Berus Gigi 2x Sehari Tak Cukup! Lakukan Lebih Kerap Jika Tak Nak Jadi Begini!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Cuba anda kira, berapa kalikah anda memberus gigi dalam sehari. Katakanlah anda memberus gigi setiap kali waktu mandi, sekurang-kurangnya anda mungkin akan melakukan tabiat ini sebanyak 2 kali sehari. Adakah anda rasa kekerapan memberus gigi itu sudah cukup baik?

Berus gigi 3 kali sehari atau lebih

Tahukah anda, satu kajian ada menyatakan bahawa individu yang memberus gigi sekurang-kurangnya 3 kali sehari atau lebih akan kurang cenderung untuk mendapat diabetes?

Ini adalah berdasarkan kajian yang dijalankan kepada hampir 190,000 individu di Korea Selatan bagi melihat kepada kebersihan mulut.

Selepas melakukan kajian susulan selama 10 tahun, 16% daripada jumlah peserta kajian tersebut didapati mempunyai penyakit diabetes, dan jumlah yang sama juga turut mempunyai penyakit gusi. 

Mereka yang berumur bawah daripada 51 tahun yang memberus gigi melebihi 2 kali dalam sehari, mempunyai 14% risiko yang lebih rendah untuk mendapat penyakit diabetes.

Para penyelidik menyatakan, keradangan pada gusi memainkan peranan yang signifikan dalam menyumbang kepada penyakit diabetes.

Bukan itu sahaja, penyakit gusi juga telah dikaitkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan lain termasuklah strok dan penyakit jantung. Walau bagaimanapun, penyebabnya masih kurang jelas. 

Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit gusi?

memberus gigi

Penyakit gusi adalah satu jangkitan yang berlaku pada tisu yang menyokong gigi dalam mulut anda. Ia biasanya disebabkan oleh bakteria yang berpunca daripada plak yang terkumpul pada gigi dan gusi anda.

Bagi individu yang mudah terdedah kepada penyakit gusi, tubuh badan mereka akan memberikan reaksi secara berlebihan terhadap bakteria di sekitar gusi, lalu menyebabkan terlalu banyak keradangan berlaku. 

Faktor risiko bagi penyakit gusi ini termasuklah genetik, merokok, keadaan gigi yang tidak teratur, stres, keadaan hormon yang tidak seimbang, kesan ubat-ubatan dan juga diet yang tidak sihat. 

Apabila berlakunya keradangan pada gusi secara keterlaluan, ia juga akan menjejaskan aliran darah anda.

Faktor inilah yang dipercayai menyebabkan saluran darah yang berada pada jantung dan otak mengalami kerosakan secara perlahan-lahan. 

Lagi banyak anda memberus gigi, lagi kurang risiko mendapat diabetes

Pada permulaan kajian tersebut, 17.5% daripada peserta kajian didapati mempunyai penyakit periodontal, iaitu keradangan pada gusi yang terjadi sebelum berlakunya penyakit gusi. Ia biasanya disebabkan oleh kurangnya aktiviti memberus gigi

Selepas pemerhatian susulan dilakukan dalam tempoh 10 tahun, mereka yang mempunyai penyakit periodontal ini disahkan mempunyai 9% kecenderungan untuk mempunyai diabetes! Manakala bagi mereka yang kehilangan sekurang-kurangnya 15 batang gigi, risiko yang dimiliki mereka untuk mendapat diabetes adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 21%.

Orang muda kurang berisiko mendapat diabetes jika kerap berus gigi

memberus gigi

Kajian turut mendapati, apabila mereka melihat kepada perbezaan antara kumpulan umur, mereka yang berumur 51 tahun dan ke bawah lebih kurang cenderung untuk mendapat diabetes sekiranya mereka memberus gigi dengan lebih kerap.

Manakala jika dibandingkan antara kaum lelaki dan perempuan, kaum perempuan lebih kurang mengalami risiko untuk mendapat diabetes disebabkan oleh lebih kerap memberus gigi. 

Faktor kemungkinan terjadinya hubungan antara kesihatan gigi dan peningkatan risiko diabetes

Walaupun kajian tidak mendedahkan sebab yang jelas berkenaan kesihatan mulut dan juga pembangunan diabetes, berkemungkinan faktor pereputan gigi seperti kaviti dan karies menyumbang kepada berlakunya keradangan yang kronik. Apatah lagi jika pereputan gigi yang berlaku itu semakin memburuk.

Apabila pereputan gigi berlaku, ia mungkin akan meningkatkan penghasilan dan peredaran biomarker keradangan. Apa kesan daripada peningkatan biomarker keradangan ini? Banyak kajian telah menunjukkan bahawa biomarker ini dikaitkan dengan rintangan insulin dan juga pembangunan penyakit diabetes

Apa yang boleh anda lakukan mulai hari ini?

memberus gigi

Pengarang kajian ada menyebut, “Kewujudan penyakit periodontal dan peningkatan jumlah gigi yang hilang mungkin menjadi faktor tambahan bagi kewujudan kes baharu diabetes. Meningkatkan kebersihan mulut boleh dikaitkan dengan penurunan risiko berlakunya kes diabetes yang baharu.”

Oleh itu, dapatlah difahami bahawa, jika individu lebih kerap memberus gigi dan menjaga kesihatan oral, risiko untuk mengalami diabetes akan semakin berkurangan. Ini disebabkan oleh kurangnya berlaku keradangan pada gigi dan gusi, yang seterusnya mengurangkan kerosakan pada saluran darah anda. Kerap-keraplah memberus gigi selepas ini ya!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga: 

Tarikh Reviu: Mac 8, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 6, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut