Jenis Susu Ibu: Beza Kolostrum, Hindmilk Dan Foremilk

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Para ibu sekalian yang menyusukan bayi, sudah pasti pernah mendengar saranan seperti perlu menyusukan bayi dengan kedua-dua belah payudara untuk memastikan bayi kenyang. Tetapi adakah terdapat perbezaan jenis susu ibu pada payudara kira atau kanan?

Jenis susu ibu

Penulis akui, ketika menyusukan si kecil dahulu, penulis juga mendapat saranan seperti itu daripada emak saudara penulis sendiri. Ini kerana menurut kepercayaan para ibu zaman dahulu, payudara belah kanan mengandungi air dan belah kiri mengandungi kanji yang boleh membuatkan bayi kenyang. Sejujurnya memang penulis kurang arif mengenai hal ini, apatah lagi ia adalah kali pertama penulis bergelar ibu. 

Sebenarnya, penting untuk para ibu sekalian mengetahui mengenai jenis susu ibu untuk membantu proses penyusuan. Jadi ibu-ibu sekalian, berminat untuk mengetahui apakah perbezaan jenis susu ibu yang ada? 

2 jenis utama

Umumnya, susu ibu terbahagi kepada dua jenis utama, iaitu kolostrum dan susu matang. Manakala di bawah kategori susu matang, terdapat dua sub kategori: foremilk dan hindmilk. Setakat ini boleh faham, bukan?

Kolostrum adalah susu yang terhasil sehingga hari ketiga atau keempat selepas kelahiran bayi. Ia biasanya dihasilkan dalam jumlah yang sangat sedikit, sesuai dengan saiz perut bayi yang kecil selepas dilahirkan. Kolostrum adalah jenis susu ibu yang mempunyai manfaat baik dan kaya dengan protein, karbohidrat, vitamin serta mineral.

Selepas kolostrum, susu yang terhasil dikenali sebagai susu matang. Susu dalam kategori inilah yang sering mendatangkan kekeliruan kepada para ibu sekalian. 

Foremilk 

Ia merupakan susu awal yang berada di hadapan payudara dan terhasil semasa proses awal penyusuan yang lebih bersifat cair dan mengandungi banyak air. Kandungan laktosa yang tinggi di dalam foremilk ini adalah penting untuk tenaga, perkembangan otak dan juga bagi menghilangkan dahaga bayi. Jadi tiada apa yang perlu dirisaukan jika warna susu tampak cair dan kurang pekat. 

Hindmilk

Jenis susu ibu yang satu ini pula adalah dikenali sebagai susu akhir yang berada di belakang payudara. Warnanya adalah lebih pekat berbanding foremilk dan agak kekuningan. Susu hindmilk kaya dengan serat, kalori serta lemak yang tinggi. Ia berfungsi untuk memberikan tenaga, membantu tumbesaran serta membuatkan bayi kenyang. 

Foremilk atau hindmilk yang penting?

Sebenarnya kedua-dua jenis susu ibu matang ini adalah penting untuk bayi. Foremilk dengan kandungan air dan laktosa yang tinggi adalah penting untuk tenaga, perkembangan otak bayi serta membantu menghilangkan rasa dahaga bayi. Sebab itu tidak perlu memberikan bayi air masak, faham ibu-ibu sekalian?

Manakala hindmilk pula membantu proses tumbesaran dan menjadikan bayi kenyang disebabkan kandungan lemak penting yang terkandung di dalamnya. Jadi kekurangan foremilk boleh membuatkan bayi mengalami kekurangan air dalam badan dan tidak cukup susu hindmilk pula sudah tentu menjejaskan tumbesaran bayi. 

Ketidakseimbangan foremilk dan hindmilk

Semasa proses mengepam susu, pastinya anda akan dapat melihat perbezaan pada susu yang keluar pada awal proses mengepam dan selepas beberapa ketika anda mengepam susu. Jika anda mendapati susu foremilk lebih banyak, ini berlaku kerana anda menghentikan proses mengepam pada pertengahan sesi tersebut. 

Jadi saranan yang terbaik buat para ibu sekalian, ketika proses mengepam dilakukan, terus melakukannya sehingga payudara berasa ringan dan kosong bagi mendapatkan lebih penghasilan hindmilk.

Berikut adalah beberapa tanda yang menunjukkan bayi tidak mendapat susu hindmilk yang secukupnya:

  • Najis kehijauan dan sedikit keras
  • Bayi kerap menangis kerana mengalami perut kembung
  • Terdapat darah pada najis bayi
  • Bayi kerap muntah
  • Mengalami ruam lampin 
  • Bayi kerap menangis seolah-olah tidak mendapat susu yang mencukupi

Kesimpulannya 

Kedua-dua belah payudara menghasilkan jenis susu ibu yang sama, iaitu terdiri daripada jenis kolostrum, foremilk dan hindmilk. Tidak wujud istilah menyusukan bayi dengan payudara belah kanan lebih baik dari belah kiri atau sebaliknya. Kedua-duanya sama penting dalam proses penyusuan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: November 11, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 17, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut