Anak Berdikari, Aspek Penting dalam Kehidupan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pernahkah anda menerima teguran yang mengatakan anak anda mungkin terlalu manja? Adakah benar si kecil anda terlalu manja? Adakah anda tidak pernah memberikan si kecil peluang untuk melakukan sesuatu perkara dengan sendiri kerana menganggap mereka masih terlalu kecil dan tidak berkemampuan untuk melakukannya sendirian? Jika jawapannya adalah ya, maka, ia mungkin sebenarnya satu kesilapan awal yang anda lakukan. Mengapa? Ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Bahaya anak terlalu manja

Sememangnya sebagai ibu bapa kita tidak dapat lari dari mempunyai sifat untuk melindungi anak-anak. Namun sebenarnya apabila kita terlalu melindungi anak, ia secara tidak langsung menjadikan anak terlalu manja dan sukar untuk berdikari. Hakikatnya, walaupun anak anda masih kecil, mereka sebenarnya sudah mempunyai keinginan untuk melakukan sesuatu perkara secara sendiri, sama seperti individu dewasa. Ini dipercayai dipengaruhi oleh perasaan ingin tahu yang tinggi dan keinginan untuk meneroka serta mencuba sesuatu yang baru.

Oleh kerana ini, cara yang terbaik untuk mendidik anak-anak dan tidak memanjakannya adalah dengan melayani sifat ingin tahu dan mencuba, dalam masa yang sama akan dapat membantu mengajar mereka untuk melakukan sesuatu perkara secara sendiri yang bersesuaian dengan kemampuan, usia dan tahap perkembangan mereka. Ini sekali gus dapat membantu membentuk pemikiran dan tingkah laku mereka agar lebih matang dan menjadikan mereka lebih berdikari.

Tanda anak terlalu manja

Ada masanya si kecil yang terlalu manja itu bukan sekadar diukur apabila seseorang anak itu ‘melekat’ dengan ibu atau bapanya. Terdapat beberapa tanda lain yang turut boleh menunjukkan bahawa anak-anak anda adalah anak yang manja, antaranya:

  1. Menangis

Jika si kecil anda kerap menjerit, bercakap secara kasar, menangis sekuat hati atau menghentakkan kakinya apabila permintaan dan kemahuan mereka tidak dapat anda penuhi atau apabila sebarang perlakuan mahupun tingkah laku yang dilakukan tidak boleh diterima, ia merupakan satu tanda bahawa si kecil anda adalah terlalu manja.  

  1. Rasuah

Sekiranya anda sudah terbiasa untuk memberikan si kecil anda sesuatu ganjaran seperti gula-gula atau coklat selepas dia melakukan sesuatu pekerjaan rumah, perkara tersebut mungkin menyebabkan ia menjadi satu perkara wajib bagi anak anda setiap kali dia melakukan sebarang tugasan rumah. Ia bukan kesalahan tetapi lama-kelamaan perbuatan tersebut seperti merasuah anak-anak agar atau untuk melakukan sesuatu.

  1. Berbohong

Apabila si comel anda kerap menyembunyikan atau berbohong akan kesalahannya dan mungkin meletakkan kesalahan yang dilakukannya kepada individu lain, ia adalah perkara yang tidak patut anda abaikan.

  1. Sukar membantu

Si kecil anda mungkin mempunyai perasaan untuk mementingkan dirinya, dan ia adalah sesuatu yang normal bagi kanak-kanak pada usia yang masih kecil. Tetapi berhati-hati, ia mungkin menunjukkan bahawa anak anda terlalu manja. Selari dengan pertambahan usia, kanak-kanak seharusnya sudah boleh memikirkan tentang perasaan individu lain di sekeliling mereka.

Anak Berdikari, Aspek Penting dalam Kehidupan - terlalu manja

  1. Mengamuk

Seandainya si kecil anda membuat perangai apabila menerima jawapan ‘tidak boleh’ atau ‘nanti dulu’, ia adalah salah satu tanda bahawa anak anda adalah anak yang terlalu manja. Sebagai ibu bapa, anda amatlah disarankan untuk tidak membuat sebarang janji yang tidak akan anda penuhi. Ini kerana si kecil anda akan sentiasa mengingati janji yang anda lafazkan padanya. Kekecewaan apabila janji tidak dipenuhi akan membuatkan anak anda sukar untuk mempercayai anda lagi.

  1. Upah

Apabila anak-anak menginginkan sesuatu, pastinya akan hadir rasa ‘kasihan’ pada diri ibu bapa. Tetapi ada masanya, anda sebagai ibu bapa perlu ‘mengeraskan’ hati anda dan tidak terlalu mengikut rasa kasihan tersebut. Alternatif terbaik, anda mungkin boleh untuk mencuba mengalihkan perhatian si comel anda kepada perkara lain.

  1. Merampas

Si comel yang terlalu manja akan mempunyai satu sikap yang suka merampas barang atau hak milik individu lain. Perbuatan itu akan dilakukan tanpa rasa bersalah dan di hadapan ibu bapanya. Malangnya, tidak puas dengan merampas barangan individu lain, mereka juga mempunyai satu sikap yang tidak puas dengan barangan yang dimiliki. Ini bermaksud apabila sudah memperolehi sesuatu, mereka akan mula mempunyai keinginan terhadap barang lain.

Mengapa kita perlu mengajar anak berdikari?

Ibu bapa kebiasaannya akan sangat menjaga dan melindungi anak-anak mereka lalu menyebabkan mereka tidak membuat banyak kerja rumah. Ini hanya akan menjadikan anak-anak tidak mengetahui asas membuat kerja rumah seperti membasuh pinggan mangkuk selepas makan dan menyapu rumah.

Malangnya, ini akan menyekat peluang anak-anak untuk mempelajari kemahiran yang mereka perlukan untuk berdikari. Sebenarnya, membenarkan mereka mengembangkan potensi sebagai diri mereka adalah keputusan yang sangat penting untuk membolehkan mereka menjadi modal insan yang berguna kelak.

Oleh itu, apabila anda mengasuh seorang anak, pastikan anda mengajar mereka aktiviti asas penjagaan rumah dan kebersihan diri. Biarkan mereka membuat keputusan, walaupun ia adalah kecil dan kurang signifikan kepada anda sebagai ibu bapa.

Bila perlu memulakannya?

Ia sebenarnya perlu bermula seawal usia mereka muda lagi. Malangnya, kebanyakan program latihan mengajar anak berdikari biasanya bermula pada usia mereka 13 hingga 16 tahun. Ia adalah konsep yang sangat salah dan perlu diperbetulkan.

Anak Berdikari, Aspek Penting dalam Kehidupan - mengajar berdikari

Walau bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa yang berpengalaman pula berpendapat bahawa anda perlu menunggu sehingga anak anda mencecah usia remaja terlebih dahulu sebelum menggalakkan mereka untuk berdikari kerana mental seorang kanak-kanak adalah masih belum bersedia.

Apabila anak-anak anda sudah bersedia, anda boleh mula mengajar mereka dengan cara menjadikan diri anda sebagai contoh dan membantu mereka mempelajari kemahiran-kemahiran baharu. Lama-kelamaan, biarkan mereka melakukannya sendiri. Di samping itu, berikan juga tip-tip yang mampu membina diri mereka.

Kemahiran kehidupan, bagaimana memupuknya?

Dari aspek mental, kanak-kanak pada pelbagai usia sudah boleh mula mempelajarinya. Cabarannya adalah untuk menentukan kemahiran itu adalah sesuai atau tidak dengan tahap pemikiran kanak-kanak itu sendiri.

Sebagai contoh, anda boleh meminta anak anda menolong untuk melakukan tugas mencuci pakaian menggunakan mesin basuh. Ya, ia mungkin akan memakan masa yang lebih lama namun meminta mereka menolong anda melakukannya akan memupuk kemahiran itu dalam diri lantas menjadikan mereka lebih cenderung untuk mudah berdikari.

  • Anda boleh mencipta permainan untuk anak anda dengan meminta mereka menolong mengasingkan pakaian berwarna dan pakaian putih.
  • Selepas pakaian tersebut diasingkan, arahkan mereka untuk memasukkannya ke dalam mesin basuh dan ajar mereka bagaimana untuk menggunakannya. Jika anak anda mempunyai abang atau kakak, minta mereka menolong adik kesayangan mereka.

Kemahiran yang perlu difokuskan

Kemahiran kehidupan yang perlu anda ajar kepada anak-anak anda adalah kemahiran ketara dan kemahiran tidak ketara.

  • Kemahiran ketara termasuklah aktiviti yang mudah dilakukan seperti memasak, mencuci pakaian dan mengurus duit.
  • Kemahiran tidak ketara pula termasuklah pembinaan karakter anak anda yang akan matang mengikut usia seperti kemahiran penyelesaian masalah, pengurusan masa dan kemahiran sosial.

Kedua-dua kemahiran ini adalah penting untuk anak anda berjaya dewasa kelak. Disebabkan itu, sangat penting untuk anda mula ajar anak berdikari pada awal usia mereka lagi

Selain itu, ajar anak anda untuk:

  • Memakai pakaian
  • Membasuh tangan
  • Mencuci muka
  • Memberus gigi
  • Mengelap hingus
  • Menyikat rambut

Anda juga perlu mengajar anak anda untuk berurusan dengan individu yang tidak dikenali. Berikut merupakan nasihat yang anda boleh ajarkan kepada mereka:

  • Sentiasa berhati-hati sepanjang masa
  • Jangan terima apa-apa pemberian daripada individu tidak dikenali
  • Jangan bercakap dengan individu tidak dikenali
  • Berhat-hati ketika berada di tempat yang baharu

Tip anak lebih berdikari

  1. Masa

Sebagai ibu bapa, kita cenderung untuk mempunyai keinginan agar setiap perkara dilakukan dan diselesaikan dengan pantas. Namun, perkara tersebut sebenarnya sukar untuk berlaku apabila ia melibatkan si kecil yang mungkin berkeinginan untuk membantu atau melaksanakan perkara tersebut untuk kita. Kerap kali apabila kita hilang kesabaran, kita akan menyuruh mereka untuk melakukan perkara tersebut dengan segera. Perkataan ‘cepat, cepat, cepat’ yang mungkin disebut berulang kali mungkin akan meruntunkan hati dan emosi si kecil yang berniat untuk membantu kita dan merasakan bahawa kita sebagai ibu bapa tidak memberikan kepercayaan kepada mereka untuk melakukan perkara tersebut.

Jika anda ingin memberikan si kecil anda peluang untuk melakukan sesuatu perkara tetapi risau tidak cukup masa atau terlewat, anda mungkin boleh melakukan perkara tersebut lebih awal. Berikan peluang dan masa untuk si kecil anda belajar melakukannya dengan kemampuan yang mereka miliki.

Anak Berdikari, Aspek Penting dalam Kehidupan - buat sendiri

  1. Lakukan sendiri

Untuk mengajar si kecil anda berdikari, perkara paling penting adalah untuk membiarkan dia mempunyai keinginan secara sendiri untuk mencuba dan melakukan sesuatu perkara. Jangan memaksa si kecil melakukan sesuatu yang mungkin tidak dia ingini dan jangan terlalu cepat memberikan pertolongan selagi tidak diperlukan.

Untuk permulaan, anda sebagai ibu bapa mungkin boleh menunjukkan cara-cara dan kaedah untuk melakukannya terlebih dahulu. Kemudian anda boleh membiarkan si kecil untuk melakukannya sendiri. Berikan kepercayaan anda kepadanya tetapi dalam masa yang sama pantau keadaan dengan sebaiknya. Anak kecil akan dapat belajar mengenai kesan dan akibat daripada setiap perbuatan mereka.

  1. Arahan

Memberikan arahan kepada si kecil dalam proses membantu dan mendidik mereka untuk menjadi berdikari adalah tidak salah. Anda boleh membantunya dengan memberitahunya langkah demi langkah untuk menyelesaikan sesuatu perkara agar anak anda akan lebih memahami dan dapat belajar dengan lebih baik. Berikan arahan yang spesifik, jelas dan sebaiknya mudah untuk difahami. Elakkan untuk memberikan arahan yang meleret dan panjang yang mungkin akan menyebabkan kekeliruan kepada si kecil anda dan akhirnya membuatkannya merasa sukar untuk melakukan sesuatu perkara secara sendiri dan berputus asa.

  1. Pilihan

Hidup sentiasa penuh dengan pilihan. Jika kita sebagai individu dewasa juga menginginkan pilihan dalam hidup, pastinya si kecil juga mahukan peluang untuk membuat pilihan selagi pilihan yang diingininya itu tidak mendatangkan sebarang kemudaratan dan bahaya kepada dirinya.

Sebagai permulaan, anda boleh memberikan si kecil anda pilihan dan membuat keputusan mengenai pakaian yang ingin dipakainya, mengenai buku yang ingin dibaca atau memilih permainan yang ingin dimainnya. Anda boleh membantunya untuk membuat pilihan agar mereka dapat membuat pilihan terbaik. Apabila mereka sudah membuat sebarang keputusan, terima keputusan yang dibuat mereka agar timbul rasa dalam hati mereka bahawa keputusan yang mereka pilih adalah penting. Ia bukan sahaja dapat mengajar mereka bagaimana untuk membuat sebarang keputusan, tetapi dalam masa yang sama ia juga dapat meningkatkan keyakinan diri mereka.

