-
Senarai tugasan
Elakkan dari membebankan diri dengan senarai tugasan yang terlalu kompleks atau tidak seimbang. Sebaiknya perkecilkan skop tugasan, misalnya – berbanding menulis ‘sediakan makan malam’, anda boleh menulis – ‘membeli barangan basah, memasak makan malam’. Dalam senarai tugasan juga anda dinasihatkan untuk menyeimbangkan tugasan yang ingin dilakukan. Ini kerana terdapat tugasan yang mungkin memerlukan lebih masa, manakala ada tugasan yang boleh diselesaikan dalam sekelip mata. Pastikan anda kekal dengan senarai tugasan yang dilakukan.
-
Matlamat harian
Digalakkan untuk membuat matlamat harian berdasarkan kemampuan diri. Ini kerana apabila seseorang individu cuba untuk menjadi produktif, mereka akan cuba untuk menyelesaikan segalanya dalam masa seharian tanpa mengambil kira kemampuan diri dari aspek masa dan tenaga. Daripada memfokus matlamat untuk menyelesaikan tugasan dalam masa sehari berdasarkan kuantiti, mungkin anda boleh memberikan tumpuan kepada menyelesaikan apa yang boleh anda lakukan berdasarkan kualiti. Mungkin anda boleh sediakan 3-5 matlamat harian – tidak terlalu memberikan tekanan.
-
Rehat dan ganjaran
Jika anda melakukan tugasan ataupun matlamat dengan fokus, tanpa sebarang gangguan, berikan diri anda rehat sebentar 5-10 minit – untuk merengangkan badan atau pergi ke bilik air.. Sebaiknya, ketika waktu rehat, hindari dari melihat atau memeriksa telefon, email atau apa sahaja, kerana ia mungkin membuatkan fokus anda terganggu dari menyelesaikan tugasan atau matlamat.
Mungkin apabila selesai satu tugasan atau matlamat, anda boleh memberikan diri anda rehat yang lebih panjang untuk anda makan, berehat, memeriksa telefon mahupun emel dan sebagainya. Tapi pastikan anda tetapkan masa agar anda kekal fokus untuk menyelesaian tugasan dan matlamat yang selebihnya.
-
Dapatkan bantuan
Mungkin ada perkara yang tidak anda fahami atau sukar untuk anda lakukan, jangan malu untuk dapatkan bantuan dari individu yang boleh membantu. Ini bukan sahaja dapat mengelakkan anda dari membuang masa untuk cuba menyelesaikan sesuatu yang anda tidak dapat atau tidak tahu, malah dalam masa yang sama, dari aspek positif anda boleh belajar dan tugasan anda akan dapat diselesaikan dengan lebih cepat.
-
Ketepikan gangguan
Jika anda melakukan tugasan atau matlamat di tempat kerja, sebaiknya anda ketepikan segala perkara dan benda yang cenderung untuk mendatangkan gangguan kepada anda, seperti telefon, laman carian yang tidak perlu di komputer seperti laman media sosial dan sebagainya. Fokus dan lakukan yang terbaik.