Daripada perkongsian Dr Ibrahim sendiri di laman Twitter, MedTweetMY, terdapat satu kes di mana individu yang menggunakan minyak motor ini akhirnya mendapat lubang besar pada bahagian mukanya kerana tidak mahu berjumpa doktor gigi.
Beliau turut berkongsi mengenai satu mitos yang tular di media mengenai penggunaan pati vanila untuk merawat masalah gigi berlubang. Jelasnya, pati vanila yang dijual di pasaran bukanlah pati yang sebenar. Ia merupakan campuran perasa tiruan dan bahan ini hanya akan memburukkan lagi keadaan gigi anda yang sudah berlubang tersebut.

Minat mendalam dalam pergigian
Bercerita mengenai permulaan kariernya, Dr Ibrahim yang berminat untuk menjadi doktor sejak dari kecil, memberitahu sewaktu pengajiannya, beliau lebih berminat untuk menjadi doktor pergigian kanak-kanak (pediactric dentistry).
Tetapi segalanya berubah sewaktu beliau melakukan latihan Fydoship (first year dental officer) atau kini dikenali sebagai New Dental Officer Programme (NDOP) di Hospital Kuala Lumpur.
Ketika itu beliau perlu mengendalikan kes yang melibatkan pesakit kanak-kanak seperti kemalangan dan penyakit tertentu berkaitan gigi. Situasi itu menimbulkan pelbagai emosi yang sukar digambarkan sewaktu berdepan dengan kes yang serius. Lama-kelamaan, minatnya semakin terarah kepada bidang yang beliau ceburi sekarang.
Ketika diminta berkongsi mengenai pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang melibatkan diri dalam bidang pergigian ini, beliau memberitahu bahawa terdapat satu kes kemalangan serius melibatkan anggota polis.
Sewaktu kejadian, beliau baru sahaja menamatkan pengajiannya dan merupakan surgery dentist yang bertugas. Dr Ibrahim memberitahu suasana pada waktu itu agak kelam kabut bagaikan dalam filem – jika anda pernah menonton drama atau filem di mana lebih daripada seorang doktor melakukan pembedahan kepada pesakit kemalangan – begitulah situasi yang dilalui beliau.
Cabaran dalam bidang pergigian
Beliau menjelaskan, ramai yang menyangka menjadi doktor gigi tidak akan berdepan dengan isu ‘on-call’. Tetapi keadaan sebenarnya adalah berbeza. Ini kerana doktor gigi juga menerima ‘on-call’ berkaitan sebarang kes kemalangan yang melibatkan kecederaan pada bahagian muka dan leher.
Untuk makluman (mungkin boleh dijadikan sebagai info tambahan buat individu yang berminat menjadi doktor pergigian), sepanjang tempoh NDOP, terdapat pelbagai aspek melibatkan pergigian yang perlu anda lalui seperti oral surgeons, dental public health, prosthodontics, orthodontists, endodontists, periodontists dan pelbagai lagi.
Merupakan graduan Fakulti Pergigian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2010, kini Dr Ibrahim juga merupakan ahli majlis bagi Malaysian Association of Aesthetic Dentistry (MAAD).
Ditanya mengapa memilih untuk menjadi doktor Pemulihan dan Estetika Pergigian, Dr Ibrahim yang kini bertugas di iCare Dental Damansara Heights berkata, melalui bidang yang diceburinya sekarang beliau dapat mengubah kehidupan seseorang.
Sebagai contoh, terdapat pesakit beliau yang sebelum ini tidak boleh mengunyah makanan keras seperti kacang sudah mampu makan seperti biasa dan ia secara tidak langsung membantu memperbaiki kehidupan seseorang individu.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen