backup og meta

Apa Itu Trypophobia?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/05/2023

    Apa Itu Trypophobia?

    Pernah tak ketika anda melihat sesuatu berlubang yang banyak, dan tiba-tiba anda berasa meremang? Jika ya, anda berkemungkinan adalah penghidap trypophobia. Tapi tahukah anda apa itu trypophobia? Artikel di bawah akan membantu anda mengenali tentang fobia ini.

    Apa itu trypophobia?

    Trypophobia adalah ketakutan atau jijik pada lubang tersusun kemas. Individu yang mengalami fobia ini akan berasa mual ketika melihat sesuatu imej, benda atau permukaan yang mempunyai lubang kecil tersusun rapat, sebagai contoh, pod biji teratai atau permukaan biji strawberi boleh menimbulkan ketidakselesaan.

    Punca tercetus fobia

    Tidak banyak yang diketahui  tentang trypophobia. Tetapi perkara biasa yang menyebabkan fobia ini antaranya seperti:

    • Pod benih teratai.
    • Sarang lebah.
    • Strawberi.
    • Batu karang.
    • Buih logam aluminium.
    • Buah delima.
    • Buih-buih.
    • Satu kumpulan mata.

    Haiwan termasuk serangga, amfibia, mamalia, dan makhluk lain yang memiliki kulit atau bulu bertompok juga boleh menjadi pencetus terjadinya fobia ini.

    Simptom

    Dikatakan fobia ini akan tercetus apabila seseorang individu melihat objek dengan lengkungan kecil atau bentuk yang menyerupai lubang. Sekiranya terlihat sekelompok lubang, individu penghidap fobia ini akan bereaksi jijik atau ketakutan.

    Beberapa simptom lain termasuk:

    • Meremang bulu roma.
    • Terkejut.
    • Tidak selesa.
    • Ketidakselesaan visual seperti gangguan, ilusi atau keletihan mata (eyestrain).
    • Tekanan.
    • Merasakan kulit seperti merayap.
    • Serangan panik.
    • Berpeluh.
    • Loya.
    • Badan mengigil.

    Wujudkah trypophobia?

    Jenis fobia ini masih tidak diiktiraf secara rasmi dan kajian mengenainya masih terhad.

    Penyelidik tidak dapat memutuskan sama ada untuk mengklasifikasikan trypophobia sebagai fobia sebenar atau tidak. Antara kajian pertama mengenainya yang diterbitkan pada tahun 2013, mencadangkan trypophobia mungkin merupakan lanjutan dari ketakutan biologi terhadap perkara yang berbahaya.

    Penyelidik mendapati bahawa simptom ini dicetuskan oleh warna-warna kontras tinggi dalam susunan grafik tertentu. Mereka berpendapat bahawa individu yang menghidapi fobia ini secara tidak sedar mengaitkan objek-objek tidak berbahaya, seperti pod benih teratai, dengan haiwan yang berbahaya seperti sotong berwarna biru.

    Satu kajian yang diterbitkan pada April 2017 menolak pendapat kajian tersebut. Penyelidikan ke atas kanak-kanak prasekolah untuk mengesahkan sama ada ketakutan ketika melihat imej dengan lubang kecil adalah berdasarkan ketakutan terdapat haiwan berbahaya atau merupakan tindak balas terhadap sifat visual.

    Keputusan yang diperolehi menunjukkan individu yang mengalami trypophobia tidak mempunyai ketakutan tidak sedar kepada makhluk berbahaya. Sebaliknya, ketakutan itu dicetus oleh rupa sesuatu objek.

    Menurut Persatuan Psikiatrik Amerika, melalui “Diagnostic and Statistical Manual,” (DSM-5) tidak mengiktiraf trypophobia sebagai satu jenis fobia rasmi. Lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami sepenuhnya tentang trypophobia dan punca pencetus fobia ini.

    Faktor risiko

    Tidak banyak yang diketahui tentang faktor risiko berkaitan dengan trypophobia. Satu kajian pada 2017 mendapati terdapat kemungkinan kaitan antara trypophobia dengan gangguan kemurungan utama dan gangguan kebimbangan umum (generalized anxiety disorder, GAD).

    Menurut penyelidik, individu yang mengalaminya lebih cenderung untuk mengalami gangguan kemurungan utama atau GAD. Satu lagi kajian pada 2016 turut menyatakan hubungan antara kebimbangan sosial dengan trypophobia.

    Diagnosis

    Untuk diagnosis fobia, doktor akan menanyakan anda beberapa soalan berkaitan simptom yang dihadapi. Mereka juga akan mengambil sejarah perubatan, psikiatri dan sosial anda dan akan merujuk kepada DSM-5 untuk membantu dalam diagnosis mereka. Trypophobia bukanlah satu keadaan yang boleh didiagnosis kerana fobia ini masih tidak diiktiraf secara rasmi oleh persatuan kesihatan perubatan dan mental.

    Rawatan

    Terdapat pelbagai cara untuk merawat fobia. Bentuk rawatan yang paling berkesan adalah pendedahan terapi, iaitu satu jenis rawatan psikoterapi yang menumpukan kepada mengubah tindak balas anda kepada objek atau keadaan yang menyebabkan ketakutan anda.

    Satu lagi rawatan biasa untuk fobia adalah terapi tingkah laku kognitif (cognitive behavioral therapy, CBT). CBT menggabungkan terapi pendedahan dengan teknik lain untuk membantu anda mengatasi kebimbangan dan menjaga pemikiran anda daripada menjadi luar biasa.

    Pilihan rawatan lain yang boleh membantu anda mengawal fobia anda termasuk:

    • Terapi perbincangan umum dengan kaunselor atau pakar psikiatri.
    • Ubat-ubatan seperti beta-blocker dan sedatif untuk membantu mengurangkan gejala kecemasan dan panik.
    • Teknik relaksasi, seperti pernafasan mendalam dan yoga.
    • Aktiviti fizikal dan senaman untuk mengawal kebimbangan.
    • Kawalan penafasan, pemerhatian, pendengaran, dan  strategi pemikiran lain untuk atasi tekanan.

    Sementara ubat-ubatan sudah diuji keberkesanan untuk mengubati gangguan kebimbangan lain, keberkesanan ubat-ubatan untuk merawat trypophobia masih tidak diketahui.

    Perkara-perkara berikut mungkin dapat membantu mengatasi fobia ini, seperti:

    • Mendapatkan rehat yang secukupnya.
    • Makan makanan seimbang dan sihat.
    • Elakkan kafein dan bahan-bahan lain yang boleh menyebabkan peningkatan paras kebimbangan.
    • Berkongsi dengan kawan, keluarga atau mendapatkan bantuan kumpulan sokongan yang menguruskan isu yang sama.
    • Berdepan dengan situasi yang ditakuti dengan sekerap yang mungkin.

    Walaupun trypophobia tidak diiktiraf sebagai sejenis fobia secara rasmi. Namun bagi individu yang mengalami dan menghadapi fobia ini, ia mungkin akan memberikan kesan dalam kehidupan seharian seseorang jika terdedah kepada perkara-perkara yang boleh mencetuskan fobia ini.

    Berjumpa dan dapatkan nasihat doktor atau kaunselor jika anda merasakan anda mempunyai trypophobia. Mereka mungkin dapat membantu anda untuk mengatasi dan mengawal fobia yang anda hadapi ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan