backup og meta

Patut Diam Atau Balas Komen Negatif Di Akaun Media Sosial? Ini Yang Perlu Anda Lakukan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 06/05/2021

    Patut Diam Atau Balas Komen Negatif Di Akaun Media Sosial? Ini Yang Perlu Anda Lakukan!

    Apabila seseorang pengguna media sosial memberikan komen negatif kepada hantaran anda di media sosial, adakah anda patut membalasnya atau membiarkannya?

    Ini tindakan yang patut anda lakukan jika berdepan dengan situasi seperti ini.

    Media sosial jadi pentas untuk mengkritik?

    Kesemua platform media sosial diwujudkan atas alasan untuk manusia berhubung dengan lebih mudah.

    Sama ada bersama rakan mahupun ahli keluarga, media sosial sememangnya memudahkan aktiviti perhubungan.

    Media sosial bersifat ‘real time’ atau waktu sebenar ketika berhubung berbanding penggunaan medium lain seperti telefon atau email.

    Namun kini, platform-platform media sosial telah bertukar menjadi platform keyboard warrior yang kerap mencetuskan perbalahan antara satu sama lain.

    Media sosial sudah menjadi satu tempat untuk mengkritik, memberi komen negatif kepada orang lain serta memecah-belahkan sesama pengguna.

    Jadi, sekiranya seseorang pengguna media sosial mengkritik atau memberikan komen yang tidak baik kepada anda, patutkah anda membalasnya?

    Perkara yang patut diambil kira sebelum memberi komen balas kepada pengguna media sosial

    pengguna media sosial

    Adakah anda tahu, sama ada anda patut membalas sesuatu komen negatif atau membiarkannya sahaja?

    Ini semua bergantung kepada beberapa perkara penting yang berkait rapat dengan persekitaran anda.

    Beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum membalas sesuatu komen negatif ialah:

    • Suasana media sosial anda. Adakah akaun anda dipenuhi rakan dan ahli keluarga terdekat?
    • Konteks komen negatif yang dibuat. Adakah anda menggunakan akaun peribadi atau akaun rasmi sesebuah entiti atau organisasi?
    • Siapakah yang memberikan komen negatif tersebut? Adakah mereka benar-benar seorang manusia nyata atau sekadar akaun palsu?

    Kesemua perkara ini perlu dipertimbangkan sebelum anda membalas sesuatu hantaran bersifat negatif di media sosial anda.

    Bilakah saya boleh membalas komen negatif pengguna media sosial?

    Tidak semua jenis komen perlu dibiarkan atau sekadar dilihat. Ada masanya, beberapa komen perlu dibalas kerana ia akan memberikan peluang kepada pemberi komen jika tidak dibalas.

    Berikut adalah beberapa keadaan di mana anda sepatutnya membalas komen negatif tersebut.

    Apabila ada yang mahu melihat tindak balas anda

    Dalam keadaan seperti ini, cara terbaik untuk anda adalah dengan memberikan respons kepada komen negatif yang diberikan berbanding hanya mendiamkan diri.

    Contohnya jika anda merupakan pegawai perhubungan pelanggan yang menguruskan akaun media sosial syarikat anda.

    Sudah semestinya cara terbaik adalah tetap untuk memberikan tindak balas kepada komen yang ada walaupun ia adalah komen negatif.

    Ini kerana, respons dan cara anda menjawab komen tersebut mencerminkan imej syarikat anda. 

    Anda akan dilihat seperti menyembunyikan sesuatu jika tidak memberikan balasan

    Apabila anda sekadar melihat, memadam komen yang diberikan atau menyekat pengguna lain, ia akan kelihatan seperti anda menyembunyikan sesuatu daripada mereka.

    Namun, jika anda benar-benar tiada sebarang perkara yang disembunyikan, maka tidak mengapa jika anda berbuat begitu.

    Jadi, untuk mengelakkan orang lain memberikan tuduhan yang tidak berasas sehingga situasi menjadi lebih sukar, adalah lebih baik untuk anda membalasnya. 

    Melindungi reputasi anda

    Adakalanya, komen negatif yang diberikan pengguna media sosial sememangnya tidak berasas.

    Namun, sekiranya ia sampai ke tahap di mana boleh memburukkan nama anda, maka anda wajar bertindak balas.

    Membalas komen negatif ini bertujuan untuk membetulkan dakwaan dan menjaga nama baik anda. 

    Bilakah pula saya tidak perlu membalas dan melayan komen negatif?

    komen negatif

    Ada beberapa keadaan di mana anda tidak perlu membalas atau melayan komen negatif daripada pengguna lain. Antara situasinya ialah:

    Apabila anda rasa akan ada orang lain yang akan membantu anda

    Ada masanya anda hanya perlu menunggu sahaja kerana ada kalanya pengguna lain yang akan menjawabkannya bagi pihak anda.

    Kaedah ini tidak sesuai bagi akaun bisnes, tetapi sangat berkesan bagi akaun peribadi milik individu yang berpengaruh. 

    Apabila anda tidak mahu perkara tertentu berada di akaun anda

    Selain itu, perkara lain yang tidak sepatutnya dilayan ialah berkaitan hal yang tidak sepatutnya ada pada akaun anda.

    Antaranya pautan-pautan scam, penipuan, pornografi, serangan siber, buli, ancaman dan perkara-perkara lain seperti ini.

    Jika wujud pautan seperti ini di akaun anda, perkara yang terbaik adalah untuk anda memadamnya dengan segera.

    Troll 

    Tujuan troll dilakukan adalah untuk melihat respons anda terhadap troll yang diberikan. Jika anda bertindak balas sesuai dengan kehendak mereka, maka matlamat mereka telah tercapai.

    Oleh itu, cara terbaik adalah dengan mengabaikan troll atau komen negatif yang diberikan.

    Pastinya, pembuat troll akan berasa hampa kerana ternanti-nanti komen anda yang tidak muncul seperti yang diharapkan. 

    Kesimpulan

    Ada masanya, berdiam diri adalah cara terbaik. Namun, adakalanya membalas juga adalah cara terbaik.

    Pertimbangkan situasi yang berlaku dan balaslah dengan cara yang berhemah. Ini kerana ramai yang akan memerhatikan tindakan dan ucapan anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 06/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan