backup og meta

1 Cawan Teh Panas Setiap Hari Mampu Kurangkan Risiko Penyakit Mata Glaukoma, Betul Ke?

1 Cawan Teh Panas Setiap Hari Mampu Kurangkan Risiko Penyakit Mata Glaukoma, Betul Ke?

Menghirup secawan teh panas pada hari yang dingin tidak hanya menghangatkan anda, tapi ternyata ia juga dapat melindungi penglihatan anda dari penyakit mata glaukoma!

Tahukah anda, kajian mengatakan pengambilan secawan teh panas dalam rutin harian anda mampu memberikan banyak manfaat, termasuklah kepada penyakit mata.

Para penyelidik mendapati bahawa minum secawan teh panas sekurang-kurangnya sekali sehari dapat menurunkan risiko terkena glaukoma, antara salah satu penyebab utama kebutaan di dunia.

Apa itu glaukoma?

Glaukoma adalah penyakit mata yang boleh merosakkan saraf optik anda. Saraf optik membekalkan maklumat visual kepada otak dari mata.

Selain itu, penyakit mata glaukoma juga biasanya adalah hasil daripada tekanan tinggi luar biasa yang berlaku di dalam mata.

Dari masa ke masa, peningkatan tekanan tersebut akan mengikis tisu saraf optik mata, yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan malah mampu akibatkan kebutaan.

Namun, sekiranya ia dapat dikesan dengan lebih awal, anda mungkin masih mempunyai peluang untuk mencegah kehilangan penglihatan daripada berlaku.

Antara faktor risiko yang boleh menyumbang kepada penyakit mata glaukoma termasuk juga faktor usia, sejarah perubatan diabetes, obesiti dan juga hipertensi.

Tahukah anda, pengambilan kopi pernah dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk menghidapi glaukoma, yang disebabkan oleh peningkatan tekanan darah intraokular?

Pun begitu, hasil penyelidikan yang lebih lanjut menyangkal dakwaan tersebut kerana dengan pengambilan kopi yang sederhana tidak akan mempengaruhi risiko seseorang mendapat penyakit glaukoma.

Di samping itu, beberapa kajian menghasilkan hipotesis bahawa pengambilan minuman berkafein dan bukan kafein lain juga dapat mempengaruhi risiko untuk mendapatnya.

Lanjutan perkara tersebut, para penyelidik tidak menemui kaitan antara minuman berkafein dan tanpa kafein, kecuali satu iaitu berkaitan dengan minuman teh panas berkafein.

Kajian mengatakan individu yang minum teh panas cenderung untuk tidak didiagnosis dengan penyakit tersebut berbanding dengan mereka yang tidak meminumnya.

Tetapi, para saintis masih tidak dapat mengenal pasti punca jawapan di sebalik fakta berkenaan.

Dari mana datangnya kajian ini?

teh

Kajian ini dilakukan oleh penyelidik dari Brown University, Rhode Island, dan University of California dan diterbitkan dalam British Journal of Ophthalmology.

Ia adalah kajian keratan rentas yang bertujuan untuk melihat hubungan antara peminum teh, kopi atau minuman ringan dengan perkembangan penyakit glaukoma.

Faktor risiko utama untuk glaukoma adalah peningkatan usia, mempunyai sejarah keluarga glaukoma, atau berasal dari negara Afrika, Caribbean atau Asia.

Walau bagaimanapun, beberapa saintis berpendapat dengan peningkatan pendedahan kafein mampu menyebabkan peningkatan tekanan pada bebola mata yang boleh sebabkan penyakit ini.

Sebilangan besar kajian yang mengkajinya dikatakan kecil dan mempunyai masalah metodologi. Oleh itu, para penyelidik ingin melihatnya menggunakan sampel yang lebih besar dan membandingkan kesan minuman yang berbeza.

Masalahnya ialah kajian keratan rentas, hanya menggunakan data tinjauan satu kali, yang tidak dapat memberitahu kita tentang hubungan antara minuman ini dengan risiko menghidap glaukoma.

Sebagai contoh, kita tidak tahu sama ada tabiat minum teh seseorang individu bermula sebelum mereka menghidap glaukoma atau tidak.

Ini bermaksud kajian tersebut tidak dapat membuktikan sebab-sebab munasabah dan akibatnya.

Justeru, apakah kesimpulannya?

Para penyelidik menyimpulkan mereka yang minum teh panas setiap hari cenderung untuk tidak mendapat penyakit mata glaukoma berbanding mereka yang tidak meminumnya.

Gejala-gejala penyakit mata glaukoma

penyakit mata

Antara jenis penyakit glaukoma yang paling sering terjadi adalah glaukoma sudut terbuka utama.

Ia tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala kecuali kehilangan penglihatan secara beransur-ansur.

Jadi penting untuk anda menjalani pemeriksaan mata komprehensif setiap tahun agar doktor atau pakar mata dapat memantau sebarang perubahan pada penglihatan.

Pun begitu, glaukoma sudut tertutup akut, yang juga dikenali sebagai glaukoma sudut sempit, adalah satu kondisi kecemasan perubatan.

Segera berjumpa doktor jika anda mengalami simptom-simptom berikut:

  • Sakit mata yang teruk
  • Loya
  • Muntah
  • Kemerahan pada mata
  • Gangguan penglihatan secara tiba-tiba
  • Melihat seakan ‘cincin berwarna’ di sekitar cahaya
  • Penglihatan kabur secara tiba-tiba

Penyebab-penyebab penyakit mata glaukoma

Bahagian belakang mata anda secara berterusan menghasilkan cecair jernih yang disebut humor berair dan ia akan memenuhi bahagian depan mata.

Kemudian, cecair mata tersebut akan melalui saluran di kornea dan iris. Sekiranya saluran ini tersumbat atau terhalang, tekanan semula jadi di mata anda, yang disebut tekanan intraokular (IOP), mungkin meningkat.

Apabila IOP anda meningkat, saraf optik mata mungkin menjadi rosak. Apabila kerosakan pada saraf berkembang, anda mungkin mulai kehilangan penglihatan.

Namun, penyebab yang berpotensi menghasilkan tekanan pada mata masih belum diketahui.

Walau bagaimanapun, para doktor percaya salah satu faktor ini mampu menyumbang kepada kondisi berikut:

Kesimpulannya, kajian mengenai pengambilan teh bagi mengurangkan risiko glaukoma mungkin merupakan berita baik buat penggemar minuman ini. Namun, semestinya kajian lanjut diperlukan bagi mengesahkannya.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.nhs.uk/news/food-and-diet/can-daily-cup-tea-help-prevent-glaucoma/
  2. https://connect.uclahealth.org/2017/12/20/a-cup-of-hot-tea-a-day-could-keep-glaucoma-away/
  3. https://www.glaucoma.org/gleams/what-are-the-symptoms-of-glaucoma.php

Versi Terbaru

09/01/2023

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: [email protected]


Artikel Berkaitan

Penggemar Kopi Mahu Berhenti Ambil Kafein? Ini 6 Perkara Yang Akan Terjadi Pada Tubuh Badan Anda!

Katarak Boleh Menyebabkan Buta! Buat 6 Langkah Ini Untuk Elak


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan