1. Sejarah perubatan (history taking)
Ini ialah perkara pertama yang dilakukan oleh seorang doktor apabila menerima pesakit dan ia merupakan langkah paling penting. Malah ia boleh memberikan sehingga 80% maklumat yang diperlukan untuk membuat diagnosis.
Selain aduan atau keluhan utama anda, doktor akan turut bertanya soalan-soalan berkaitan seperti status perkahwinan, simptom lain, tabiat merokok, kitaran haid, dan penyakit yang sama dalam keluarga. Semua ini bertujuan membantu doktor mendapatkan kepastian.
Jika keadaan yang dialami ialah ringan, langkah ini sahaja mungkin sudah cukup untuk mendapat keputusan akhir tanpa perlu melakukan pemeriksaan lain.
2. Pemeriksaan fizikal (physical examination)
Selepas berbual dengan pesakit, doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan fizikal berdasarkan simptom yang disebut oleh pesakit. Selain memeriksa bahagian terbabit, bahagian lain yang berkaitan juga mungkin turut dilihat.
Contohnya, jika pesakit mengadu masalah penglihatan, pemeriksaan mata akan dilakukan. Kalau pesakit yang sama juga diketahui menghidap kencing manis, pemeriksaan kaki juga akan dilakukan kerana komplikasi kaki dan mata kerap berlaku dalam kalangan penghidap diabetes.
Sesetengah pemeriksaan fizikal bersifat lebih peribadi seperti pemeriksaan faraj, payudara, dan dubur. Pengiring atau chaperon diperlukan untuk memastikan pesakit lebih selesa dan mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.