Selalunya kita akan rasa leceh atau renyah kalau hujan, apatah lagi dalam musim hujan sekarang ini. Tetapi tahukah anda hujan boleh membantu mengurangkan stres? Mesti ‘tak’ tahu, bukan?
Pelbagai rasa
Apabila berbicara tentang hujan, pastinya kita tidak dapat lari untuk mengaitkan hujan dengan beberapa isu kesihatan seperti demam dan selesema. Malahan tidak dinafikan terdapat juga individu yang tidak sukakan cuaca atau hari hujan kerana berasa seperti suram dan tidak ceria.
Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah individu yang mengakui berasa tenang ketika hujan lebat. Ada yang mengatakan bunyi hujan itu dapat memberikan ketenangan, manakala ada yang menggemari bau yang terhasil apabila hujan.
Kebaikan bau hujan
Ada pula individu yang menganggap, berjalan ketika hujan adalah sesuatu melambangkan romantis. Walau apa pun yang dirasai: ketenangan, bau atau rasa romantis, adakah benar bau hujan mempunyai manfaat kepada kesihatan?
Berjalan ketika hujan dan bau hujan dipercayai mempunyai kesan penyembuhan kepada badan dan minda. Di mana ia memberikan ketenangan dan membantu membebaskan emosi dan pemikiran yang mengalami tekanan.
Bau hujan atau turut dikenali sebagai Petrichor, iaitu nama yang diberikan oleh dua saintis pada tahun 1960 merupakan bau yang dihasilkan oleh bakteria apabila air hujan mengenai permukaan tanah yang kering. Biar betul bakteria?
Yes! Itulah yang dikatakan oleh Ketua Mikrobiologi Molekul di John Innes Centre, Professor Mark Buttner. Menurut beliau, bakteria tersebut adalah makhluk yang berada banyak di tanah. Dan bau itu adalah bau molekul, geosmin – yang dihasilkan oleh Streptomyces, dikeluarkan oleh bakteria tertentu.
Jadi petrichor adalah aroma yang terhasil melalui gabungan minyak tumbuhan, geosmin dan ozon – apabila kilat memisah molekul nitrogen dan oksigen menjadi nitrik oksida. Disebabkan itu tidak dinafikan, bau hujan mungkin dapat memberikan rasa ketenangan dan santai bagi sesetengah individu yang menggemari bauan tersebut. Kalau tertekan atau emosi terganggu, mungkin hujan adalah bantuan yang anda perlukan.
Pembangkit semangat
Selain daripada bau hujan, terdapat beberapa bauan lain yang boleh membantu meningkatkan emosi dan produktiviti anda. Antaranya:
- Sitrus
Bau sitrus dikatakan dapat menggalakkan tumpuan dan memberikan ketenangan. Ia dipercayai berguna ketika anda sedang bergelut dengan rasa marah, cemas atau hilang semangat. Aroma sitrus juga mempunyai ciri antibakteria dan dapat melawan rasa sakit tekak dan selesema dengan meningkatkan sistem ketahanan badan serta peredaran darah. Antara buah sitrus yang boleh anda pilih anda seperti lemon, oren atau limau nipis.
- Rumput
Anda pasti pernah melalui atau terbau bau rumput yang baru dipotong, bukan? Bagaimana rasanya? Mesti ada rasa seronok dan tenang. Menurut pengkaji dari Australia, terdapat bahan kimia yang dilepaskan oleh rumput yang baru dipotong. Bauan ini sangat ajaib di mana ia dipercayai dapat mencegah kemerosotan mental selari dengan peningkatan usia.
- Bungaan
Bunga seperti lavender dipercayai dapat mengawal tekanan emosi sekali gus memberikan ketenangan. Ia mempunyai kesan penenang pada saraf dan mampu menyingkirkan tekanan dan kemurungan selain merawat sakit kepala dan migrain. Bunga jasmin juga dapat bagus untuk meningkatkan keyakinan dan memulihkan tenaga.
- Bau bedak
Pakar mengatakan jika anda gemarkan bau bedak, ini bermakna anda mungkin mempunyai tindak balas nostagik.
Bau bedak dapat mengingatkan kembali tentang rasa selamat dan terjaga sewaktu kanak-kanak. Manakala bagi individu yang bergelar ibu bapa, bau itu akan mengimbas kembali memori bahagia yang dirasai ketika mereka masih kecil.
Setakat ini tiada kajian atau bukti saintifik yang dapat mengesahkan mengenai perkara di atas. Tetapi bagi penulis, ia adalah bergantung kepada individu itu sendiri. Mungkin ada bau yang pada anda yang langsung tidak boleh anda bau sedangkan bagi individu lain, ia adalah bauan yang memberikan semangat dan sumber inspirasi, seperti bau kopi.
Bergantung kepada diri
Setiap individu mempunyai citarasa yang berbeza. Tidak kira bau hujan, bungaan, rumput waima bau kek selepas dibakar sekali pun, jika bau tersebut dapat membantu meningkatkan rasa dan semangat dalam diri anda, why not, right?
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: