Bekerja setiap hari tanpa wujudnya semangat positif untuk bekerja memungkinkan seseorang individu mempunyai pelbagai tekanan. Berasa bosan mengulangi skop kerja yang sama, tiada semangat untuk bekerja dan tekanan untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah antara perkara biasa yang dialami oleh seseorang individu di tempat kerja. Perkara-perkara ini memungkinkan seseorang untuk mengalami masalah tekanan mental yang lebih serius jika tidak ditangani dengan sebaiknya di peringkat awal. Banyak perkara-perkara mudah yang boleh dilakukan oleh anda untuk mewujudkan suasana bekerja yang lebih ceria dan tenang sekaligus mengurangkan masalah yang dialami.
1. Tips mengurangkan tekanan 1: Bercakap dengan individu lain
Ya, bercakap atau berbual dengan individu lain seperti rakan sekerja atau ahli keluarga mampu mengurangkan tekanan. Dengan cara ini, anda tidak akan berasa berseorangan dan dalam masa yang sama, anda boleh bertanya pendapat orang lain untuk menyelesaikan masalah dan membantu anda mengurangkan sebarang keraguan atau kebimbangan dalam minda. Bercakap atau berbual tidak akan menghilangkan kesemua masalah anda, tetapi membuatkan anda lebih mudah untuk mengatasi masalah kesihatan mental seperti kegelisahan dan tekanan perasaan.
2. Tips mengurangkan tekanan 2: Bersukan atau bersenam
Bersukan atau bersenam tentunya membuatkan kesihatan fizikal anda lebih baik, tetapi ia juga memberi kesan positif terhadap kesihatan mental. Malah berfikir untuk bersenam merupakan satu petanda bahawa mental anda bersedia untuk bergerak ke arah cara hidup yang lebih baik. Individu yang bersenam akan berasa bertenaga sepanjang hari dan mempunyai tidur yang berkualiti selain berfikiran positif terhadap diri mereka sendiri dan berasa lebih tenang. Kajian menunjukkan bahawa senaman mampu merawat tekanan dengan kesan yang sama jika menggunakan ubatan antidepresi tanpa kesan sampingan. Kajian juga menyatakan, dengan mengekalkan jadual aktiviti senaman, ia mampu mengelakkan tekanan daripada berulang. Bersenam dengan kerap mampu meningkatkan jumlah bahagian tertentu otak, sebahagiannya melalui bekalan darah yang lebih baik yang meningkatkan kesihatan saraf dengan meningkatkan penyerapan oksigen dan nutrien.
3. Tips mengurangkan tekanan 3: Buat sesuatu kebaikan
Ia nampak mudah, tetapi ramai yang tidak melakukannya. Anda tidak perlu memiliki wang ringgit yang banyak semata-mata untuk membuat kebaikan. Senyum kepada semua rakan-rakan, menyapa petugas keselamatan dengan ucapan “Selamat Pagi’ adalah antara contoh yang mampu mewujudkan mood positif dalam diri anda khususnya dan masyarakat sekeliling secara am. Tingkahlaku seperti ini mewujudkan ketenangan dalam diri anda sekaligus mewujudkan ketenangan minda daripada memikirkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan produktiviti di tempat kerja.
4. Tips mengurangkan tekanan 4: Psikoterapi secara online
Tidak ramai individu yang mampu dan berani untuk berjumpa dengan ahli psikologi atau kaunselor bagi mendapatkan rawatan yang sepatutnya terhadap masalah yang dialami. Stigma dan pandangan negatif individu lain yang dikhuatiri boleh menjejaskan nama baik seseorang mendorong seseorang untuk memendam masalah dan tekanan yang dialami. Sekiranya anda adalah salah seorang yang mungkin mempertimbangkan untuk mendapatkan rawatan atau nasihat secara profesional tanpa perlu bersemuka, anda boleh mencuba untuk mendapatkan khidmat psikoterapi secara online melalui pelbagai laman web atau aplikasi yang tersedia. Laman web seperti Talkspace.com mempunyai ahli-ahli terapi yang berdaftar yang mampu membantu anda untuk mendapatkan sokongan tanpa perlu risau akan pandangan individu lain terhadap anda.