Mengapa Anda Perlu Elakkan Makanan Tambahan Tinggi Steroid

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kebelakangan ini, terdapat banyak produk makanan tambahan dan juga jamu yang telah diharamkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Produk-produk ini mengandungi pelbagai bahan terlarang seperti raksa dan juga steroid. Persoalannya, mengapa anda perlu menjauhkan diri daripada makanan tambahan tinggi steroid?

Peranan steroid dalam badan

Dalam badan, steroid adalah satu kumpulan hormon yang dirembeskan oleh kelenjar adrenal dan juga kelenjar organ reproduktif. Antara hormon steroid yang dihasilkan secara semula jadi dalam badan adalah kortisol, testosteron dan juga aldosteron. Hormon-hormon steroid ini memainkan peranan penting dalam pelbagai proses seperti melawan keradangan, mengekalkan kemandirian organ reproduktif, nafsu syahwat, tumbesaran otot, metabolisma glukosa dan juga kawalan tekanan darah. Seperti hormon lain dalam badan, rembesan hormon-hormon steroid dikawal oleh paksi hipotalamus-pituitari dan berubah sepanjang hari mengikut rentak sikardian. Ini memastikan paras hormon-hormon steroid adalah sesuai dengan situasi dan keadaan badan (homeostasis).

Bagi tujuan perubatan, terdapat beberapa steroid sintetik yang dihasilkan untuk memberi kesan yang seakan sama dengan steroid semula jadi. Steroid sintetik ini digunakan untuk merawat pelbagai keadaan kesihatan seperti masalah tumbesaran terbantut, hipogonadisma dalam lelaki, masalah libido dan juga osteoporosis. Contoh steroid semula jadi dan analog sintetik mereka adalah seperti berikut:

  1. Glukokotikoid: dexamethasone
  2. Mineralokortikoid: fludrocortisone
  3. Androgen: nandrolone 
  4. Estrogen: diethylstilbestrol (DES)
  5. Progestin: danazol

Penyalahgunaan steroid

Penggunaan steroid sintetik adalah sesuatu yang terkawal kerana kesan perubahan paras steroid dalam badan boleh mengakibatkan tindak balas yang sistemik. Namun yang demikian, terdapat juga beberapa pihak yang menyalahgunakan steroid untuk tujuan tertentu. Ahli bina badan misalnya, banyak menggunakan steroid anabolik bagi menggalakkan tumbesaran otot. Selain ahli bina badan, peniaga dan pengasas produk makanan tambahan pun tidak terlepas daripada menggunakan steroid dalam produk mereka. Steroid sintetik utama yang terdapat dalam produk-produk ini adalah dexamethasone.

Produk makanan tambahan yang tinggi steroid lazimnya dipasarkan sebagai produk untuk sakit sendi dan juga untuk kesihatan badan warga emas. Ramai pengguna produk-produk ini mengakui bahawa ia membantu mereka untuk mengatasi masalah sakit sendi, artritis dan juga rasa tidak sedap badan. Disebabkan kandungan steroid dalam produk-produk ini tidak dinyatakan, pengguna cenderung untuk percaya bahawa keberkesanan makanan tambahan tersebut datangnya daripada unsur buah-buahan semula jadi dan makanan ‘sunnah’ yang dicampur. Hakikatnya, kesan tersebut semuanya datang daripada campuran steroid dexamethasone yang tinggi. 

Kesan jangka panjang pengambilan produk tinggi steroid

Dengan masa, pengambilan steroid yang tinggi ini boleh menyebabkan pengguna cenderung untuk mengalami satu komplikasi yang khusus – sindrom Cushing. Sindrom cushing terjadi apabila seseorang itu mengambil produk tinggi steroid jenis glukokortikoid, dalam masa yang lama. Seperti yang disebut di bahagian awal, rembesan hormon steroid daripada kelenjar adrenal dikawal rapi oleh paksi hipotalamus-pituitari. Jika kandungan hormon steroid adrenal terus tinggi dalam darah, ini akan menghalang stimulasi kelenjar adrenal untuk menghasilkan hormon-hormon adrenal yang lain. Ini akan menyebabkan beberapa simptom sindrom Cushing seperti:

  1. Naik berat badan, khususnya di bahagian muka, abdomen dan bahu
  2. Pengumpulan lemak pada bahagian tulang kalvikel
  3. Berpeluh berlebihan
  4. Kulit semakin menipis (wujudnya garisan ungu yang disebut sebagai purple striae)
  5. Mudah untuk mengalami lebam pada kulit
  6. Kelemahan otot proksimal
  7. Tumbuh bulu sekitar wajah (hirsutism)
  8. Kurang libido
  9. Gangguan haid
  10. Ketidaksuburan
  11. Masalah jerawat

Sindrom Cushing juga boleh menyebabkan kerintangan insulin (menyebabkan diabetes), tekanan darah tinggi, peningkatan paras trigliserida, kemurungan, gangguan kognitif dan cenderung untuk menghidap jangkitan fungus.

Apa yang turut berbahaya adalah jika badan seseorang itu telah biasa menerima jumlah steroid yang tinggi, mereka tidak boleh menghentikan pengambilan produk tersebut secara mengejut. Ini akan menyebabkan ketidakcekapan kelenjar adrenal. Apabila seseorang itu sudah mengambil produk tinggi steroid dalam jangka masa yang lama, ini akan menyebabkan fungsi kelenjar adrenal mereka ditekan. Kelenjar adrenal merembeskan beberapa hormon lain yang penting untuk kawalan tekanan darah. 

Dalam bidang perubatan, sekiranya seseorang itu sedang menjalani rawatan steroid yang tinggi untuk jangka masa yang lama, dos steroid tersebut perlu dikurangkan secara perlahanan-perlahan sebelum boleh dihentikan sepenuhnya. Antara penyakit yang memerlukan rawatan steroid seperti ini adalah penyakit asma yang tidak terkawal dan juga pesakit pascatransplantasi organ.

Tuntasnya, pengguna perlu berhati-hati dengan produk yang dijual atas talian. Sentiasa cakna tentang pengumuman yang dibuat oleh pihak KKM dan jauhkan diri anda daripada produk yang tidak mempunyai sebarang kelulusan. Bahan-bahan terlarang dalam produk makanan tambahan ini boleh mendatangkan pelbagai mudarat kepada kesihatan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut