuman-minuman sarapan pagi yang biasa seperti bir dan wain. Mereka yang minum minuman ini dan bukannya alkohol memulakan hari mereka dengan cukup bersedia dan bertenaga, dan tidak menghairankan, kualiti kerja mereka turut bertambah baik.

Menjelang pertengahan abad ke-17, terdapat lebih dari 300 buah kedai kopi di London, kebanyakannya menarik pelanggan yang suka berfikir, termasuk pedagang, pelaut, broker dan artis.

Banyak perniagaan juga tumbuh daripada kedai kopi khusus ini. Sebagai contoh, Lloyd’s of London mula diwujudkan bermula di Kedai Kopi Edward Lloyd.

Kopi di bahagian Dunia Baharu

kopi

Pada pertengahan 1600-an, kopi dibawa ke New Amsterdam, yang kemudiannya dipanggil New York oleh British.

Walaupun kedai minuman ini dengan pantasnya mula muncul, teh terus menjadi minuman kegemaran ramai di Dunia Baharu hingga tahun 1773, ketika penjajah memberontak terhadap cukai yang tinggi ke atas teh yang dikenakan oleh Raja George III. Pemberontakan, yang dikenali sebagai Boston Tea Party, akhirnya mengubah pilihan minuman penduduk Amerika kepada minuman ini untuk selamanya.

Perladangan kopi di seluruh dunia

Memandangkan permintaan minuman ini terus meningkat, terdapat persaingan sengit untuk menanam kopi di luar Semenanjung Arab.

Belanda akhirnya mendapat benihnya pada separuh kedua abad ke-17. Percubaan pertama mereka untuk menanam benih tersebut di India gagal, tetapi mereka berjaya dengan usaha mereka di Batavia, di pulau Jawa dengan apa yang sekarang ini telah menjadi negara Indonesia.

Tanaman berkembang pesat dan kemudiannya Belanda mempunyai perdagangan yang produktif dan berkembang dalam perniagaan kopi. Mereka kemudian mengembangkan penanaman pokok kopi ke kepulauan Sumatera dan Celebes.

5 cubaan untuk mengharamkan kopi yang pernah terjadi dalam sejarah

  • Mekah

Kopi dilarang di Mekah pada tahun 1511, kerana ia dipercayai merangsang pemikiran radikal dan melepak – gabenor pada ketika itu menganggap minuman ini menyatukan pembangkangnya. Sesetengah mazhab Sufi akan mengedarkan semangkuk kopi semasa pemakaman untuk kekal berjaga semasa mendirikan solat.

  • Itali

Apabila kopi tiba di Eropah pada abad ke-16, para pendeta menekannya untuk diharamkan dan dilabelkan sebagai Satanic. Tetapi Pope Clement VIII cuba merasai minuman hitam tersebut, mengisytiharkan ia lazat, dan juga merasakan bahawa ia harus turut dibaptiskan. Dengan kekuatan berkat daripada Pipe Clement VIII ini, kedai kopi berkembang pesat di seluruh Eropah.

  • Konstantinopal

Selepas Sultan Murad IV menduduki tahta Kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1623, beliau segera melarang minuman ini dan menubuhkan sistem penalti yang munasabah. Hukuman untuk kesalahan pertama adalah dengan pukulan. Sesiapa yang ditangkap dengan minuman ini untuk kali kedua akan dijahit ke dalam beg kulit dan dibuang ke dalam perairan Bosporus.

  • Sweden

Sweden memberikan tekanan kepada minuman ini pada tahun 1746. Kerajaan juga mengharamkan “peralatan kopi” – dengan polis menyita cawan dan piring. Raja Gustav III juga mengarahkan pembunuh yang didapati bersalah untuk minum kopi di samping doktor memantau berapa lamakah waktu yang diambil secawan kopi untuk membunuh mereka, yang mana ia kelihatan sangat baik untuk banduan dan sangat membosankan untuk seorang doktor pada ketika itu.

  • Prussia 

Pada tahun 1777, Frederick the Great of Prussia mengeluarkan manifesto yang mendakwa keunggulan bir berbanding minuman ini. Beliau berpendapat bahawa minuman ini mengganggu penggunaan bir negara, dengan harapan bahawa pernyataan diraja akan membuat orang Prussian bersemangat untuk menjadikan bir sebagai minuman sarapan setiap pagi. Frederick mengisytiharkan, “Ke bawah Duli Yang Maha Mulia dibesarkan dengan minuman bir,” menjelaskan mengapa dia berfikir minum bir pada waktu pagi adalah idea yang baik.

Berapa cawan kopikah yang selamat untuk diambil?

kopi

Walaupun kebaikan dan keburukan minum kopi telah dibahaskan selama beberapa dekad, penyelidikan baharu dari University of South Australia menunjukkan bahawa dengan meminum enam atau lebih minuman ini setiap hari boleh merugikan kesihatan anda dengan meningkatkan risiko penyakit jantung sehingga 22 peratus.

Di Australia, satu daripada enam orang terjejas oleh penyakit kardiovaskular. Ia adalah punca utama kematian dengan satu kematian disebabkan oleh penyakit tersebut dalam setiap 12 minit. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penyakit kardiovaskular merupakan penyebab utama kematian, namun ia juga adalah salah satu penyakit yang paling mudah dicegah.

Para penyelidik dari University of South Australia, Dr Ang Zhou dan Profesor Elina Hyppönen dari Australian Centre for Precision Health menyatakan bahawa penyelidikan mereka mengesahkan bahawa kafein yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, pendahulu bagi penyakit jantung ketika mereka menyiasat hubungan antara pengambilan minuman ini dalam jangka masa panjang dan penyakit kardiovaskular.

Menurut Prof Hyppönen, kopi adalah perangsang yang paling banyak digunakan di dunia, ia membuatkan kita terjaga, meningkatkan tenaga kita dan membantu kita untuk fokus – tetapi orang selalu bertanya, sebanyak manakah kafein yang dianggap sebagai terlalu banyak?

Menurut beliau lagi, kebanyakan individu akan bersetuju bahawa jika anda minum terlalu banyak kopi, anda mungkin berasa gelisah, mudah marah atau mungkin juga mual – ini kerana kafein membantu badan anda untuk bekerja dengan lebih cepat dan lebih kuat, tetapi ia juga mungkin mencadangkan bahawa anda mungkin telah mencapai had anda pada masa ini.

Pasukan penyelidikannya juga mengetahui bahawa risiko penyakit kardiovaskular meningkat seiring dengan tekanan darah tinggi, yang merupakan satu kesan yang diketahui akibat pengambilan kafein yang berlebihan.

Menurut para penyelidik, enam cawan minuman ini adalah titik kritikal di mana kafein mula memberi kesan buruk kepada risiko kardiovaskular, dan untuk mengekalkan jantung yang sihat dan tekanan darah yang sihat, setiap individu mestilah membataskan pengambilan kopi mereka kepada kurang daripada enam cawan sehari.

Prof Hyppönen mengatakan bahawa, walaupun pembawa variasi gen pemprosesan cepat menjadi empat kali lebih cepat dalam memetabolisma kafein, penyelidikan tidak menyokong kepercayaan bahawa individu-individu ini boleh mengambil lebih banyak kafein dengan selamat dan lebih kerap, tanpa kesan kesihatan yang merugikan.

Kebaikan dan keburukan kafein

kopi

Kebaikan kafein

Tidak perlu dipertikaikan lagi, kafein menenangkan minda anda. Ia meningkatkan ingatan anda dan melegakan keletihan. Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa kafein sangat bermanfaat untuk fungsi mental. Satu dos minuman berkafein meningkatkan memori jangka pendek dan meningkatkan kelajuan reaksi anda.

Penyelidik percaya bahawa 3 hingga 4 cawan kopi (bersamaan 300 atau 400 miligram kafein) menimbulkan sedikit risiko kesihatan semasa menggalakkan beberapa manfaat kesihatan. Bukti menunjukkan penggunaan kafein dapat membantu mencegah banyak keadaan kesihatan seperti diabetes jenis 2, penyakit Parkinson, dan penyakit hati. Walau bagaimanapun, orang yang mempunyai tekanan darah tinggi, kanak-kanak, remaja, dan warga tua mungkin lebih cenderung kepada kesan sampingan kafein.

Keburukan kafein

Kajian juga mendapati bahawa kafein dapat meningkatkan tekanan darah seseorang. Walaupun kenaikan sementara ini tidak disedari, ia mungkin mempunyai kesan buruk apabila mengambil kira kenaikan ini berlaku agak kerap. Pengambilan kafein selalunya bersama dengan paras glukosa darah yang tinggi. Faktor-faktor ini boleh menyebabkan seseorang mengalami peningkatan risiko penyakit jantung. Di samping itu, wanita yang minum minuman berkafein mungkin berisiko kehilangan tulang, mengikut pendedahan kajian itu.

Satu lagi masalah dengan kafein adalah potensi penyalahgunaan bahan. Semakin banyak produk dibungkus dengan kepekatan kafein yang lebih tinggi. Saiz minuman tenaga juga semakin besar dan lebih besar. Masalah ini kelihatan lebih serius dalam kalangan remaja. Ramai yang telah dimasukkan ke hospital kerana mengambil terlalu banyak kafein tambahan. Simptom penyalahgunaan kafein termasuk gangguan tidur, menggigil, sakit perut, muntah, sakit dada, dan berdebar-debar.

Apa yang boleh dilakukan mengenai pengambilan kafein anda?

Soalan yang paling penting ialah bagaimana tubuh anda bertindak balas terhadap kafein. Anda harus bertanya kepada diri sendiri sama ada kafein membuat anda berasa gelisah, cemas atau keletihan. Bagaimanakah corak tidur anda akhir-akhir ini? Bagaimana keadaan kesihatan anda? Adakah anda bergantung kepada kafein?

Apabila ia melibatkan kafein, kesederhanaan adalah perkara terbaik yang boleh anda lakukan. Jika anda perlu mengambil empat hingga lima cawan kopi hanya untuk melewati hari anda dan masih berasa sia-sia, mungkin sudah tiba masanya untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan. Jika anda juga mengalami tanda-tanda penuaan yang mengerikan ketika cuba berhenti daripada kafein, pasti ada masalah yang perlu diperhatikan.

Melihat Sesuatu yang Mengingatkan Anda Kepada Kopi Boleh Merangsang Otak

kopi

Apakah yang anda rancang untuk minum pada pagi ini sebelum memulakan tugas harian anda? Peminat kopi mungkin biasa dengan pilihan seperti latte, espresso, americano, macchiato, mochaccino atau mungkin juga cappuccino. Memikirkannya sahaja sudah cukup untuk membuka selera anda di pagi hari. Tetapi, adakah anda mengetahui bahawa dengan hanya melihat sesuatu yang membuatkan anda teringatkan kopi anda, boleh merangsang fungsi otak anda?

Ya, dengan hanya melihat sesuatu yang membuatkan kita teringatkan tentang minuman ini boleh menyebabkan otak kita menjadi lebih berjaga-jaga dan memberikan perhatian yang penuh. Berdasarkan kajian yang bertajuk ‘Coffee Cues Elevate Arousal and Reduce Level of Construal’ yang diterbitkan dalam jurnal Consciousness and Cognition itu mengkaji kebaikan minuman ini dari sudut psikologi; bagaimana dengan hanya melihat kepada sebarang peringatan boleh mempengaruhi cara kita berfikir. Kajian yang dilaksanakan oleh University of Toronto, Kanada ini bertujuan ingin melihat kesan yang disebut ‘priming’, di mana pendedahan kepada isyarat halus dapat mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kita.

Salah seorang penyelidik, Sam Maglio, profesor madya di jabatan pengurusan di University of Toronto dan Rotman School of Management berkata, para penyelidik ingin melihat sekiranya terdapat sebarang perkaitan di antara minuman ini dan rangsangan sehingga jika kita hanya mendedahkan individu kepada isyarat atau petunjuk yang berkaitan dengan minuman ini, rangsangan fisiologi mereka akan meningkat. Rangsangan dalam psikologi merujuk kepada bagaimana kawasan tertentu otak dapat diaktifkan untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga, terjaga dan penuh perhatian. Ia boleh dicetuskan oleh beberapa perkara, termasuk emosi kita, neurotransmitter di dalam otak, atau minuman berkafein yang kita minum.

Berdasarkan empat kajian berasingan dengan menggunakan campuran peserta daripada budaya barat dan timur, mereka membandingkan petunjuk yang berkaitan dengan kopi dan teh. Mereka mendapati bahawa peserta yang terdedah kepada petunjuk yang berkaitan dengan minuman ini menggunakan masa dengan lebih pendek dan berfikir dengan menggunakan istilah yang lebih konkrit dan tepat. Menurut Sam Maglio lagi, individu yang mengalami rangsangan fisiologi hasil daripada ‘priming’ dan bukannya dengan meminum minuman ini, melihat dunia dengan istilah yang lebih spesifik dan terperinci dan hasil kajian ini mempunyai banyak implikasi berkenaan bagaimana seseorang individu memproses maklumat dan membuat tanggapan serta keputusan.

Walau bagaimanapun, kesan kajian itu tidak begitu kuat dalam kalangan peserta yang membesar dalam budaya timur. Penyelidik membuat andaian bahawa hubungan antara kopi dan rangsangan tidak begitu kuat dalam budaya yang kurang meminum kopi berbanding teh. Penyelidik turut menyatakan kajian ini akan menjadi asas kepada kajian lain yang lebih besar seperti perkaitan yang dimiliki oleh individu terhadap jenis makanan dan minuman yang lain yang mungkin mempunyai kesan berbeza ke atas rangsangan individu.

Hadkan pengambilan kopi anda setiap hari kerana ia lebih menyihatkan berbanding pengambilan secara tidak terkawal. Nikmati kopi anda ketika berbual bersama rakan di pusat membeli belah selain mengekalkan anda untuk kekal terjaga ketika melakukan sebarang tugasan. 

Baca juga:

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Pros and Cons of the Caffeine Craze. http://www.webmd.com/food-recipes/features/pros-and-cons-caffeine-craze#1. Accessed April 19, 2017.

Caffeine pros and cons: effects of caffeine on your body. https://www.womenshealthnetwork.com/fatigueandinsomnia/effectsofcaffeine.aspx. Accessed April 19, 2017.

http://www.ncausa.org/about-coffee/history-of-coffee

5 Attempts to Ban Coffee in History

Kopi: Berapa Cawankah yang Selamat Diambil

Melihat Sesuatu yang Mengingatkan Anda Kepada Kopi Boleh Merangsang Otak

Versi Terbaru

20/06/2022

Ditulis oleh Farah Aziz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Betulkah Biji Chia Berkhasiat? Ini 7 Kebaikan Chia Seed Untuk Kesihatan

Tubuh Kuat Bermula Dari Usus Yang Baik! Ini 6 Manfaat Minuman Probiotik, Selain Untuk Usus!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 20/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan