Kematian seseorang yang kita cintai dan sayangi adalah satu pengalaman paling beremosi yang kita semua akan rasai. Jadi, ia bukan sesuatu yang pelik apabila kematian itu diiringi dengan tangisan air mata kerana sebenarnya menangis bantu atasi kesedihan.
Menangis adalah satu tindak balas semula jadi terhadap kehilangan dan kesedihan. Tidak semua individu akan mengalirkan air mata apabila berdepan kesedihan, dan seandainya ada tanggisan, tangisan mereka itu mungkin lebih sedikit daripada apa yang dijangka individu di sekeliling mereka.
Walaupun tangisan adalah bahagian penting dalam tahap-tahap kesedihan bagi kebanyakan individu, kekurangan air mata bukanlah satu petanda masalah. Kerana setiap individu adalah berbeza. Terdapat individu yang cenderung untuk menangisi apa juga situasi yang melibatkan emosi dan sistem saraf bertindak balas terhadap tekanan, khususnya kesedihan.
Air mata sebagai ubat
Beberapa manfaat air mata mungkin mempunyai kaitan biologi. Apabila kita mengalami gangguan emosi yang teruk seperti kehilangan individu yang kita sayang, tubuh kita akan menghasilkan sejumlah bahan biokimia kuat yang dapat memberikan penyembuhan.
Bahan biokimia tersebut adalah sama seperti heroin dan morfin, dan air mata adalah salah satu cara bahan biokimia ini diedarkan ke dalam tubuh. Air mata membawa bahan biokimia ini ke permukaan bola mata kita, di mana ia akan diserap dan berfungsi untuk melegakan kesakitan emosi. Ini secara tidak langsung, menjadi penjelasan paling baik, mengapa sesetengah individu akan berasa lebih baik selepas mengalirkan air mata.
Apa yang akan berlaku jika anda menahan tangisan?
Jika terdapat individu yang tidak dapat mengeluarkan air mata walaupun mereka amat berkeinginan untuk menangis, ini bermakna mereka telah menolak ubatan paling mujarab yang dapat meredakan tekanan. Kajian juga membuktikan bahawa menangis mungkin cara untuk menyingkirkan bahan yang dapat mengganggu emosi dan tahap kesejahteraan diri.
Terus menangis
Masih terus menangis dan bersedih mungkin akan mendatangkan kebimbangan pada individu di sekeliling, termasuk juga kepada individu yang menangis itu sendiri. Walau bagaimanapun, jangan dianggap ia sebagai petanda bahawa individu tersebut akan terus mengalami kejatuhan dan bersedih.
Perasaan berduka dan bersedih merupakan satu petanda bahawa anda akan kembali bangun, dan sedang melalui fasa yang paling sukar. Sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa anda boleh melakukannya. Air mata adalah tanda kasih sayang dan semangat yang baik.
Oleh itu, jika anda sedang memberi sokongan kepada individu yang sedang bersedih dan berduka, adalah amat penting untuk memberikan persekitaran yang selamat agar mereka dapat menjadi diri mereka sendiri. Jangan menilai seorang individu berdasarkan jumlah air mata, kerana ia adalah berbeza bagi setiap individu.