Makanan Laut: Bagaimanakah Ia Menyebabkan Alahan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Kebanyakan individu beranggapan bahawa makanan laut adalah makanan yang mahal dan eksklusif. Lihat sahaja harga satu hidangan lobster di restoran, pasti anda akan terkejut ketika membayar bilnya! Pun begitu, bukan semua makanan laut begitu malahan ada juga yang harganya sangat berpatutan untuk dibeli dan dimakan.

Ada individu yang sangat gemar dengan makanan laut. Sebut sahaja apa nama ikan yang sedap untuk dimakan, pasti mereka dapat menjawabnya dengan huraian yang cukup panjang. Pun begitu, ada juga individu yang mengalami alahan terhadapnya. Benarkah ia mampu menyebabkan alahan? Ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Apa itu makanan laut?

Makanan laut adalah sebarang bentuk hidupan laut yang boleh dijadikan sebagai makanan oleh manusia. Ia termasuklah segala jenis ikan, kerangan, tumbuhan dan hidupan lain yang hidup di dalam laut.

Dari segi sejarahnya, mamalia laut seperti ikan paus dan ikan lumba-lumba telah lama digunakan sebagai sumber makanan pada zaman dahulu. Pun begitu, zaman kini ia sudah tidak dianggap relevan untuk dimakan. Selain itu, kerangan yang sering dijadikan sumber makanan pula adalah termasuk dalam pelbagai spesies ekinoderma, krustasea dan moluska. 

Untuk pengetahuan anda, tumbuhan laut juga sebenarnya boleh dijadikan sumber makanan. Tumbuhan laut yang boleh dimakan seperti rumpai laut dan mikroalga sebenarnya dimakan secara meluas di seantero dunia ini, terutamanya di negara-negara benua Asia seperti Jepun yang banyak menggunakannya di dalam pembuatan makanan tradisinya seperti sushi.

Dalam pada itu lagi, istilah makanan laut itu sendiri sebenarnya adalah lebih luas. Ia boleh diperluaskan lagi kepada organisma sungai yang boleh dimakan oleh manusia. Dalam erti kata yang lain, bukan sahaja hidupan dalam laut, malahan hidupan dalam air tawar atau apa-apa sahaja hidupan akuatik juga boleh dikategorikan sebagai makanan laut.

Makanan laut adalah sumber protein paling penting dalam kebanyakan diet di seluruh dunia, terutamanya di kawasan pantai dan sungai.

Bagaimanakah menangkap hasil laut?

Penangkapan hasil laut kebiasaannya dikenali sebagai aktiviti perikanan atau pemburuan manakala penternakannya dikenali sebagai akuakultur. Penternakannya juga kadangkala bertujuan digunakan sebagai sumber makanan ternakan haiwan laut yang lain. Sesetengahnya akan dijadikan makanan kepada ikan yang dibela di dalam akuarium, atau digunakan untuk memberi makan haiwan peliharaan domestik di rumah, seperti kucing atau anjing.

Ataupun, ia juga boleh dijadikan sebagai sumber makanan atau baja untuk tumbuhan lain. Dengan cara ini, ia secara tidak langsung digunakan untuk menghasilkan makanan tambahan untuk kegunaan manusia. Selain itu, ada daripadanya yang digunakan dalam bidang perubatan dan juga bidang perindustrian. Produk seperti minyak ikan dan tablet spirulina juga diekstrak daripada rumpai laut.

Jadi, selain dijadikan sebagai sumber makanan, ia juga banyak kegunaannya yang lain.

seafood

Alahan makanan laut

Ada individu yang menggemari makanan laut sehingga tidak sah jika dalam sehari itu mereka tidak memakannya. Pun begitu, ada juga individu yang akan sedaya upaya mengelak daripada memakannya kerana mereka mengalami alahan terhadapnya. Persoalannya, adakah ia memang mampu menimbulkan alahan?

Jawapannya adalah ya. Ia juga bukan satu alahan yang aneh atau pelik kerana dianggarkan bahawa 1 peratus daripada populasi manusia menghidapi alahan terhadap makanan laut. Ia lebih biasa terjadi kepada individu yang sudah menjangkau usia remaja dan dewasa berbanding kanak-kanak. Dalam kebanyakan kes, 20 peratus daripada golongan ini akan mula menunjukkan simptom-simptom ini seiring dengan perjalanan usia.  Ia juga sangat biasa terjadi kepada individu yang mendiami kawasan yang menjadikan makanan laut sebagai diet utama mereka seperti di Asia dan Scandinavia.

Apakah simptom-simptomnya?

Kebanyakan reaksi alahan terhadap makanan laut adalah ringan, namun juga boleh menjadi teruk jika tidak dirawat dengan kadar segera. Jika berlaku, ia akan menyebabkan ruam pada badan (urticaria), bengkak pada badan (angioedema) dan/atau sakit perut (diarrhoea).

Selain itu, ia juga akan menyebabkan sakit pada tekak dan kerongkong. Lebih berbahaya, ia juga akan mengakibatkan masalah pernafasan dan penurunan tekanan darah secara drastik. Kondisi ini dikenali sebagai anaphylaxis dan boleh mendatangkan maut jika tidak dirawat dengan kadar segera. 

Apakah yang menyebabkannya?

Kebanyakan kita mempercayai bahawa jika ada individu yang mengalami alahan terhadap makanan laut, ia adalah disebabkan oleh iodin. Sebenarnya, ia bukan begitu. Alahan ini terjadi disebabkan oleh kandungan protein yang terdapat di dalam makanan laut tersebut. Mereka yang mengalami alahan makanan laut tidak berisiko mengalami reaksi sepertimana individu yang mengalami alahan iodin (seperti alahan terhadap antiseptik Betadine dan Povidine). Begitu juga sebaliknya.

Kumpulan makanan laut yang boleh mengakibatkan alahan:

  • Vertebra (yang mempunyai tulang belakang)

Ia terdiri daripada pelbagai jenis ikan termasuklah ikan bilis, salmon, kod, makerel, trout, haddock, sardin, tuna, belut, John Dorry dan lain-lain.

  • Invertebra (yang tidak mempunyai tulang belakang)

Ia terdiri daripada kerangan dan mempunyai dua jenis. Pertama, jenis krustasea termasuklah udang, ketam, lobster dan yabbies. Kedua, jenis moluska termasuklah tiram, kerang, sotong, abalone, calamari dan lain-lain.

Walaupun kedua-dua ikan dan kerangan adalah hidupan akuatik yang hidup di tempat yang sama, alergen protein antara keduanya adalah berbeza antara satu sama lain. Ini bermakna seseorang individu itu mungkin akan mengalami alahan terhadap satu jenis hidupan sahaja.

Kebiasaannya, mereka yang mengalami alahan kepada satu jenis ikan turut mengalami reaksi yang sama terhadap ikan yang lain. Begitu juga halnya dengan mereka yang mengalami alahan terhadap kerangan.

Jadi, apa yang anda boleh lakukan jika anda adalah salah seorang daripada mereka yang mengalami alahan terhadap makanan laut adalah cuba elakkan memakan makanan-makanan ini secara total.

Adakah ia disebabkan oleh keturunan?

Ada kepercayaan mendakwa bahawa ia adalah disebabkan keturunan. Adakah ia fakta atau mitos?

Kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai alahan terhadap sesuatu jenis makanan tidak semestinya mempunyai ibu bapa dengan masalah yang sama. Maksudnya di sini adalah ia bukan berlaku atas faktor keturunan semata-mata.

Pun begitu, jika dalam satu keluarga itu ada anak anda yang mempunyai sesuatu jenis alahan makanan, kemungkinan untuk adik-beradik mereka turut mempunyai masalah yang sama adalah lebih tinggi.

Jika anda pernah menjalankan ujian perubatan terhadap anak yang disyaki mempunyai masalah ini dan keputusannya adalah negatif, jangan terlalu yakin dan selesa. Ini kerana masalah alahan makanan ini mungkin akan muncul seiring dengan usia mereka. Jika keputusannya positif pula, kadangkala ia juga boleh jadi kurang tepat atau relevan. Istilahnya yang lebih tepat adalah ‘false positive’.

Jadi, cuba perhatikan terlebih dahulu sama ada anak anda benar-benar mengalaminya dengan melihat jika terdapat sebarang perubahan ketika makan sesuatu jenis makanan.

Lakukan ujian alahan makanan

Jika anda risau masalah ini berlaku kepada anda atau anak anda, segera berjumpa doktor untuk lakukan diagnosis. Pertama sekali, doktor anda bertanyakan kepada anda beberapa soalan penting untuk merungkai apa sebenarnya punca alahan itu sama ada makanan, ubatan atau terdedah terhadap gigitan serangga.

Pendekatan ini juga akan menepikan segala kondisi yang seringkali disalah ertikan sebagai alahan makanan. Ujian alahan terhadap kulit dan darah atau IgE spesifik akan membantu memastikan punca sebenarnya. Walaupun begitu, anda tidak boleh bergantung 100 peratus terhadap keputusannya dan sama ada ringan atau teruk. 

Selain itu, agak penting juga untuk anda mencuba setiap spesies makanan laut untuk ujian kulit dan darah. Dengan ini, anda mungkin akan dapat tahu lebih tepat dan terperinci mengenai spesies mana yang akan menyebabkan alahan kepada anda.

Apa yang anda boleh lakukan?

Sekiranya ujian alahan makanan yang anda lakukan itu positif terhadap makanan laut, maka anda perlu lakukan beberapa perkara untuk mengelakkan alahan itu menjadi lebih teruk dan menjejaskan kesihatan anda.

Paling penting, cuba untuk elak dari terdedah makanan laut secara total, walaupun ia agak sukar. Pendedahan secara tidak sengaja lebih mudah berlaku jika anda makan di luar, terutamanya di restoran yang menunya banyak menghidangkan hidupan akuatik sebagai sajian utama.

Apa yang anda boleh lakukan adalah elakkan perkara-perkara berikut:

  • Segala piring, pinggan atau mangkuk yang menghidangkan makanan laut
  • Makanan yang berasal dari benua Asia kerana ia banyak menggunakan kerangan sebagai bahan penambah perasa
  • Makanan yang dimasak bersama makanan laut dalam kuali dengan minyak yang sama.
  • Makanan yang dijual di kedai yang ada menghidangkan pelbagai makanan laut
  • Piza komersial kerana proses pembuatannya mungkin telah tercampur dengan bahan yang boleh mendatangkan alahan
  • Barbeku yang menghidangkan campuran makanan darat dan laut
  • Salad caesar dan sos worcestershire kerana ia mengandungi bahan yang boleh mendatangkan alahan
  • Bir dan wain kerana ia mungkin mengandungi bahan yang diperbuat daripada organ dalaman ikan

Sebaiknya, anda perlu berjumpa dengan doktor atau pakar perubatan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan dengan lebih lanjut. 

keselamatan makanan

Merkuri dalam makanan laut berbahaya?

Kebiasaannya, merkuri ditemui dalam produk kecantikan kulit wajah wanita. Pun begitu, tahukah anda bahawa merkuri juga boleh sebenarnya ada dalam makanan laut?

Bagi kebanyakan individu, tahap merkuri yang terkandung dalam ikan dan kerang-kerangan bukanlah satu kebimbangan kesihatan memandangkan makanan laut secara umumnya adalah makanan yang sihat. 

Pengambilannya mengikut kuantiti yang sesuai setiap hari akan menyediakan anda dengan protein berkualiti tinggi dan nutrien serta mineral penting lain. Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa makanan laut adalah rendah lemak tepu dan tinggi asid lemak omega-3.

Namun begitu, pengambilannya yang terlalu banyak pula akan menyebabkan tahap merkuri yang tinggi dalam badan. Ia sangat berbahaya buat janin atau kanak-kanak kerana tahap merkuri yang tinggi boleh merosakkan otak dan sistem saraf mereka.

Dalam kebimbangan mengenai merkuri yang terkandung dalam ikan, Food and Drug Administration (FDA) dan Environmental Protection Agency (EPA) menyarankan bakal ibu, wanita hamil, ibu menyusu, dan kanak-kanak harus mengehadkan pengambilan makanan laut mereka. 

minyak ikan

Wanita hamil & diet sesuai

Pengambilan diet yang seimbang sangat penting dalam kehidupan seharian terutamanya ketika anda sedang hamil. Terdapat beberapa jenis makanan yang tidak disarankan oleh pakar nutrisi untuk dimakan termasuklah makanan laut. Secara amnya, ia adalah sihat dan selamat untuk dimakan. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui terlebih dahulu.

Mengapa wanita hamil memerlukan pengambilan ikan?

Wanita hamil perlu mengambil sekurang-kurangnya 200 hingga 350 gram ikan dalam masa seminggu. Ini kerana ia merupakan makanan yang penting kerana ia kaya dengan protein, zat besi dan omega 3. Wanita hamil yang tidak mempunyai apa-apa komplikasi kesihatan perlu mengambil sekurang-kurangnya 27 mg zat besi setiap hari untuk mengelakkan anemia

Selain itu, wanita hamil juga perlu mengambil 71 gram protein setiap hari untuk memastikan tumbesaran bayi yang sihat. Ikan juga kaya dengan asid lemak omega-3 yang penting untuk otak dan sistem saraf bayi anda. Asid lemak ini mampu membantu mengelakkan bayi pramatang, bayi kurang berat ketika lahir serta mengurangkan risiko praeklampsia.

Apakah jenis ikan yang patut dielakkan?

  • Ikan yang mengandungi merkuri tinggi

Merkuri merupakan bahan toksik yang boleh ditemui dalam beberapa jenis ikan seperti ikan kembung. Wanita hamil yang makan ikan mengandungi kadar merkuri tinggi berisiko merosakkan otak bayi dan tumbesaran mereka. Ikan tuna mempunyai amaun merkuri yang sedikit berbanding ikan yang lain dan selamat untuk dimakan oleh wanita hamil. Namun langkah pencegahan harus dibuat dan pengambilan ikan yang mempunyai kandungan merkuri tidak disyorkan untuk dimakan oleh wanita hamil.

  • Ikan yang disalai

Ikan yang disalai tidak seharusnya ada dalam diet wanita hamil kerana boleh meningkatkan risiko listeria. Lebih selamat jika anda makan makanan laut dalam tin. Namun harus diingatkan bahawa makanan laut dalam tin tersebut perlu dipastikan untuk dimasak dengan secukupnya sebelum dimakan oleh wanita hamil.

  • Ikan yang tercemar

Ikan yang tercemar akibat persekitaran habitat mereka mempunyai kandungan polychlorinated biphenyls (PCBs) yang tinggi. Anda perlu memeriksa dan memastikan ikan sungai atau tasik seperti ikan pike dan ikan salmon yang ingin dimakan bebas daripada persekitaran yang tercemar sebelum membeli dan memakannya.

Bukan sahaja buat wanita hamil, merkuri juga sebenarnya sangat berbahaya kepada semua individu tidak kira jantina atau usia. Oleh itu, cuba kurangkan pengambilan makanan laut. Persoalannya, bagaimana kita boleh menukar tabiat pemakanan kita untuk mengurangkan pendedahan kepada merkuri yang terdapat dalam makanan laut?

Anda boleh mengikuti nasihat berikut untuk mengelakkan pengambilan atau pendedahan tinggi kepada merkuri dalam amalan pemakanan anda:

  • Jangan makan ikan jerung, ikan merah, ikan todak, ikan kembung kerana jenis ikan ini banyak mengandungi merkuri.
  • Jika anda suka makanan laut tetapi tidak mahu mengambil terlalu banyak merkuri, anda boleh memilih tuna dalam tin, ikan keli atau udang. Ini adalah makanan laut yang rendah merkuri.
  • Tuna putih lebih banyak merkuri berbanding tuna dalam tin, oleh itu berhati-hati apabila memilih jenis tuna.
  • Rujuk dengan penasihat tempatan tentang keselamatan ikan yang ditangkap oleh rakan-rakan atau keluarga daripada kawasan pantai tempatan anda seperti tasik atau sungai.

Secara umumnya, makanan laut bermanfaat untuk kesihatan anda. Walau bagaimanapun, terdapat kumpulan yang disarankan untuk mengelakkan pengambilan makanan yang mengandungi merkuri. Oleh itu, awasi keadaan kesihatan dan diet anda dan untuk sebarang komplikasi.

Konklusi

Konklusinya, makanan laut sememangnya sedap dan menjadi kegilaan ramai. Pun begitu, ada beberapa golongan yang perlu berhati-hati dengannya. Golongan tersebut adalah golongan yang mempunyai alahan terhadap makanan laut serta golongan wanita hamil. Ini kerana makanan ini akan memudaratkan kesihatan anda sendiri.

Persoalannya, bagaimana untuk mengetahui jika anda ada mengalami alahan ini? Jawapannya, lakukan ujian alahan makanan. Apapun keputusannya, anda masih perlu berhati-hati dan lihat setiap reaksi dan tindak balas sesuatu makanan terhadap tubuh badan anda. Jika berlaku apa-apa, dapatkan bantuan doktor dengan kadar segera.

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda mengenal dengan lebih dalam lagi mengenai makanan laut dan alahan yang disebabkan olehnya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Ogos 18, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Januari 7, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut