Lahirnya kita adalah dari kasih sayang ibu dan bapa kita. Walaupun segala yang diberikan tanpa mengharapkan sebarang balasan, namun, sebagai anak,ia menjadi tanggungjawab kita untuk membalas segala pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan kepada kita selama ini. Jadi bagaimana cara terbaik untuk membalas jasa dan pengorbanan kedua orang tua kita? Berikut adalah tip untuk membahagiakan ibu bapa kita.
-
Baik dan patuh
Ia satu perkara yang tampak mudah namun sukar untuk dipenuhi. Sebagai seorang individu pasti akan ada masa, apa yang kita inginkan bertentangan dengan apa yang ibu bapa kita mahukan, jadi sememangnya ia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Jangan pernah meninggikan suara, bawa berbincang dengan sebaiknya. Ibu bapa anda pastinya bahagia jika mempunyai anak yang patuh dan baik.
-
Hormat dan lembut tutur kata
Sentiasa punya rasa hormat pada ibu bapa. Walaupun pada ketika kita sedang marah, emosi terganggu atau tertekan, rasa hormat itu jangan sekali pernah hilang, jangan pernah tinggikan suara kepada mereka, kerana ia bukan alasan untuk kita kurang beradab dengan kedua orang tua kita.
-
Beri keutamaan dan perhatian
Waktu kita masih kecil, pastinya segala permintaan kita akan cuba dipenuhi oleh kedua ibu bapa kita, jadi mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama apabila kita sudah dewasa? Utamakan kebahagiaan, kegembiraan dan paling utama kesihatan mereka. Sentiasa ada untuk membantu mereka. Andai mempunyai kemampuan dalam kewangan, berikanlah sedikit wang sebagai belanja bulanan walaupun mereka tidak mengharapkannya. Dan apabila tiba musim perayaan atau cuti, bawalah mereka berjalan-jalan.
-
Bertanya khabar
Jika kita duduk berjauhan dengan ibu bapa, tidak ada salahnya jika kita menghubungi mereka setiap hari untuk bertanyakan khabar, malah, lebih membahagia mereka jika kita melakukannya berkali-kali dalam sehari. Jika anda terlalu sibuk dengan tugasan harian, ambillah masa sekurangnya seminggu sekali untuk telefon dan bertanya khabar, walaupun sekejap, ia cukup untuk menggembirakan hati orang tua.
-
Lawati dan menziarah
Mungkin faktor kos menjadi penghalang buat mereka yang tinggal berjauhan dengan ibu bapa untuk kerap pulang melawat dan menziarahi ibu bapa di kampung. Namun, tiada salahnya untuk sesekali anda membuat kejutan dan pulang melawat mereka di kampung. Dan buat anda yang tinggal berdekatan dengan ibu bapa, ziarahlah mereka sekerap yang mungkin. Sekiranya anda sudah berkahwin, bawalah sekali pasangan dan anak-anak anda. Luangkan masa bersama mereka selagi mereka masih ada.
-
Mendoakan
Doakanlah kesejahteraan buat kedua ibu bapa anda walaupun anda mungkin berjumpa dengan mereka setiap hari. Sentiasalah berterima kasih kepada mereka walaupun untuk perkara yang remeh.
Untuk membahagiakan ibu bapa kita bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Malah, dalam setiap perbuatan seharian kita pun, sebenarnya kita mampu untuk membahagiakan mereka. Sementara mereka masih ada bersama kita, cubalah untuk menjadi anak yang sentiasa berusaha membahagia dan menggembirakan hati kedua ibu bapa kita.
[embed-health-tool-ovulation]