Anda pasti pernah menghadapi situasi di dalam dewan peperiksaan, di mana anda tidak dapat menjawab soalan peperiksaan, seolah-olah fikiran anda kosong, bukan? Atau anda mungkin kehilangan kata-kata kerana merasakan fikiran anda kosong sewaktu melakukan sebarangan pengucapan di khalayak umum? Anda mungkin berdepan situasi yang mengejutkan sehingga menyebabkan anda tidak tahu untuk melakukan atau berkata apa-apa? Keadaan ini dirujuk sebagai fikiran kosong dan ikuti artikel ini untuk lebih memahami tentang keadaan ini.
Kerisauan, ketakutan
Situasi fikiran kosong atau mind blank ini dipercayai berlaku kerana anda berada dalam keadaan yang ketakutan atau kerisauan yang amat tinggi. Jika anda perlu melakukan pengucapan, anda mungkin menghadapi situasi anda takut sekiranya anda terlupa ucapan anda – sekali gus membuatkan anda lebih takut dan gelisah.
Dalam situasi dalam dewan peperiksaan, melihat rakan-rakan yang kelihatan berkeyakinan membuatkan anda mula memikirkan sama ada anda mampu untuk menjawab soalan peperiksaan atau tidak. Malah, memburukkan lagi keadaan, apabila anda sedang menjawab soalan peperiksaan dan anda melihat sekeliling anda, rakan-rakan yang sedang fokus menjawab, ia sekali gus membuatkan anda menjadi bertambah gelisah dan takut – risau anda tidak dapat mengingati apa yang anda baca atau risau apa yang anda baca tidak langsung menepati kehendak soalan peperiksaan.
Kedua-dua situasi di atas atau sebarang situasi yang melibatkan rasa takut, gelisah serta terkejut, cenderung membuatkan minda dan fikiran anda menjadi kosong.
Punca menyebabkan fikiran kosong
Terdapat faktor dalaman dan luaran yang boleh menjadi punca mengapa kita mengalami masalah fikiran kosong, antaranya:
- Perubahan. Ada masanya anda telah berlatih dan menghafal teks ucapan anda sebaiknya, tetapi apabila berdiri di khalayak umum, anda secara tiba-tiba menukar pengucapan anda yang menyebabkan anda kehilangan idea dan keliru. Dalam situasi peperiksaan pula, anda mungkin diberitahu oleh rakan tentang topik yang mungkin akan keluar dalam peperiksaan, tetapi apabila melihat kertas soalan, tiada satu topik yang anda baca keluar dalam kertas peperiksaan, pada saat itu anda mungkin berdepan dengan situasi fikiran kosong kerana anda tidak tahu apa jawapan yang boleh anda berikan.
- Kegelisahan. Anda mungkin mempunyai darah gemuruh, di mana anda akan merasa gementar apabila perlu berdiri di khalayak umum untuk melakukan pengucapan atau persembahan. Ia merupakan satu ketakutan dan rasa tidak berdaya membuatkan anda berisiko mengalami situasi fikiran kosong.
- Ubatan. Pengambilan ubatan tertentu atas faktor kesihatan juga boleh menjadi antara penyebab yang membuatkan anda cenderung mengalami fikiran kosong. Jika anda mengalaminya setelah mengambil ubat baru, sebaiknya anda berbincang dengan doktor untuk memastikan ia adalah kesan sampingan daripada ubatan.
- Kurang tidur. Rehat yang tidak mencukupi juga boleh menyebabkan badan anda menjadi letih dan lesu. Keadaan ini sekali gus boleh mendatangkan impak kepada pemikiran anda.
- Emosi terganggu. Kesibukan dengan tugasan harian dan kerja boleh menyebabkan emosi anda terganggu. Tidak menjaga kesihatan diri juga boleh menjadi punca berlakunya fikiran kosong akibat keletihan.
- Keadaan kesihatan. Masalah kesihatan yang mempunyai kaitan dengan fikiran kosong adalah termasuk; keradangan, keletihan, perubahan tahap gula dalam darah. Individu yang didiagnosis dengan fibromyalgia mungkin akan mengalami keletihan mental setiap hari. Beberapa keadaan lain yang menyebabkan simptom fikiran kosong, seperti:
- Anemia
- Hipotiroidisme
- Kemurungan
- Arthritis
- Lupus
- Penyakit Alzheimer
Apa yang berlaku ketika fikiran kosong?
Untuk kebanyakan individu, fikiran kosong adalah fenomena yang amat menjengkelkan dan mengganggu untuk menyelesaikan tugasan yang perlu dilakukan. Kenapa ia berlaku?
Anatomi ketika berlakunya mind blank
Terdapat 3 bahagian utama otak yang terlibat apabila menghadapi situasi fikiran kosong: hipotalamus, hippocampus dan prefrontal cortex (PFC).
- Hipotalamus – penghubung antara emosi dan fizikal. Ia sangat berkaitan dengan sistem endokrin dan hormon yang wujud di seluruh badan.
- Hippocampus – pusat emosi. Memainkan peranan penting dalam kedua-dua proses pembelajaran dan mengulangi atau mengingati fakta
- Prefrontal cortex – mengawal aspek yang membeza antara manusa dan haiwan, termasuk membuat perancangan, keputusan, kawalan impuls dan interaksi sosial.
Kognisi sejuk, panas
Ketika berada dalam situasi normal, otak berada dalam kognisi sejuk (cold cognition). Hipotalamus berfungsi secara perlahan, normal dan membolehkan anda menikmati muzik ketika belajar atau melakukan sebarang tugasan dan tahap hormon tekanan berada pada tahap rendah.
Sebaliknya, ketika berada dalam situasi yang mengelisahkan, berisiko atau menakutkan, atau siatuasi yang tidak normal, otak berada dalam kognisi panas (hot cognition). Dalam situasi yang mendatangkan ketegangan ini, hipotalamus mengaktifkan respons tindak balas fight-or-flight – iaitu tindak balas yang melibatkan psikologi, sama ada untuk melawan atau mengabaikannya – yang menghasilkan kortisol dan hormon menarik lain dalam badan. Hormon ini menyerang PFC dan hippocampus, mengganggu aktiviti neuron dan pola biasa otak. Ini mengakibatkan fungsi otak untuk mengingati atau mengulangi fakta terganggu.
Cara merawat
Walaupun mengalami fikiran kosong adalah sesuatu keadaan yang tidak boleh kita jangka, tetapi terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan situasi ini. Perkara paling penting yang anda harus menghindari sebarang perkara yang boleh menyebabkan anda mengalami tekanan dan kegelisahan. Cuba untuk menggunakan teknik pernafasan mendalam jika anda merasakan anda dalam keadaan tertekan dan gelisah.
Lakukan persiapan dengan sebaik mungkin, sama ada tugasan anda melibatkan pengucapan di khalayak umum atau berkaitan peperiksaan. Pastikan sewaktu anda melakukan persiapan itu, anda tetap menjaga kesihatan diri, memberikan diri rehat dan tidur yang secukupnya serta mengambil pemakanan yang sihat.