  1. Sempurna

Kesempurnaan pastinya adalah sesuatu yang mustahil atau sukar untuk diperolehi terutamanya jika si kecil anda baru mula belajar untuk melakukan sesuatu perkara. Malahan berdikari itu sendiri satu proses pembelajaran yang panjang dan tidak akan terhenti. Oleh kerana ini, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak mengharapkan kesempurnaan dalam sesuatu perkara yang dilakukan anak-anak. Ini kerana pengharapan seperti ini hanya akan mendatangkan tekanan kepada anak-anak dan mungkin akan menyebabkan kekecewaan pada ibu bapa itu sendiri. Melakukan kesilapan bermakna satu proses pembelajaran bagi anak-anak.

Berdikari memupuk keyakinan diri

  • Berdikari bermaksud seseorang individu itu akan mempunyai kebolehan dan kesanggupan untuk melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada individu lain.
  • Individu yang mempunyai sifat berdikari akan mampu untuk melaksanakan sesuatu tugasan dan tanggungjawab secara sendiri.
  • Keupayaan untuk melaksanakan sesuatu tugasan dan tanggungjawab adalah bergantung kepada keyakinan diri.
  • Kebolehan untuk melaksanakan sesuatu tugasan tanpa bantuan individu lain akan memberi peluang kepada seseorang individu untuk memperkembangkan potensi dan keyakinan pada diri.
  • Seseorang individu dianggap mampu untuk berdikari apabila mampu untuk membuat keputusan sendiri dan sanggup menerima segala akibat tanpa bergantung kepada ibu bapa atau individu lain.
  • Kebolehan untuk seseorang individu melakukan sesuatu tugasan dan perkara tanpa bantuan individu lain adalah bergantung kepada peringkat usia, kematangan fizikal dan mental seseorang.
  • Seorang kanak-kanak yang telah biasa dilatih, digalakkan dan diajar untuk melakukan sesuatu secara sendiri sejak kecil akan berdikari lebih awal serta bertanggungjawab dan menjadi lebih baik daripada kanak-kanak yang kerap dimanjakan.

Tip mengajar anak menjadi bertanggungjawab

  • Mulai sedari kecil

Untuk mengajar tentang tanggungjawab, seharusnya ia dimulakan secepat yang mungkin. Sebaiknya diajar ketika anak-anak masih kecil. Jangan terlalu memanjakan mereka dan hanya berfikir untuk mendidik mereka soal tanggungjawab apabila mereka sudah remaja. Meletakkan bebanan tanggungjawab ke atas seorang individu remaja yang tidak pernah mengenali apa itu tanggungjawab sedari kecil atas satu kesilapan besar.

Anak Berdikari, Aspek Penting dalam Kehidupan - pupuk keyakinan diri

  • Ajari anak-anak

Pertama sekali, ajari anak-anak anda untuk melakukan satu tugasan mudah. Jika mereka mahukan snek, tunjukkan di mana letaknya buah-buahan dan bagaimana mencucinya. Sekiranya mereka membuang pakaian kotor di lantai, berikan bakul pakaian supaya mereka tahu di mana seharusnya dimasukkan pakaian kotor. Ajarkan tugasan yang bersesuaian dengan usia mereka.

  • Biarkan anak-anak membantu

Jangan melakukan kerja rumah sendirian. Ajak anak-anak untuk turut membantu, walaupun mereka melakukan dengan perlahan dan kekok. Dalam masa yang sama, gunakan masa terluang ini untuk memberikan nasihat berguna yang dapat membantu mereka berdepan dunia nyata.

  • Berikan pujian

Anak-anak kecil gemar melakukan sesuatu yang baru. Mereka turut ingin membuat sama seperti apa yang anda sedang lakukan. Mereka mahu membantu. Bagi mereka, tugasan rumah adalah lebih kepada bermain. Berikan pujian kepada mereka. Pastikan ia adalah pujian yang spesifik, dan bukan sekadar berkata, “Kerja yang bagus”. Beritahu mereka apa yang telah mereka lakukan dengan baik dan betul melalui pemilihan kata-kata yang lebih bermakna.

  • Jangan beri ganjaran

Jangan biasakan anak-anak untuk mendapat ganjaran atas setiap perkara yang dilakukan. Memberikan ganjaran akan membuatkan mereka merasakan mungkin terfikir bahawa mereka dibayar untuk menjadi seorang individu yang bertanggungjawab. Ini berkemungkinan besar ia akan menjadi satu tabiat untuk mereka mengharapkan ganjaran bagi setiap apa yang dilakukan. Jika anda masih ingin memberikan sesuatu sebagai ucapan terima kasih, berikannya ketika ia tidak berkaitan dengan perkara yang menjadi tanggungjawab mereka.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan