Adakah semua anak tengah akan mengalami sindrom ini?
Sindrom anak tengah adalah satu topik yang diperdebatkan oleh para pakar. Walau bagaimanapun, bukan semua anak tengah menunjukkan simptom-simptom seperti di atas. Biasanya, sindrom anak tengah berlaku bergantung kepada teknik keibubapaan yang diamalkan. Cara didikan ibu bapa memainkan peranan kepada pembentukan sahsiah diri anak-anak. Jika ibu bapa tidak membeza-bezakan anak dan melayan anak sama rata, tidak kira anak sulung, tengah ataupun bongsu, maka sindrom anak tengah tidak akan berlaku. Malahan, sesetengah kanak-kanak juga sudah cukup matang untuk mengendalikan perasaan mereka dan tidak membenarkan perkara negatif mempengaruhi jiwa mereka.
Bagaimana untuk mencegah sindrom ini daripada berlaku?
Berikut ada beberapa tips buat ibu bapa bagi mengelakkan sindrom anak tengah berlaku dalam kalangan anak-anak mereka.

1 Kesedaran sindrom anak tengah
Cara paling efektif untuk mengelakkan sindrom ini adalah dengan sentiasa beringat dan tahu mengenai sindrom ini. Seandainya anda ada terlihat tanda-tanda dan simptom sindrom anak tengah dalam kalangan anak-anak anda, akuinya dan cari jalan penyelesaian bagi mengelakkan perkara ini menjadi lebih besar.
2 Bersabar
Setiap kanak-kanak adalah unik dan berbeza bagi ibu bapa. Sekiranya anda mendapati anak anda menunjukkan simptom sindrom anak tengah, bersabar dahulu. Jangan terus bersemuka dengan anak anda dan menerangkan bahawa anda menyayanginya. Apa yang perlu anda lakukan ketika ini adalah bersabar dan mencari waktu yang sesuai untuk memberitahu anak anda. Kemungkinan apa yang anak anda fikirkan adalah berbeza (dalam menganggap anda mengabaikannya). Walau bagaimanapun, teruskan menunjukkan kasih sayang pada anak anda.
3 Berikan perhatian khas kepada anak tengah anda
Meskipun jika anda sudah mendekatkan diri dengan anak, dan dia masih berasa anda tidak menyayanginya, jangan berhenti dan pastikan anda bertambah rapat dengan anak. Berikannya perhatian seperti yang diinginkan, jadikannya rasa istimewa seperti mana apa yang anda lakukan pada adik-beradiknya yang lain.
4 Buatkan anak anda rasa penting dan menjadi sebahagian dalam keluarga
Menjadi anak tengah boleh membuatkan anak anda rasa tidak penting. Jadi, peranan anda adalah dengan memberikannya memikul beberapa tanggungjawab dan berikan pengiktirafan jika dia berjaya memenuhinya. Ini akan menjadikan anak anda rasa penting dalam keluarganya sendiri.
5 Beri galakan kepadanya dalam perkara yang diminati
Memberi dorongan dan motivasi kepada anak tengah dalam semua lapangan yang diminatinya adalah penting, terutama jika dia benar-benar berpotensi dalam bidang tersebut.
6 Ajar anak tengah anda untuk bersuara
Minta anak anda untuk menyuarakan pendapat mereka atau keperluan mereka tidak kiralah kepada adik-beradik ataupun dengan rakan. Ajar mereka untuk menyatakan pendirian dengan cara yang betul, bukannya dengan berlalu pergi dan menjerit atau menggunakan kekerasan fizikal.
7 Dengar dan menunjukkan empati anda
Bagi membuatkan anak tengah anda rasa disayangi dan dijaga, anda perlu mendengar dengan penuh minat pada perbualannya, serta menunjukkan empati anda jika dia ingin mengadu tentang sebarang perkara. Ini akan membuatkan anak anda rasa bahawa diri mereka penting berada dalam hati ibu bapanya.
8 Puji anak anda
Jika anda rasa memuji anak itu tidak perlu, anda silap. Berikan pujian dan penghargaan kepada setiap anak anda, termasuk juga anak tengah. Ini akan membantu kanak-kanak lebih yakin diri. Tidak semestinya anda perlu puji jika anak berjaya dalam pelajaran sahaja. Anda boleh memuji mereka walaupun jika mereka melakukan sedikit pencapaian dalam kehidupan.
9 Tunjukkan rasa hormat anda
Sama seperti individu dan adik-beradik lain, anak tengah juga mempunyai hak untuk menyuarakan perasaan, emosi dan idea mereka. Oleh itu, layan anak anda dengan baik dan dengar apa yang ingin disuarakan dan hormatinya dengan selayaknya.
10 Berhenti daripada membanding-bandingkan
Ingatlah bahawa setiap individu adalah berbeza dan tidak sama. Jangan mengharapkan perangai setiap anak anda sama. Setiap mereka ada kekuatan dan kelemahan mereka sendiri. Justeru, jangan pernah membandingkan anak-anak anda, kerana ini hanya akan memberikan kesan buruk kepadanya. Sayangi dan hargai anak anda dengan seadanya. Membanding-bandingkan hanya akan menyemarakkan rasa inferior yang kompleks pada anak anda.
Meskipun anak tengah yang mengalami krisis dilihat boleh mempengaruhi perkembangan mereka, namun kajian daripada Stanford University turut menunjukkan bahawa anak tengah juga mempunyai karakteristik yang istimewa. Antaranya adalah golongan anak tengah menjadi lebih berdikari, berfikir di luar kotak, dan lebih empatetik. Ini sekali gus menjadikan mereka mempunyai kemahiran yang baik sebagai pekerja, serta ahli dan rakan kumpulan yang terbaik. Pun begitu, ibu bapa disarankan untuk mempraktikkan teknik keibubapaan yang betul pada setiap anak-anak, tanpa perlu membanding-banding dan melebihkan salah seorang anak.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen