backup og meta

Jangan Terkejut! Udara Kotor Di Luar Buat Rambut Anda Mudah Gugur!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/06/2022

    Jangan Terkejut! Udara Kotor Di Luar Buat Rambut Anda Mudah Gugur!

    Jika anda sering bersenam di kawasan rekreasi seperti sekitar tasik atau hutan rekreasi, mungkin ia bukanlah satu isu yang kami ingin ketengahkan. Tetapi jika anda adalah salah seorang yang sering bersenam di kawasan bandar yang sibuk atau di tepi-tepi jalan, anda mungkin perlu membaca pendedahan yang kami sediakan ini. Ia berkenaan udara kotor dan kesannya membuatkan rambut mudah gugur.

    Zarah pencemar buat rambut mudah gugur

    rambut mudah gugur

    Sekumpulan penyelidik dari Korea Selatan mencadangkan agar lebih baik untuk kita bersenam secara indoor berbanding outdoor. Ini kerana ia ada kaitannya sebagai penyebab rambut gugur.

    Mengapa? Ini selepas kumpulan penyelidik ini mengkaji kesan bahan zarah atau partikel bahan pencemar yang terhasil daripada pelbagai sumber antaranya bahan bakar kenderaan dan pembakaran kayu.

    Apa yang mengejutkan, apabila saintis ini mendedahkan sel folikel rambut manusia kepada bahan zarah melalui ujian di dalam makmal, mereka mendapati zarah tersebut telah mengurangkan tahap protein folikel rambut yang berfungsi untuk pertumbuhan rambut. Ia kemudiannya menjadikan rambut mudah gugur.

    Para pengkaji ini telah membentangkan hasil kajian mereka di European Academy of Dermatology and Venereology Congress di Madrid, Sepanyol. Mereka menyatakan, salah satu cara untuk mengurangkan kejadian rambut mudah gugur adalah dengan cara mengurangkan aktiviti bersenam di tepi-tepi jalan yang sibuk. 

    Bukan hanya rambut mudah gugur sahaja, tapi udara tercemar penyumbang penyakit kronik

    rambut mudah gugur

    Selain itu, banyak kajian lain juga telah mendapati bahawa kualiti udara yang teruk turut menyumbang kepada tahap kesihatan yang lebih membimbangkan dan serius. Ia bukan sahaja berkenaan soal rambut gugur, tetapi keadaan kesihatan yang jauh lebih serius daripada itu.

    Menurut Profesor Ian Colbeck dari University of Essex, United Kingdom, kualiti udara yang teruk berkait rapat dengan peningkatan kes-kes asma, bronkitis yang kronik, penyakit jantung kronik, strok dan dementia. 

    Selain itu, Harriet Edwards, yang berkhidmat di British Lung Association turut menyatakan, pencemaran udara turut meningkatkan risiko kes kanser paru-paru dan boleh membantutkan perkembangan paru-paru kanak-kanak.

    Pencemaran udara juga telah dikaitkan dengan 36,000 kematian dalam tempoh setahun di United Kingdom berdasarkan kajian yang dilakukan pada tahun 2018 oleh King’s College London.

    Menurut Dr. Audrey de Nazelle, pensyarah pengurusan pencemaran udara di Imperial College London, senaman boleh mengimbangi kesan berbahaya yang disebabkan oleh pencemaran dengan cara mengurangkan keradangan yang disebabkan olehnya dan meningkatkan sistem imun.

    Walau bagaimanapun, jika kita bersenam, kadar pernafasan kita akan meningkat, dan ini menyebabkan kita menghirup lebih banyak udara yang tercemar ke dalam paru-paru. 

    Adakah bermakna lebih baik untuk saya bersenam secara indoor?

    rambut mudah gugur

    Bagi mereka yang mempunyai masalah berkaitan paru-paru seperti penyakit pulmonari obstruktif kronik atau COPD, jawapannya adalah ya terutamanya jika tahap pencemaran udara luar semakin meningkat.

    Menurut Harriet Edwards, bernafas dalam udara yang kotor boleh menyebabkan simptom seperti iritasi pada laluan udara, rasa sesak nafas dan batuk-batuk.

    Terdapat juga kes yang lebih teruk apabila seseorang yang mempunyai masalah berkaitan paru-paru dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan akibat pendedahan terhadap udara yang tercemar.

    Menurut Profesor Colbeck pula, kesemua individu perlu menghadkan tempoh aktiviti senaman di luar rumah apabila tahap pencemaran udara berada pada kadar yang tinggi untuk mengelakkan sebarang risiko terhadap kesihatan.

    Kesimpulan

    Bagi mereka yang kerap bersenam di luar, pastikan tahap udara kekal pada ukuran yang selamat sebelum anda memulakan rutin senaman anda.

    Jika berlaku sebarang bencana seperti jerebu, adalah lebih baik untuk anda bersenam secara indoor sahaja. Jangan sesekali membawa kanak-kanak kecil keluar rumah dengan kerap kerana kanak-kanak adalah antara golongan yang mudah terjejas akibat daripada hirupan udara yang kotor dan tercemar.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan