Pesakit diabetes jenis 1 sememangnya bergantung kepada penggunaan insulin untuk meneruskan kehidupan. Begitu juga bagi pesakit diabetes jenis 2 yang menggunakan rawatan insulin. Namun, terdapat beberapa kesan suntikan insulin yang boleh berlaku kepada individu yang menggunakannya.
Ini beberapa kesan suntikan insulin yang perlu anda perhatikan.
Apakah kepentingan penggunaan insulin?
Sekiranya seseorang itu menghidap diabetes jenis 1, pankreas tidak dapat menghasilkan insulin secara semula jadi.
Bagi mereka yang menghidap diabetes jenis 2 pula, tubuh badan tidak dapat menghasilkan insulin dengan mencukupi, atau tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkannya dengan betul.
Tanpa insulin yang mencukupi, paras gula akan kekal berada dalam aliran darah dan menyebabkannya meningkat.
Ini boleh mengakibatkan satu keadaan yang disebut sebagai hiperglisemia.
Insulin yang disuntik pula ialah jenis insulin buatan manusia yang serupa dengan insulin yang dihasilkan oleh pankreas secara semula jadi.
Penggunaan insulin secara suntikan ini boleh membantu individu penghidap diabetes mengawal paras gula darah mereka.
Ini sekali gus boleh mengelakkan sebarang komplikasi yang berkaitan dengan diabetes.
Penggunaan insulin juga boleh menyebabkan kesan sampingan
Penghidap diabetes yang mengambil suntikan insulin kena tahu ini! Penggunaan insulin boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan yang bersifat ringan dan serius.
Antara kesan suntikan insulin yang boleh berlaku ialah:
- Lengan dan kaki menjadi sedikit bengkak
- Pertambahan berat badan
- Tindak balas di lokasi suntikan seperti kemerah-merahan, bengkak dan juga gatal
- Perubahan fizikal kulit di mana insulin disuntik. Kulit mungkin akan mengecut atau menjadi lebih tebal
- Mengalami gula darah rendah atau hipoglisemia. Antara simptom hipoglisemia ialah:
- Badan menjadi berpeluh
- Berasa seperti hendak pitam
- Menggeletar
- Berasa amat lapar
- Degupan jantung menjadi agak laju
- Mata mulai kabur
- Percakapan menjadi tidak jelas
- Berasa kesemutan pada tapak tangan, kaki, bibir dan juga lidah
- Sukar untuk memberikan tumpuan
- Mengalami keresahan atau perubahan emosi
Bagi kesan sampingan yang bersifat ringan, ia akan menghilang dalam tempoh beberapa hari atau minggu.
Namun, jika ia berlaku dengan tahap yang agak serius dan tidak menghilang, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan.
Kesan suntikan insulin yang lebih serius
Selain daripada kesan suntikan insulin yang biasa berlaku, penggunaan insulin juga boleh menyebabkan beberapa kesan yang lebih serius.
Kesan ini mungkin boleh membahayakan nyawa disebabkan simptomnya yang lebih teruk.
Antara kesan sampingan suntikan insulin yang lebih teruk ialah:
- Paras gula darah menjadi terlalu rendah. Antara tanda-tanda yang boleh diperhatikan ialah:
- Badan menjadi letih dan tidak bermaya
- Mengalami sawan
- Hilang kesedaran diri
- Tidak mampu mengkoordinasikan tubuh dengan baik
- Mengalami sakit kepala yang teruk
- Berasa mengantuk
- Penglihatan menjadi kabur atau tidak jelas
- Berasa kebas di sekitar lidah dan juga bibir
- Mengalami kekeliruan
- Menyebabkan perubahan emosi seperti marah dan hilang kesabaran
- Potasium darah menjadi rendah. Antara tanda-tanda yang boleh berlaku ialah:
- Badan menjadi letih
- Badan berasa lemah
- Otot mengalami kekejangan
- Mengalami sembelit
- Masalah degupan jantung
- Mempunyai masalah pernafasan
- Mengalami tindak balas alahan yang teruk. Antara simptom yang boleh berlaku ialah:
- Terdapat ruam pada seluruh tubuh
- Badan menjadi berpeluh
- Sukar untuk bernafas
- Berasa seperti hendak pengsan
- Degupan jantung menjadi lebih pantas
- Kegagalan jantung. Antara tanda-tandanya ialah:
- Pertambahan berat badan
- Sukar untuk bernafas
- Terdapat pembengkakan pada bahagian buku lali atau kaki
Penggunaan insulin juga mungkin bertindak balas dengan ubat-ubatan
Suntikan insulin juga mungkin boleh berinteraksi atau bertindak balas dengan beberapa jenis ubatan lain.
Interaksi yang berbeza boleh menyebabkan kesan yang berbeza.
Sebagai contoh, ada kesan yang boleh mengganggu keberkesanan ubat-ubatan tersebut.
Ada juga kesan lain yang boleh menyebabkan peningkatan kesan sampingan.
Antara jenis ubat-ubatan yang boleh menyebabkan tindak balas dengan insulin ialah seperti ubat kemurungan, ubat darah tinggi, ubat sakit jantung dan ubat kolesterol.
Selain itu, ubat penahan sakit, ubat pencair darah, ubat alahan, ubat asma, ubat HIV, ubat tibi dan antibiotik juga boleh menyebabkan tindak balas dengan insulin.
Oleh itu, sebelum mengambil suntikan insulin, pastikan anda memberitahu doktor dan ahli farmasi anda mengenai semua preskripsi, ubat farmasi, dan ubat-ubat lain yang sedang anda ambil.
Anda juga perlu memberitahu doktor mengenai vitamin, herba, dan makanan tambahan yang anda amalkan.
Berkongsi maklumat seperti ini dapat membantu anda untuk mengelakkan sebarang tindak balas antara insulin dan ubat-ubatan yang boleh berlaku.
Kesimpulan
Penggunaan insulin bagi pesakit diabetes jenis 1 dan 2 sememangnya boleh membantu mengawal paras gula darah.
Namun, ia mungkin boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti yang dinyatakan di atas.
Oleh itu, dapatkan nasihat doktor sebelum, semasa dan selepas melakukan suntikan insulin.
[embed-health-tool-bmi]