backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Bukan Mudah Bagi Mangsa Serangan Seksual, Pulihkan Semangat Dengan 6 Langkah Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 11/06/2021

    Bukan Mudah Bagi Mangsa Serangan Seksual, Pulihkan Semangat Dengan 6 Langkah Ini!

    Isu serangan seksual bukanlah satu perkara yang kecil atau tabu kerana ia makin membimbangkan dari hari ke hari.

    Buka sahaja media tabloid, sudah pasti berita tentang rogol, cabul, liwat dan sebagainya terpapar.

    Mungkin kita hanya akan mengabaikan sahaja berita tersebut kerana belum pernah terjadi kepada diri sendiri atau individu tersayang.

    Bagaimana pula jika anda merupakan salah seorang mangsa serangan seksual? Bagaimana cara untuk meneruskan kehidupan?

    Serangan seksual, mimpi ngeri bagi mangsa…

    Setiap mangsa yang terselamat daripada  gangguan atau serangan seksual pasti akan mempunyai pengalaman pahit yang tersendiri.

    Mungkin ada mangsa yang kuat dan mampu menghadapi kenyataan tersebut lalu meneruskan kehidupan seperti biasa sahaja.

    Namun kebanyakan mangsa pasti akan menangis, menggigil dan menyesal akibat peristiwa yang terjadi ibarat mimpi ngeri.

    Berikut adalah antara perasaan yang pasti akan wujud dalam diri selepas terselamat daripadanya:

    • Kemarahan
    • Ketakutan
    • Kemurungan
    • Ketidakpercayaan
    • Hilang kawalan
    • Rasa bersalah
    • Timbul tanda tanya
    • Malu untuk berdepan dengan masyarakat

    Kesemua perasaan ini tidak lain tidak bukan sudah tentu akan menjejaskan kesihatan diri dari aspek mental serta fizikal.

    Pernahkah anda bertanya kepada diri sendiri, apakah tindak balas anda jika berdepan dengan gangguan dan serangan seksual?

    gangguan seksual

    Jangan diamkan & biarkan, laporkan serangan seksual!

    Perkara paling penting untuk dilakukan oleh mangsa serangan seksual adalah dengan melaporkan ia kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.

    Namun inilah kesilapan yang biasa terjadi di mana individu itu malu, takut atau tidak tahu bagaimana untuk bertindak selepas serangan.

    Ingat! Meskipun penyerang itu adalah individu yang anda kenali atau sayangi, mereka masih penjenayah yang perlukan hukuman setimpal.

    Jika hanya didiamkan atau dibiarkan, ada kemungkinan pemangsa seksual akan mengulangi perbuatan itu pada anda atau orang lain.

    Jika diugut atau diancam, beritahu individu yang paling anda percayai sebelum menghubungi pihak yang berkenaan ya?

    Bagaimana mangsa serangan seksual pulihkan semangat?

    Tidak dinafikan, adalah sangat sukar untuk melangkah ke hadapan selepas anda diperlakukan dengan tidak sepatutnya.

    Selepas melaporkan, anda harus memulihkan semangat dalam diri untuk menempuhi kehidupan seharian di masa hadapan.

    gangguan seksual

    Jika berdepan sebarang kesulitan atau kepayahan, mungkin langkah ini sedikit sebanyak boleh membantu anda:

    #1. Belajar menerima kenyataan

    Adalah sangat sukar untuk menerima kenyataan anda telah diserang secara seksual kerana anda mungkin berasa diri lemah dan kotor.

    Namun anda perlu cuba untuk tidak menyalahkan diri atau takdir dan percaya bahawa diri anda masih mempunyai nilai dan harga diri.

    #2. Mengatasi segala perasaan negatif

    Walaupun sukar, anda harus mengatasi segala perasaan negatif seperti marah, malu, takut atau serba salah kerana ia hanya akan memakan diri.

    Bercampurlah bersama masyarakat seperti biasa untuk mewujudkan suasana yang positif dalam usaha memulihkan kembali semangat untuk terus hidup.

    #3. Bersedia dengan igauan ngeri

    Akan ada ketika di mana secara tiba-tiba imbasan atau kenangan pahit akibat peristiwa itu muncul kembali di fikiran sebagai igauan ngeri.

    Ia mungkin tidak boleh dielakkan namun boleh cuba dilupakan dengan cara mengingatkan diri bahawa itu adalah trauma masa lalu dan bukan realiti masa kini.

    #4. Hubungkan kembali tubuh badan dengan emosi

    Emosi yang negatif pasti akan menghantui diri sekali gus menutup ruang dan peluang untuk tubuh badan berfungsi secara normal akibat trauma.

    Atasinya dengan cara mengamalkan aktiviti yang menenangkan jiwa dan raga sepert meditasi, yoga atau segala hobi yang kalian minati.

    #5. Jangan mengasingkan diri daripada orang lain

    Mungkin anda akan lebih berhati-hati dengan kelompok masyarakat terutamanya mereka yang tidak dikenali akibat trauma serangan seksual.

    Ya, bagus untuk berwaspada namun tidak perlu sampai anda mengisolasikan diri daripada orang lain kerana terus dan kekal berhubung dengan dunia luar itu adalah lebih baik.

    #6. Jaga kesihatan mental dan fizikal anda

    Luka pada fizikal dan mental anda selepas diserang secara seksual pasti akan memerlukan masa yang agak lama untuk sembuh semula.

    Oleh itu, berikan masa kepada diri anda sendiri dan dalam masa yang sama sila jaga kesihatan mental dan fizikal untuk kehidupan yang lebih sejahtera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 11/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan